Saturday, March 27, 2010

Persidangan binawe dwi-alam

27 Mac 2010: Persidangan Binawe-Binawe Dwi-Alam.
(kitaran sisa-sisa ( fal)sampah sarap putar belit)


“Bos, bos..Bos mesti kenakan pakaian tradisional yang paling ummph esok. Bos mesti lengkap dengan tanjak yang paling bagus. Biar sesuai dengan status Bos sebagai BSBDA para binawe!” begitulah pesan KSB kepadanya siang tadi.

Seolah-olah belum cukup, KSB menambah:

“Akan ada pencak katak yang dilakonkan seluruh pendekar dari segala pelosok kolam.”


“Kamu ni ada-ada saja..” dia membalas cadangan mengampu@merapunya KSB, Katak Serambi Barakah sambil membetulkan posisi cermin mata di atas batang hidung. Kalaulah dianya itu Pinnochio, entah sudah berapa kilometerkah panjangnya hidung itu akibat timbunan-timbunan pembohongannya sepanjang hayat ― sejak dia dijulang sebagai pemimpin kecil Pekan Rabu sehinggalah menaiki takhta pemimpin Maha besar kolam.

Ya, tepat 27 Mac 2010, seluruh binawe dwi-alam akan bersidang, katanya untuk membincangkan kedudukan keturunan binawe yang katanya, sangat terancam sekarang ini. Penyakit hipokondrianya para katak dalam kolam.

Betullah begitu, fikir BSBDA. Ini semua akibat langsung pemanasan global, sehinggakan secara tidak langsung kolam glokal pun semakin kering. Maka masa depan dwi-dwi alam juga semakin terancam.

Bapak Segala Binawe Dwi-Alam, BSBDA yang memerintah kolam selama lebih dua puluh tahun akan bercakap tentang masa depan binawe-binawe dwi-alam yang katanya sangat terancam.

Dulu semasa menjadi Pemerintah Maha besar kolam, Bapak Segala Bapak Binawe Dwi-Alam, BSBDA tak pula bermati-matian bercakap bahawa nasib dan masa depan dwi-alam sangat terancam. (kecuali tentunya tatkala ada persidangan agung partinya). Namun sejak akhir-akhir ini dan lebih-lebih lagi sekarang ini mesejnya semakin gencar: Dwi-alam jelas benar-benar terancam.

Maka akan segala kera, beruk, tupai, musang dan binawe lain pun semua terkejut. Apakah jadahnya Bapak Segala Bapak Binawe Dwi-Alam, BSBDA, menjadi begitu sasau dan gila babi sekarang ini?

Dalam suasana itulah Bapak Segala Binawe Dwi-Alam, BSBDA terkemut-kemut meneliti segala bentuk dan ragam hiperbola dalam teks ucapannya esok. Nampaknya segala istilah dan frasanya tentang makna keagungan kepimpinan sudah banyak kurang sengatnya sekarang. Ramai yang tidak mempedulikannya.

Namun esok, Hari Persidangan para Binawe Dwi-Alam.

Katak Hon yang bersembunyi di sebalik dapur istananya, tiba-tiba menjelir lidahnya, sepanjang mungkin ― bukan untuk menangkap nyamuk yang berterbangan, tapi melugai teringat akan syarah zuriat BSBDA tentang jenama dan produk beberapa hari yang lalu.

Bahagialah kamu para pemimpin putar alam kolam sekalian, demikian fikir Katak Hon di belakang dapur sambil meluruskan kakinya yang licin mulus...

Lebih baik tangkap nyamuk daripada berhon-hon sepanjang hayat.



No comments: