Wednesday, May 22, 2013

PILIHAN RAYA UMUM KE-13 YANG DIPERSOALKAN RAKYAT



HEBAHAN MEDIA GATERA 3, Mei  21, 2013


PILIHAN RAYA UMUM KE-13 YANG DIPERSOALKAN RAKYAT

GATERA mencatatkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sekian lama dan kini sedang menghadapi serangan rakyat terhadap peranan dan tanggungjawab serta  perjalanan pilihan raya di negara kita.  Kemuncaknya ialah siri demonstarasi BERSIH 1  dan 2.0 masing-masingnya dua tahun lepas dan pada tahun 2012 sehingga tercetusnya senarai lapan tuntutan “pembersihan” peranan institusi tersebut dalam penggendalian pilihan raya negara ini.  Dua daripada perkara besar tuntutan itu ialah pembersihan senarai pengundi  (peniadaan “pengundi hantu”) dan senarai pengundi berulang. Tidak syak lagi, SPR dengan sikapnya yang sentiasa menolak tuntutan BERSIH tetap mengambil langkah-langkah yang nampaknya positif seperti “pengundian awal” dan “pemakaian dakwat kekal”.
 
Malangnya “pemakaian dakwat kekal” ternyata gagal mencapai tujuannya setelah puluhan pengundi (termasuk ahli GATERA sendiri) mendakwa dan setengahnya membuat laporan polis (yang terkenalnya  oleh Karpal Singh dan Dr. Harun Din)  tentang betapa mudahnya dakwat itu hilang dengan hanya menggunakan sabun sahaja.  Apa pun, GATERA percaya sebahagian besar  rakyat tetap percaya “dakwat kekal” itu memang mudah hilang dan oleh itu SPR sepatutnya meminta maaf atas kegagalannya mendapat dakwat yang benar-benar mencapai matlamat asalnya. 


Isu kedua yang kini jauh lebih besar daripada isu “dakwat kekal” itu ialah adanya tuduhan-tuduhan yang begitu banyak terhadap tidak telus, tidak adil, dan wujudnya penipuan dalam penentuan bilangan undian pada malam 5 Mei hingga 6 Mei itu. Pertama, SPR perlu menjelaskan sebab-sebab lambatnya hasil pilihan raya itu untuk kawasan-kawasan dimenangi oleh PR (parti lawan BN) hingga para pengulas pilihan raya di TV sendiri (saluran AWANI) yang memang terkenal juga dengan sikap memihaknya kepada BN itu sekalipun, begitu berani mempersoalkan keadaan yang tidak telus ini. Tidak syak lagi inilah yang memberi banyak spekulasi rakyat terhadap penipuan hasil pilihan raya itu. Persepsi ini semakin menjadi hipotesis besar rakyat tentang adanya penipuan hasil pilihan raya ini dengan adanya laporan-laporan berikut, setengahnya GATERA difahamkan, sudah dilaporkan kepada pihak polis, dan yang lainnya GATERA difahamkan, sedang diperoleh bukti-buktinya untuk dibawa ke pengadilan: 


1. Adanya puluhan keputusan yang dianggap rasmi oleh SPR diasaskan pada laporan yang tidak disahkan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan atau diamanahkannya.

2. Adanya puluhan tempat pengiraan undi dimasukkan kotak-kotak undi yang disangsikan kerana lambat tibanya.

3. Beberapa tempat dilaporkan ada pihak menemui bungkusan atau kotak undi yang disangsikan asalnya dan disorok berhampiran dengan tempat pengiraan undi atau dibawa ke pusat pengundian undi oleh pihak yang disangsikan.

4. Beberapa tempat ada nama pengundi tiada dalam senarai di tempat yang sepatutnya dia membuang undi tetapi ada jauh di tempat lain. 

5. Ada tempat dilaporkan bilangan pengundinya kurang daripada yang pernah disiarkan sebelum hari pengundian.

6. Bilangan pengundi yang hadir mengundi berdasarkan peratusan yang mengundi mengikut SPR tidak sama dengan bilangan pengundi yang membuang undinya di semua Parlimen seluruh negara.

7. Bilangan pengundi di beberapa kawasan parlimen luar biasa penambahannya sehinggakan ada yang mengatasi bilangan pengundi kawasan parlimen lain yang biasanya lebih tinggi bilangan pengundinya seperti dalam PRU12  yang lalu.  

8. Adanya laporan individu yang mengundi lebih drp sekali, dan ada pula yang tidak dapat mengundi kerana kononnya beliau telah mengundi.

9. Adanya kejadian “api elektrik” terpadam ketika  pengiraan undi sedang berjalan.


Ada kemungkinan senarai “penipuan” seperti yang disenaraikan di atas adalah “tidak benar”. Namun oleh sebab senarainya begitu banyak dan sumbernya daripada pelbagai (bukan internet sahaja) maka maka rakyat terbanyak berhak menuntut penjelasan SPR secepat mungkin dan tidaklah memadai bagi pihak SPR dengan hanya menegaskan hanya mahkamah sahaja yang boleh menentukannya, kerana jika penjelasan SPR dapat meyakinkan mereka ini, mungkin (sekurang-kurangnya sebahagian daripada senarai di atas) penyelesaian di mahkamah tidak perlu dilakukan dan sekali gus menyelamatkan wang, tenaga dan masa. 

Pada masa yang sama GATERA berharap pihak PR juga perlu secepat mungkin mendapatkan bukti-buktinya dan seterusnya mendakwanya di mahkamah. Pada masa yang sama, mana-mana “tuduhan penipuan” di atas yang ternyata tiada buktinya pihak PR juga perlu membuat pernyataan yang jelas akan tidak benarnya tuduhan itu.


Ketua
Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA)
21 Mei 2013



Pilihan Tok Ketua



Bila Tok Ketua diajak berpesta
(A ‘no-action’ is an action)


Pengerusi JKKK (Tok Ketua), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung adalah ketua, orang nombor satu yang bertanggungjawab untuk memimpin organisasinya, iaitu kampungnya.  Sebagai seorang ketua dia membuat pelbagai keputusan.  Ada keputusan yang mudah dan popular, misalnya memberikan surat sokongan untuk memohon dermasiswa.  Ada pun keputusan yang serupa tetapi lebih ‘besar’ impaknya seperti menghulurkan bantuan kewangan, biasanya dia hanya layak jadi Pak Pacak saja.  Bantuan yang gah seperti itu mesti disampaikan oleh pemimpin Parti; paling lekeh Ketua Bahagian.


Jika ada sesuatu isu yang secara perbandingannya sedikit ‘berat’ dan tidak popular misalnya ‘pesta’ turun beramai-ramai ke Pejabat Beras tempatan untuk membantah harga padi yang tak juga naik-naik walaupun pelbagai permohonan dan desakan agar harga padi dinaikkan, sudah beribu-ribu kali dibuat,  biasanya Tok Ketua akan fikir banyak kali, berulang-ulang kali sebelum memutuskan tindakannya.  Dalam konteks membuat keputusan ini, apakah bentuk keputusan yang dapat Tok Ketua lakukan.  Ya,  apabila berdepan dengan persoalan yang lebih ‘berat’ seperti turun berdemonstrasi, apakah ruang yang ada untuk Tok Ketua bertindak?


Kita ketahui bahawa Tok Ketua boleh:


A) Menyokong penuh gesaan untuk ‘berpesta’ di Pejabat Beras iaitu untuk berdemonstrasi.  Ertinya apabila sampai saat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Turun Ke Jalan Raya,  Tok Ketua betul-betul turun ke tempat yang telah ditetapkan.  Ini namanya sokong dengan tindakan.

B) Tok Ketua boleh membuat pengumuman ke seluruh negeri,  waima sampai ke Bangsa-Bangsa Bersatu, UN bahawa dia akan turun apabila sampai saatnya untuk turun. Ini namanya menanam tebu di bibir mulut, lip service kata orang putih, sehinggalah dia benar-benar turun.

C) Tok Ketua boleh saja mencari segala bidalan, tamsil atau peribahasa silam sebagai responsnya.  Jika nasibnya lagi mujur, dia teringat ayat-ayat suci atau pun hadis bahawa haram membantah kerajaan. 

D) Tok Ketua boleh memilih untuk TIDAK pernah mendengar  apa-apa pun berita tentang bantahan penduduk kampung menuntut supaya harga padi dinaikkan.   Kata orang putih, he couldn’t careless.

Sekarang mari kita teliti satu lagi fasa proses membuat keputusan oleh Tok Ketua ini.  Apakah mesej tersurat, terbongkang, terkangkang atau tersirat dan tersorok yang telah dihantar oleh Tok Ketua ini?


Percayalah inilah yang dilihat, diamati, direnungi dan yang disimpan baik-baik dalam hati sanubari para penduduk kampung.  Percayalah,  segala tindak tanduk Tok Ketua sama ada A, B, C atu pun D diperhatikan kerana itu adalah keputusannya sebagai Tok Ketua.     

Percayalah Tok Ketua dapat melihat bahawa rakyat juga mengamati tindak tanduknya sebagai Tok Ketua.   

Memetik kata-kata seorang pembaca Malaysiakini:

"A nice speech is like a flower without fragrance. It's only fit for the bin. That is what I read in a Buddhist leaflet."


(Sebuah ucapan muluk-muluk itu seperti kembang tanpa harumnya.  Bakul sampah adalah tempat paling layak buatnya. Kubaca itu dalam pamplet Buddhist.)




 

Tuesday, May 21, 2013

Mendakap Banglasia



 Mereka mendakap Banglasia


Pasca PRU13 secara rasmi melahirlah Banglasia.  Ini juga menyemarakkan gerakan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’@ Black 505 .  Adam Adli ditangkap, bekas hakim dan staf MACC yang menghina pembaca dan telah puas membuih-buihkan mulutnya,  terselamat.  Menteri ‘Incredible (Mister, don’t make me angry.  You don’t like me when I am angry’) Hulk menghalau mereka yang 51% supaya ‘belah saja’ dari Banglasia jika tak setuju dengan pilihan raya Banglasia. 

Tidak cukup dengan itu, Hulk berjanji dengan muka yang masih hijau kerana kemarahan yang meluap-‘lupa’ bahawa SETIAP PERKATAAN, SETIAP AYAT, SETIAP PARA akan ditelitinya.    

Ya, Tuhan setelah PRU13 berlalu, mereka masih juga begitu, malah semakin teruk.  Mereka memilih memusuhi para pendatang yang 51% itu.  Mereka mendakap Banglasia.



Pengunduran Tok Guru Nik Aziz



Dinsman (Artikel 380, 20/5)
Memikirkan pengunduran Tok Guru Nik Aziz


Ada banyak perkara sekitar PRU13 yang menarik untuk ditulis.  Analisa keputusan PRU itu sendiri secara menyeluruh, misalnya. Atau menyorot sikap Anwar Ibrahim selaku pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mengiktiraf keputusan SPR. Atau mengenai penipuan di sekitar PRU, seperti dakwat kekal yang tidak kekal. Atau mengenai sikap sebagian orang Melayu yang masih mengundi BN. Atau kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor dan sidang media Azmin Ali, dan sebagainya.

Namun semua itu berbanding cerita di negeri Kelantan, saya lebih tertarik dengan cerita di negeri Kelantan khasnya di sekitar keputusan Tok Guru Nik Aziz mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar. Saya sudah menulis mengenainya dalam keluaran lalu tetapi saya masih merasakan ada banyak lagi yang hendak ditulis.

Apapun, biarlah saya tidak menyentuh permasalahan Datuk Husam Musa yang tidak terlantik dalam kabinet baru kerajaan negeri itu. Biarlah permasalahan itu ditangani dengan sebijak-bijaknya oleh pihak mereka yang berkenaan. Kita percaya itu bukanlah masalah besar sangat. Dan kita berharap bakat dan kebolehan istimewa Datuk Husam tetap akan dimanfaatkan untuk pembangunan kerajaan Islam Kelantan seterusnya.

Sehingga ini Tok Guru Nik Aziz hanya mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar; dan dia menyatakan akan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri juga, kerana jawatan itu selayaknya dipegang oleh Menteri Besar. Tetapi Presiden PAS sendiri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah berjumpa dengannya dan meminta beliau kekal memegang jawatan Pesuruhjaya itu, walau apapun alasannya untuk melepaskannya.

Manakala jawatan sebagai Mursyidul ‘Am PAS pula akan terus dipegangnya lagi buat masa ini. Dan itulah harapan kita. Janganlah TG Nik Aziz melepaskan jawatan Mursyidul ‘Am itu. Jawatan Mursyidul ‘Am itu penting. Sebelum ini pun, beberapa tahun lalu, saya pernah mencadangkan melalui sebuah tulisan agar TG Nik Aziz melepaskan jawatan Menteri Besar, supaya dia dapat menumpukan perhatian kepada parti, selaku Mursyidul ‘Am.

Kebijaksanaan kepemimpinannya cukuplah sudah dicurahkannya kepada negeri Kelantan. Dua puluh tiga tahun. Curahkanlah pula kebijaksanaan itu kepada parti dan ahli-ahli parti di seluruh negara.

Kita pun faham masalah kesihatannya dan umurnya yang lanjut. Dengan perletakan jawatan Menteri Besar itu rasanya tidaklah terlalu membebankan lagi kalau Tok Guru sekadar meneruskan tugas sebagai Mursyidul ‘Am. Itu pun sekadar yang diizinkan oleh kesihatan dirinya sahajalah. Kita pun tidaklah hendak membebankannya.

Dan ini pun sekadar kita menyatakan harapan sahaja. Namun kalau Tok Guru sendiri merasakan apa yang telah disumbangkannya kepada parti selama berpuluh tahun itu sudah mencukupi dan sekarang dia ingin menikmati sedikit lagi sisa hidupnya bersama dengan keluarganya, kita pun akur dan tidak akan mendesak. Ya sememangnya kita mengakui jasa dan sumbangannya selama ini pun sudah cukup besar.

Sekarang terpulanglah kepada dirinya. Sebenarnya kewujudan dirinya sebagai seorang Tok Guru Nik Aziz itu sahaja pun sudah mencukupi untuk melanjutkan impaknya kepada umat hari ini. Dirinya sudah mencapai ke peringkat sebuah institusi tersendiri. Dan sebagai seorang Tok Guru kita percaya dia sama sekali tidak akan menghentikan aktivitinya mengajar, memberi tazkirah dan berceramah; yang sudah menjadi sebati dengan dirinya itu.

Sebagai seorang Tok Guru dan pendakwah – itulah tugas dan peranan sejatinya Nik Aziz bin Nik Mat. Dia melaksanakan tugas dan peranan ini lama sebelum menjadi Menteri Besar, dan tugas/peranan ini diteruskananya dengan tidak dikurangkannya sedikit pun sewaktu menjadi Menteri Besar, dan tentunya tugas dan peranan ini akan diteruskannya walaupun setelah dia berundur daripada jawatan Menteri Besar.

Bercakap khusus mengenai jawatan Mursyidul ‘Am ini, seperti yang dilaporkan akhbar, TG Nik Aziz mengatakan ia suatu tugas dan tanggungjawab yang lebih berat, iaitu untuk melaksanakan pentadbiran Islam menguikut cara Nabi saw. Apakah yang dimaksudkannya? Mungkinkah ada pembaharuan-pembaharuan yang akan dilakukannya ke atas perjalanan parti PAS sebagai suatu organisasi dakwah dan politik?

Ini tentulah sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan perkembangannya. Mengenali peribadi dan perwatakan TG Nik Aziz, kita tidak berfikir pengundurannya dari kerusi Menteri Besar itu bererti dia akan mengundurkan diri sepenuhnya daripada arus perkembangan sosio-politik umat hari ini. Sebaliknya kita tetap menunggu sesuatu yang kita jangka penting dan menarik akan dilakukannya.

Sementara itu bekas-bekas yang telah ditinggalkannya kepada masyarakat, selaku seorang Tok Guru, semenjak dia mula mengajar hingga ke hari ini, sedemikian banyaknya di sana sini di merata tempat berserakan tidak terkumpul. Usaha untuk mengumpul pengajaran dan pemikirannya yang tercurah selama ini, pun akan mengambil masa yang lama dan tenaga yang banyak.

Maka kita menyambut baik pengumuman Datuk Ahmad Yaakob selaku Menteri Besar (baru) mengenai penubuhan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz itu. Sedemikian cepatnya pengumuman itu dibuat! Barangkali Ahmad Yaakob pun sudah lama memikirkan keperluan ini, maka sebaik sahaja menjadi Menteri Besar beliau pun segera menubuhkan institut tersebut.

Memang saya sangat bersetuju dan mengakui keperluan sebuah Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz ini. Yang agak mengejutkan saya ialah sedemikian cepatnya Ahmad Yaakob bertindak menubuhkannya. Tentunya beliau mempunyai agenda tertentu yang sudah lama difikirkannya. Apakah agendanya itu? Ini pun juga membuatkan kita tertunggu-tunggu untuk menyaksikan ‘pembaharuan’ yang akan diperkenalkan oleh Menteri Besar baru ini.
 

Maka sudah ada dua perkara menarik yang boleh kita tunggu dari Kelantan sekarang. Ditambah satu lagi daripada Husam Musa, jadi tiga! Sama-samalah kita perhatikan. (Dan saya juga menunggu ‘pembaharuan’ yang akan dibawa oleh seorang exco barunya – Mumtaz Md Nawi).