Tuesday, January 18, 2011

Ulasan buku oleh Shaharir Mohamad Zain

Ulasan buku Wisnu Arya Wardhana, “Melacak Teori Einstein dalam Al Qur’an”. Yogyakarta: Pustaka Pelajar 2005. ISBN:979-2458-00-X, 291 pp.

Penyorot/Peresensi: Shaharir b.M.Z. INSPEM, UPM


Buku setebal 291 pipi (pp) ini  termasuk 6 pp Lampiran profil beberapa orang “ternama” yang memberi Kata Pengantar atau Sambutan  terhadap karya ini, dan biodata pengarang, 7 pp rujukan, dan 12 pp indeks; tetapi tidak termasuk Mukaddimah Editor,  Kata Pengantar, Kata Sambutan daripada beberapa orang yang profilnya di Lampiran itu, dan Ucapan Terima Kasih pengarang.  Buku yang disorot ini nampaknya begitu istimewa, sekurang-kurangnya di Indonesia, kerana pengarangnya berjaya mendapat daripada beberapa orang “ternama” di Indonesia yang sanggup memberi kata pengantar daripada 3 orang tokoh (Drs. Muhamad Rofangi, dosen dan kandidat doktor pada Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta; Dr. Ir. H. Terry Sriwana, Direktur Sekolah Tinggi Teknologi Mineral, Bandung, Indonesia; dan Drs H.RMA Hanafi, Ketua Sekolah Tinggi Agama Islam, Yogyakarta), dan kata sambutan daripada 4 orang tokoh lain lagi (Prof. Dr. Soedyartomo Soentono, Kepala Badan Tenaga Nuklir Nasional, Jakarta, Indonesia; Dr. Chairil Anwar Koordinator ICMI Orwil DIY, Yogyakarta; Dr. Anwar Budianto, Ketua Sekolah Tinggi Teknologi Nuklir Batan, Yogyakarta; dan KH.M Fatwa Ma‘ruf, Pemimpin  Pondok Pesantren Daarul-‘Ilmi ’, Yogyakarta). Ini selain daripada Mukaddimah daripada Prof. Dr. Sugianto selaku Editor penerbitan buku ini merangkap Ketua Program Studi Ilmu Komunikasi Program Ilmu Sosial, Universitas Brawijaya, Indonesia. Ini tentunya dijangka akan memberi nilai tambahnya segi wibawa/otoritasnya buku ini dan sekaligus melariskannya. Buku ini juga dijangka akan mendapat sambutan besar sekurang-kurangnya di Nusantara ini, mengenangkan dahaganya orang Islam di rantau ini membaca buku yang mengaitkan Islam dengan sains seperti ini. Sorotan/Resensi ini mungkin juga meningkatkan “daya ingin tahu” khalayaknya terhadap kandungan sebenar buku ini.


Perkara menghubungkan Islam dengan sains sesudah sesuatu unsur sains itu ditemui atau dibina oleh orang bukan Islam “dengan jayanya” sudah menjadi lumrah mungkin sejak Islam terkebelakang dalam bidang ilmu sekurang-kurangnya sejak abad ke-17M. Namun, rasanya umat Islam memang mendapat lonjakan kegiatan seperti ini buat pertamanya selepas Bucaille “berjaya” (sekurang-kurang segi pasaran) memadankan beberapa penemuan sains dengan al-Quran dan sekaligus menunjukkan


kelemahan Bible di dalam buku laris jualannya yang asalnya dalam bahasa Perancis 1976 dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa termasuk Melayu Indonesia dan Malaysia dengan judul “Bibel, Qur-an dan Sains Modern”, terbitan Penerbit Bulan Bintang 1978, Jakarta (yang ada dalam rujukan buku Wardhana ini tetapi tidak jelas aspek yang dirujukinya);  dan lonjakan keduanya menerusi karya Moore K. L. & al-Zindani A.-M. A., “The Developing Human with Islamic Additions, 3rd ed. , W.B. Saunders Company, Philadelphia 1982 tentang  pembentukan bayi dalam kandungan yang ditunjukkan begitu tepat dengan yang diperihalkan di dalam al-Qur’aan. Kini kaedah “pengIslaman ilmu” atau “Islamisasi ilmu” seperti ini sudah dikenali sebagai Bucailleisme (oleh seorang drp ideolog pengIslaman ilmu tahun 1990-an dahulu) yang tidak begitu serasi dengan kaedah-kaedah lain dalam agenda “pengIslaman ilmu” yang diutarakan oleh Ismail al-Faruqi, Sayyeed Hossain Nasr, Muhammad Naquib al-Attas dan lain-lain selepasnya (Lihat Shaharir b.M.Z. 1990, “Modes of operations in the quest of Islamic science” dalam MAAS Journal of Islamic Science, 16 (2): 53-70).  Agak malang, Bucailleisme cukup popular hingga sekarang, sebahagiannya kerana begitu mudahnya melakukan kegiatan ini, sehingga semua lubuk internet tentang “sains islam” , “islam dan sains”  atau “islamic science” dan “islam and science” memuatkan kerja-kerja Bucailleis dalam pelbagai bidang termasuklah bidang “teori Enstein” yang menjadi mauduk perbincangan  dalam buku yang disorot ini.


 “Penilaian” teori Einstein daripada perspektif agama atau ideologi bukan berasaskan Islam memang telah dilakukan sejak awal masyhurnya teori ini lagi. Pertamanya, teori Einstein digunakan oleh golongan relatifis atau nisbiis untuk mengukuhkan pegangan falfahnya yang terkenal itu, relatifisme atau nisbiisme itu. Usaha ini mudah dipatahkan dengan menonjolkan bahawa dalam teori kerelatifan atau kenisbian Einstein itu pun ada kuantiti mutlaknya, iaitu cahaya dan “masa wajar”. Golongan materialisme atau kebendaanisme pula menilai teori Einstein daripada perspektifnya yang mengukuhkan falsafah tersebut kerana teori Einstein memang mentakhtakan material atau benda kerana teori itu mengandaikan bentuk atau tabii alam semesta ini (model alam) terletak sepenuhnya kepada benda yang ada, bermula dengan bentuk alam tanpa benda (alam hampa atau lapang) yang diandaikan berbentuk 4-dimensi atau 4-matra ruang-masa (ruang-waktu) sehingga jarak dua titik dalam alam tersebut bukannya memenuhi Hukum Pithagoras dalam 4-matra, iaitu  tetapi ialah , jika (x,y,z)




koordinat ruang antara dua titik itu, dan w=ct, c laju/cepatan cahaya dan t tempoh atau durasi masa dua peristiwa/acara dalam ruang-masa itu; dan untuk ruang-masa yang ada benda di dalamnya (berjasad atau bertenaga tanpa jasad), jarak itu menjadi , dengan

q =(w,x,y,z) dan ,

dan g itu ditentukan oleh ahlinya dengan segala kebijaksanaannya dengan syarat perlunya   tentu tidak negatif dan ungkapan itu menuju kepada bentuk   di kawasan ruang-masa hampa. Ini memang kelemahan teori Einstein jika dinilai daripada perspektif Islam pun.  Oleh sebab Wardhana berpegang kepada Bucilleisme, perkara seperti ini tentu tidak meminatkannya dan oleh itu tidak hairanlah tiada disentuh langsung dalam bukunya itu.


Sarjana Islam yang terawal menilai teori Einstein ialah Iqbal 1930-an dahulu (dalam bukunya yang suntingan terbarunya 2004 berjudul “The Reconstruction of Religious Thought in Islam”, terbitan Adam Publishers & Distributors, N.Delhi; baru ada terjemahannya, Rekonstruksi Pemikiran Agama dalam Islam”, terbitan Al-mizan 2002)  dengan menumpukan kepada konsep “masa” atau “waktu” dalam teori tersebut sehingga beliau membuat keputusan bahawa konsep “masa” dalam teori Kenisbian Einstein itu tidak begitu serasi dengan masa mengikut Islam khususnya dengan konsep taqdir itu. Malangnya tiada siapa pun lagi yang meneruskan kritikan membina terhadap teori Einstein  seperti  Iqbal itu dan seterusnya memperbaiki teori itu supaya sampai menjadi ilmu itu bertaraf ilmu Islam yang lebih diingini sesuai dengan konsep “pengIslaman ilmu” yang sebenar itu (bukannya Bucailleisme). Semangat ini baru cuba dihidupkan semula oleh Shaharir dalam bukunya, “Dinamik Sebutir Dua Zarah Klasik: Penjana Sains Matematik, Peguam Bela dan Penjana Nilai Serta Kontroversinya Sepanjang Zaman 2004 terbitan Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia), dan siri makalahnya yang terbaru “dialog ilmu falak dengan astronomi I-III” khususnya yang kedua itu (insya Allah akan terbit dalam jurnal Islamiyyat keluaran Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia 2006/2007). Antara penulis Muslim di Indonesia dan Malaysia yang menilai “teori Einstein”  yang dibincangkan dalam buku yang disorot ini, tetapi masing-masingnya menghayati Bucailleisme sahaja, ialah Baiquni A. 1995, “Al




Qur'an Ilmu Pengetahuan dan Teknologi” danKonsep-konsep kosmologis” di http://soni69. tripod.com/., dan Sulaiman N.  Sains Menurut Perspektif Islam”,  Cetakan ke-9 terbitan PPU, Univeriti Kebangsaan Malaysia 1999 (cetakan pertamanya 1989); manakala penulis Muslim Turki terkenal, Harun Yahya,  membicarakan perkara tersebut  dalam buku laris jualannya “Penciptaan  Alam Semesta” (terj. drp Turki).  Mungkin wakil sarjana Muslim dari Timur tengah yang bernama Sa‘id Hawa patut disebut juga kerana kupasannya terhadap ayaht-ayaht al-Qur’aan (lihat buku-buku beliau,al-Asas fi al-Tafsir”, terbitan Al-Qahirah 1985 dan “al-Rasul” terbitan Syarikat Kerjaya al-Mahmudaht, Singapura) bagi menyokong “Teori Einstein” berdasar kepada selok-belok bahasa al-Qur’aan itu agak bitara (unik) dan lain daripada yang lain. Dalam konteks ini mauduk daripada buku yang disorot ini tidaklah baru tetapi dipercayai masih boleh menarik perhatian ramai pihak yang seronok dengan Bucailleisme tetapi juga mereka yang berminat kepada ilmu Islam sekurang-kurang sekadar mencari hujah-hujah atau idea-idea yang baru lagi yang tersirat di dalamnya . Namun ternyata Wardhana nampaknya kurang berjaya berbanding dengan pengarang-pengarang yang tersebut yang nampaknya tidak menjadi rujukannya pun. Malah Bab 6 buku Wardhana itu tidak sekali-kali membuktikan adanya ayaht-ayaht al-Qur’aan yang mengimplikasikan sahnya asas-asas Teori Einstein yang disenaraikan dalam Bab 5, di hlm. 123-124 dan diulang di hlm128-129 itu (katalahlah senarai itu diterima sepenuhnya demi perbahasan di sini). Wardhana hanya mengutip ayaht-ayaht al-Qur’aan yang menggalakkan manusia mengkaji alam semesta sahaja; dan perbincangan beliau tentang ukuran laju cahaya berasaskan al-Qur-‘aan (bukan karya beliau) itu pula tiada kena- mengena dengan asas Teori Einstein kerana nilai laju cahaya itu telah diketahui sebelum Einstein. Wardhana sepatutnya menumpukan kepada ayaht-ayaht al-Qur’aan yang menunjukkan cahaya (kalau-kalau boleh ditafsirkan ada) adalah kuantiti mutlak dalam ruang bebas (ruang vakum) dan ini tidak dilakukannya. Begitu juga dengan pembuktiaannya terhadap dua lagi “teori Einstein” itu, iaitu tentang tenaga dan jisim/massa itu. Hujah-hujahnya tidak mengimplikasi benarnya rumus-rumus itu, malah tidak relevan langsung. Lagi pun dua rumus berkenaan itu bukannya teori asas Einstein tetapi hanya dua daripada puluhan implikasi Teori Einstein yang tidak disebut dalam buku itu, walaupun setengahnya lebih penting daripada dua itu. Jika seseorang benar-benar mahu membuktikan kebenaran teori Einstein maka beliau patut menumpukan kepada asasnya iaitu tentang mutlaknya cahaya, tentang tidak terpisahnya masa dengan ruang dan tentang tidak berubahnya hukum fizik terhadap sesuatu





kumpulan cerapan (bagi Teori Einstein terawal, Teori Kenisbian Khas) dan terhadap semua kumpulan cerapan (bagi Teori Kenisbian Am beliau). Ini tidak dilakukan oleh Wardhana.


Oleh sebab jelas buku ini ditulis bagi mengukuhkan Islam dan ilmu Islam, maka ulasan buku ini ditumpukan kepada isu ilmu Islam dalam konteks “pengIslaman ilmu” itu. Dalam hal ini, Bab 2 dan Bab 3 buku ini amat relevan dinilai. Namun, pembaca akan mendapati perbincangan tentang peranan al-Qur’aan dan tabii ilmu daripada perpektif Islam (al-Qur’aan) itu tidak berjaya menunjukkan dua perkara penting dalam Islam: (1) al-Qur’aan  tasawur, pandangan alam atau pandangan hidup yang sebahagian besarnya, bagi sains Barat itu,  tidak serasi dengan Islam. Penulis buku ini, Wardhana, tidak sedikit pun menunjukkan ilmu sains zaman tamadun Islam dahulu sebenarnya mendapat ilham daripada al-Qur’aan semasa mula-mula ilmu itu diutarakan. Kemudiannya, sepatutnya, program sebegini ditunjukkan pula betapanya Einstein mendapat ilham daripada sumber bukan al-Qur’aan yang sebahagiannya secara kebetulan serasi dengan Islam tetapi ada pula yang tidak serasi dengan Islam. Tentunya, jika program sebegini dilakukan seluruhnya, maka buku ini menjadi lain sekali bentuknya, tetapi akan lebih bermakna lagi kepada Muslim amnya dan kepada sarjana-sarjana Muslim yang bekerja dalam bidang ini untuk mengisi kegiatan “pengIslaman ilmu” itu. Penulis buku ini cuba memerihalkan bagaimana program ini dilakukan atau patut dilakukan dalam bidang ekonomi dan pengurusan perniagaan dan kewangan (hlm. 70-76), walaupun ini sudah agak terkeluar daripada mauduk buku ini, tetapi langsung tidak menyentuh program yang seqiasnya dalam bidang fizik dan matematik, khususnya bidang yang dikatakan “teori Einstein” itu. Ini tentunya menghampakan pembaca yang kritis.     sebagai sumber ilmu, (2) ilmu (termasuk ilmu sains Barat dan ilmu yang dibincangkan ini, iaitu “Teori Einstein”) itu sarat nilai, iaitu mengandungi unsur-unsur


Setelah membaca buku ini lagi selanjutnya, mungkin perkara yang paling penting dan menjejaskan keseluruhan perbincangan buku ini ialah betapanya perkara yang dibicarakan itu sebenarnya bukannya sumbangan Einstein secara langsungnya tetapi sumbangan sarjana orang lain (yang tidak disebutnya!) yang berasaskan paradigma Einstein (iaitu, yang utamanya, mengaitkan masa dengan ruang dan menjadikan cahaya sebagai kuantiti mutlak dalam alam lapang). Isu yang bukan sumbangan Einstein sebenarnya itu ialah tentang “alam mengembang” (hlm. 143)




dan yang berhubungan dengannya “teori dentuman besar” (hlm. 146). Einstein tidak pernah mengutarakan pendapat bahawa alam ini mengembang, malah model alam Einstein ialah yang dikenali sebagai alam statik, iaitu alam yang sama sekali tidak berubah segala-galanya sepanjang masa, iaitu yang sama sekali tidak mengembang! Konsep “Alam Mengembang” timbul apabila Hobble 1936 mentafsirkan cerapannya 1928 sebagai akibat “fenomenon Alam Mengembang” itu dan seterusnya tafsirannya itu diperkukuhkan dengan sebuah teori oleh Alphe, Bethe dan Gamow (ABG) 1948 itu. Oleh itu silaplah (terjadi tanpa sedar?) pengarang buku ini, wardhana, apabila beliau mengatakan “Einstein menemukan perubahan warna cahaya bintang yang berubah dari biru kemudian bergeser menjadi merah” yang (kononnya) mencetuskan Einstein mengesyorkan “Alam Mengembang” itu.  Pertamanya Einstein tidak menemui fenomenon cahaya bintang ini. Hobble yang menemuinya. Andaian “Alam Mengembang”  diutarakan oleh Hobble dan pengikut-pengikutnya hingga sekarang sebenarnya kerana andaian adanya “ingsutan merah” atau “anjakan merah” yang diistilahkan sebagai kesan Doppler itu, yang wujud sebelum Einstein lagi, tidak cukup untuk menjelaskan cerapan Hobble itu.  Hanya golongan yang menentang adanya “Alam Mengembang”, dan ini ramai dan semakin ramai bersikap begitu, bersetuju mentafsirkan cerapan Hobble itu akibat kesan Doppler sahaja yang boleh terjadi jika adanya hanyutan atau gerakan alam inu tanpa mengembang sekali pun, atau sebab-sebab lain yang banyak lagi diutarakan oleh kumpulan ini (lihat umpamnya Schaefer H.F.  1994, “Stephen Hawking, The Big Bang, and God I-III”, di Internet).  Segi matematik, model “Alam Mengembang” diutarakan lama sebelum timbulnya hipotesis Hobble dan teori ABG itu lagi, iaitu pertama kali disyorkan oleh sarjana Rusia bernama Friedman pada 1922 tetapi diperbaiki oleh ramai sarjana lain selepas tersebarnya hipotesis Hobble dan teori ABG itu. Einstein tidak terlibat.


Teori Deguman Besar (atau “Dentuman Besar”) itu diutarakan bagi tujuan menjelaskan bagaimana fenomenon “Alam Mengembang” itu boleh berlaku dan ini pun Einstein tidak terlibat, walaupun semuanya menggunakan paradigma beliau. Sarjana pertama yang mengesyorkan model alam yang mengimplikasi adanya “Deguman Besar” tidaklah lain daripada model matematik alam Friedman 1922 itu. Kemudian disedari adanyanya bintang yang tiada sinarnya lagi seperti Sirius B yang ditemui oleh Clark 1862 dan Bintang van Mannen sempena penemunya 1917 dan banyak lagi selepas ini yang secara generiknya bintang ini dinamai  “Kenek Putih” (atau yang masih dikekalkan nama Inggeris oleh penulis




buku ini sebagai “white dwarf”) satu daripada cara menjelaskan fenomenon ini ialah menerusi pengubahsuaian “Teori Alam Mengembang” itu kepada “Alam Mengembang-Menguncup” dan ekorannya model alam yang berasaskan paradigma Einstein itu diubahsuai lagi yang pertama kali dilakukan oleh Steinhart dari Univ. Princeton AS pada tahun 1980-an suatu tarikh yang Einstein sudah lama meninggal (Steinhart P.J . “The Cyclic Universe” dalam  Edge, Nov. 21, 2002). Ini pun bertentangan dengan hal yang diperihalkan di dalam buku Wardhana yang disorot ini di hlm 144-145 itu.



Dalam perkara yang berhubung dengan hal ini juga, tidaklah begitu benar apabila pengarang buku ini mengatakan (di hlm. 146) bahawa Stephen Hawking sealiran dengan Einstein segi asal mula kejadian alam ini dan adanya pencipta alam ini. Einstein mungkin bersetuju adanya “pencipta” alam ini walaupun maksud “pencipta” Einstein itu berbeza daripada Tuhan Kristian, Yahudi atau apatah lagi Islam kerana Einstein terkenal dengan sikap panteisme, deisme atau tabiisme (yang malangnya tidak disentuh dalam riwayat hidup Einstein di dalam bab 4 buku ini); tetapi Stephen Hawking terkenal dengan eteisnya, malah dalam buku


yang dirujuk oleh penulis buku ini, Wardhana, “Riwayat Sang Kala” itu, Hawking memang membayangkan ke-eteis-an beliau apabila beliau dengan sinisnya mengatakan apalah peranan tuhan dalam teori penciptaan alam menerusi Teori Deguman Besar beliau yang diubahsuai menerusi teori quantum itu (dan teori quantum memang terkenal tidak dipersetujui oleh Einstein!).


Tentang ketuhanan dan keagamaan Einstein juga rasanya perlu disentuh lagi kerana pandangan Wardhana terhadap perkara ini agak tidak seimbang dengan riwayat hidup Einstein berkarya dan berbahas dengan kumpulan sarjana di Copenhagen yang diketuai oleh Neil Bohr tentang mekanik quantum. Dalam perbahasan itu antara lainnya Einstein menzahirkan falsafahnya tentang ilmu, iaitu beliau hanya percaya hukum fizik wujud bertaraf pasti dan memenuhi paradigma teori kenisbiannya yang satu daripada aksiomnya ialah  tiadanya benda berpropagasi atau merambat lebih pantas daripada cahaya. Oleh sebab hukum-hukum fizik dalam mekanik quantum bertaraf kebarangkalian/probabilitas dan ada implikasi (lebih kepada tafsiran) dalam mekanik quantum yang mencabar keesahan sebab-musabab, dan “masa” dan “ruang” dalam mekanik quantum kembali terpisah (“masa”


menjadi kuantiti mutlak) seperti sebelum Teori Kenisbian beliau, maka Einstein menganggap mekanik quantum tidak boleh diterima atau dianggapnya “tidak lengkap”. Itulah asal-usul sebabnya beliau mengeluarkan ungkapan sinisnya terhadap mereka yang bersetuju dengan mekanik quantum, “Tuhan tidak bermain dadu” dan “Tuhan memang rumit tetapi tidak jahat” yang kedua-dua dipetik oleh penulis buku ini, Wardhana, tetapi dengan fahaman/tafsiran yang lain pula. Kedua-dua ungkapan masyhur ini tidak seharusnya ditafsirkan yang Einstein itu kuat pegangan agama samawi (seperti agama bangsanya, Yahudi) seperti yang seolah-olah dipaparkan demikian oleh pengarang buku ini, Wardhana. Benarlah juga Einstein memang mencari tuhan menerusi teorinya tetapi beliau tidak mencari tuhan dalam agama samawi, atau agama Ahl al-Kitab sekalipun. Perhatikan betapa tidak serasinya pendirian Einstein tentang pastinya hukum fizik dengan falsafah sains Islam yang memberi keluwesan peranan tuhan yang sesuai dengan konsep qadha dan qadr, atau taqdir dan insya Allah itu. Ringkasnya, hukum fizik yang tidak pasti adalah lebih dekat dengan falsafah Islam; dan ini bertentangan dengan pendirian Einstein! Seperti yang telah disebut di atas, Einstein memang terkenal sebagai panties (yang memeluk ciri-ciri panteisme iaitu yang seakan-akan wahdah al-wujud), deis (iaitu yang mengikuti beberapa ajaran deisme yang …..) atau tabiis/naturalis (iaitu yang cukup akrab dengan tabiiesme atau naturalisme yang menganggap alam inilah Tuhan) yang setiap satunya bertentangan dengan agama samawi. Oleh itu, Einstein tidak sesuai


dikatakan “religius”, “berpikir tentang nilai-nilai religius” (hlm 140), atau “ingin mendapatkan niliai-nilai religius” (hlm. 140-141). Oleh itu kata-kata beliau yang juga dipetik oleh penulis buku ini di bawah subjudul “Einstein Bertemu Tuhan”, khususnya di hlm 238 & 239: “(4) saya ingin tahu bagaimana Tuhan mencipta dunia…. Saya ingin mengetahui pikiran-pikiranNya…. ”, dan “(5) Ilmu pengetahuan tanpa agama, lumpuh. Agama tanpa ilmu pengetahuan itu buta”, perlu ditafsirkan semula dengan lebih sesuai dengan pegangan hidup sebenar Einstein terhadap “Tuhan” dan “agama”. Ungkapan “Tuhan” dalam kata-katanya di sini dan sebelum ini sebenarnya lebih kepada percakapannya dengan orang yang percaya kepada “Tuhan” Yahudi atau Kristian dsbnya itu, secara sinisnya, tetapi beliau sendiri tidak percaya adanya “Tuhan” itu. Begitulah juga dengan “agama” itu. Semuanya sindirannya belaka! Bagi Einstein, “pengalaman mistik” yang ingin dialaminya ialah pengalaman terhadap misteri sehingga membawa seseorang itu kepada taakulan atau nalaran kepada kemisterian itu  kepada bentuk yang paling simpel dan merasai keseronokan sensasi itu



itulah yang dicari-carinya. Oleh itu, kita tidak seharus mengambil serius kepada kata-katanya itu, lebih-lebih lagi menggunakannya untuk kekuatan kita! Ada cara lain untuk menguatkan kedudukan kita. 


Seluruh tujuan penulisan buku Wardhana ini, iaitu untuk mengeyakan/menegakkan keesahan Teori Einstein, Teori Alam Mengembang, Teori Deguman Besar dll. berasaskan al-Qur’aan mungkin boleh dilakukan jika teori-teori itu memang asalnya benar-benar diinspirasikan oleh al-Qur’aan. Oleh sebab teori itu tidak pernah diasaskan pada al-Qur’aan, tetapi tiba-tiba kita beria-ia pula mengatakan teori itu sesuai atau ada di dalam al-Qur’aan, maka paling-paling baik pun al-Qur’aan menjadi sumber sekunder ilmu, alat kelih belakang (melihat perkara yang sudah terjadi dan cuba merasionalkan kejadian itu), atau serasi secara kebetulan  sahaja. Ini tidak baik untuk Islam.


Yang menjadi lebih menjatuhkan Islam atau Muslim lagi ialah apabila seseorang menggunakan al-Qur’aan untuk menegakkan keesahan sesebuah teori sains yang sudah ketinggalan zaman atau terbukti salah, atau sedang mendapat kritikan hebat kelemahannya. Ini sebenarnya yang terjadi kepada Teori Alam Mengembang, dan Teori Deguman Besar. Teori yang menyaingi teori-teori ini sudah hampir berada di atas sekarang atau sekurang-kurangnya teori-teori itu sudah diubahsuai hasil kritikan hebat kelemahannya selama ini termasuk oleh ahli falsafah Kristian dan ahli sains teis (Kristian) Barat menerusi pengisian teori alternatif kepada kosmologi sekular (menerusi hipotesis “Alam Mengembang” dan “Deguman Besar” itu) yang dinamainya “Teori Reka Bentuk Pintar” atau “Intelligent Design theory” itu (Lihat sahaja internet
dengan menaip judul-judul ini atau buku Shaharir 2004 yang telah disebut di atas).


Paradigma Einstein sendiri pun menerima kritikan yang hebat, dan setengah daripada kritikan itu berasaskan tradisi ilmu Islam yang tentunya lebih serasi dengan al-Qur’aan yang disebut pada bahagian awal sorotan atau resensi ini. Yang dimaksudkan itu ialah andaian utama dalam Teori Einstein terawal, Teori Kenisbian Khas, iaitu cahaya itu mutlak (kelajuannya malar/konstanta tidak bergantung pada kerangka rujukan/referensi), ditolak oleh Einstein sendiri dalam Teori Kenisbian Am beliau. Paparan penulis buku ini, Wardhana,  tentang bagaimana nilai/harga laju/cepatan cahaya dapat diperoleh menerusi al-Qur’aan di hlm. 170-178, adalah suatu usaha yang dilakukan oleh seorang ahli fizik



Mesir yang bernama Mansour H.-E. dalam makalahnya di internet berjudul “A New Astronomical quranic method for the determination of the greatest speed c” di sekitar 1990-an yang malangnya tidak disebut pun oleh penulis buku ini, Wardhana, yang boleh menimbulkan fitnah penciplakan pula, walaupun beliau ada menyenaraikan sumber yang diperolehnya di rujukan bilangan 65 dalam buku beliau itu. Sudahlah demikian, beliau nampaknya tidak menyedari betapanya karya Mansour ini banyak menerima kritikan  tentang kelemahannya terutama oleh golongan eteis/pemikir bebas/sekular seperti oleh Carrier R.  dalam makalahnya “The Koran Predicted the Speed of Light? Not Really”, di majalah-e dari sekularis The Secular Web Kiosk 2001, http:// www. secweb. org/index.aspx? action= viewAsset&id=168; dan sebelumnya oleh seorang lagi sekularis Neumaier A. di http://www. mat.univie. ac.at/~neum/ sciandf/ eng/c_in_quran.txt , (tanpa tarikh) yang memang yang memang perlu dijawab oleh mereka yang ingin memepertahankan karya ini  seperti Wardhana (dan setahu penulis Mansour sendiri senyap sahaja). Malah pihak musuh Islam ini juga mencabar secara amnya tentang adanya unsur sains dalam al-Qur’aan seperti tulisan Giron D. (tanpa tarikh), “Islamic Science: Does Islamic literature contain scientific miracles?” di http:// www. infidels. org/library/ modern/denis_giron/ islamsci. html yang perlu dijawab oleh para Bucailleis seperti Wardhana ini. Semua ini sepatutnya dibicarakan oleh Wardhana dalam Bab 12 yang sekarang ini isinya agak kurang relevan. Keduanya, andaian ruang-masa dalam Teori Kenisbian Einstein itu masih tidak memenuhi konsep “masa” dan “ruang” dalam dunia Barat sekali pun seperti yang dihujahkan oleh sarjana besar Inggeris yang sezaman dengan Einstein, Whitehead (yang dapat dilihat dalam internet, dengan menaip “Whitehead’s Theory of Relativity”), tetapi lebih-lebih lagi dengan tradisi Islam seperti yang umpamamanya dijelaskan oleh Iqbal dalam bukunya 1930-an yang telah disebut di atas. Dengan keadaan ini, bagaimana letaknya hujah-hujah keserasian al-Qur’aan dengan Teori Einstein yang cuba diutarakan oleh buku ini?


Berkenaan dengan “rumus Einstein” terkenal , E= , yang mengikut buku Wardhana ini dikatakannya “teori kedua Einstein” itu pertamanya perlu ditegur juga betapa tidak tepatnya rujukan sedemikian itu. Keduanya,  setahu kami rumus ini sebenarnya bukan persamaan dan ketiganya, Einstein bukannya orang pertama memperolehnya. Hujah yang cuba dikaitkan rumus ini dengan “the white dwarf” (hlm. 180) dan ayaht al-Qur’aan itu pun tidaklah tepat. Rumus ini ditujukan kepada sebarang jirim termasuk di muka bumi ini sahaja, tanpa hubungan jisim itu bercahaya atau tidak. Sebab itu ini diistilahkan sebagai “tenaga dalaman” sesuatu jisim atau “tenaga pendam”.  Walau apapun al-


Qur’aan tidak sesuai dijadikan alasan benarnya rumus Einstein ini dengan cara yang dibentangkan di situ. Begitu juga dengan rumus jisim dalam Teori Einstein di hlm. 181. Hujah-hujah yang diutarakan itu tidak relevan dengan rumus-rumus itu. Tidak mampunya manusia ke bintang terdekat dengan kita selepas matahari tidak memerlukan Teori Einstein atau rumus itu. Pengiraan aritmetik biasa pun mencapai keputusan itu. Lagi pun rumus hubungan jisim yang bergerak dengan jisim diam itu pun terbalik, sepatutnya jisim diam itu menjadi jisim bergerak dan jisim bergerak menjadi jisim diam kerana bandingkan jisim cahaya yang berkelajuan tertinggi (mengikut aksiom Einstein) ialah kosong tetapi mempunyai tenaga yang tertinggi.


Isu benda boleh meluncur lebih pantas daripada cahaya dengan menggunakan ayaht-ayaht al-Qur’aan di hlm. 188-189 itu  tidak sesuai di bab pengukuhan Teori Einstein kerana Teori Einstein tidak mengiktiraf wujudnya benda ini. Ayaht-ayaht al-Qur’aan itu boleh digunakan untuk menjadi alasan kelemahan Teori Einstein! Namun tentang unsure-unsur tidak sesuainya sesuatu perkara dalam buku Wardhana ini, ada banyak perkara yang lebih tidak relevan lagi, kerana tidak menumpu kepada isu utama daripada judul buku ini. Ini berlaku dengan banyaknya dalam bab 2 dan 3 itu yang sebahagiannya sahaj disebut di atas. Isu tambahannya kepada yang tidak relevan itu ialah isu “pengklonan”, dan “eutanasia” dalam Bab 2 itu. Dalam Bab 7 pun banyak yang terkeluar isunya iaitu tidak menumpukan kepada isu fizik yang menjurus pula kepada astronomi dan kosmologi yang melibatkan teori Einstein itu.


Akhirnya, perlu juga rasanya ditegur di sini tentang pandangan penulis buku ini bahawa “sudah terbukti bahawa teori Einstein yang begitu rumit dan hanya bisa diterangkan dengan teori quantum yang menjadi landasan fisika modern, ternyata sudah tersirat di dalam al-Qur’an” (hlm. 261) itu ada pernyataan yang tidak tepat sama sekali kerana teori Einstein (iaitu Teori Kenisbian/Kerelatifan beliau itu) tiada kena mengena dengan mekanik quantum dan oleh itu boleh difahami bebas daripada teori quantum (malah tiada buku teks teori Eintein yang menerangkan teori tersebut yang berlatarbelakangkan teori quantum), di
samping  kurang benarnya teori Einstein tersirat di dalam al-Qur’an kerana kini terbukti teori Einstein itu banyak kelemahannya tetapi “al-Qur’an” tiada sama sekali sedikit pun kelemahannya. Usaha menyatukan teori Einstein dengan mekanik quantum memang ada dan sedang diteruskan kerana belum mencapai kejayaannya, walaupun kejayaan ad hoc seperti yang dicapai oleh Hawking dalam teori kosmologi


quantumnya selalu disebut-sebut dan dipopularkan menerusi buku beliau yang terkenal itu.



Kesimpulan

Buku ini banyak kekeliruannya dan oleh itu tidaklah perlu sangat diusahakan untuk membacanya, tetapi jika seseorang berkesempatan membacanya maka dia perlulah berusaha pula membaca karya lain lagi yang lebih berisi dan tepat tentang perkara-perkara yang dibicarakan itu segi fakta dan pem-Bucaille-annya sekalipun.



Rujukan

Baiquni A. 1995. Al Qur'an Ilmu Pengetahuan dan Teknologi;. danKonsep-konsep kosmologis” di http://soni69. tripod.com/.

Bucaille M. 1978. Bibel, Qur-an dan Sains Modern. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang

Carrier R.  2001. The Koran Predicted the Speed of Light? Not Really. The Secular Web Kiosk 2001, http:// www. secweb. org/index.aspx? action= viewAsset&id=168

Giron D. (t.t.). “Islamic Science: Does Islamic literature contain scientific miracles?” di http:// www. infidels. org/library/ modern/denis_giron/ islamsci. html

Harun Yahya (t.t). Penciptaan  Alam Semesta. K.Lumpur:Media Saba (terj. drp Turki).

Hawking S. 1988. Riwayat Sang Kala. Terjemahan buku asalnya, “A Brief History of Time”. Bantam 1987

Iqbal M. 2004. The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Reprinted with a new Preface. N.Delhi: Adam Publishers & Distributors. Fisrst published 1933. Ada terjemahan terbaru dlm bahasa Melayu Indonesia, Rekonstruksi Pemikiran Agama dalam Islam”, terbitan Al-mizan 2002

Mansour H.-E. 1990-an? “A New Astronomical quranic method for the determination of the greatest speed c” di internet

Moore K. L. & al-Zindani A.-M. A. 1982. The Developing Human with Islamic Additions. 3rd ed. , W.B. Saunders Company, Philadelphia

Neumaier A. (t.t). di http://www. mat.univie. ac.at/~neum/ sciandf/ eng/c_in_quran.txt 

Sa‘id Hawa. 1985. al-Asas fi al-Tafsir. Al-Qahirah
Sa‘id Hawa . al-Rasul. Singapura: Syarikat Kerjaya al-Mahmudaht

Schaefer H.F.  1994. “Stephen Hawking, The Big Bang, and God I-III”, di Internet

Shaharir b.M.Z. 1990. Modes of operations in the quest of Islamic science. MAAS Journal of Islamic Science 16 (2): 53-70
Shaharir b.M.Z. 2004. Dinamik Sebutir Dua Zarah Klasik: Penjana Sains Matematik, Peguam Bela dan Penjana Nilai Serta Kontroversinya Sepanjang Zaman. Bangi: Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia
Shaharir b.M.Z. 2006/2007. Dialog ilmu falak dengan astronomi I-III. Islamiyyat, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Steinhart P.J . 2003. The Cyclic Universe.  Edge, Nov. 21, 2002, dlm internet.

Sulaiman N. 1999. Sains Menurut Perspektif Islam.  Cetakan ke-9. Bangi: PPU, Univeriti Kebangsaan Malaysia 1999 (cetakan pertamanya 1989);

Whitehead A.  “Whitehead’s Theory of Relativity” di internet.

(Ini salinan manuskrip asal makalah ini sebelum terbit dlm Jawhar itu. Tiadalah beza isinya kecuali mungkin ejaan dan penyususan persembahan rujukan, dan bilangan halaman sahaja )

______________________________________________________
  
Kita poskan ulasan buku di atas untuk perhatian kita bersama.  

Setelah itu, marilah kita sama-sama bertanya, " Apakah yang yang mahu dibentangkan oleh penulisnya?"

Kita (ertinya penulis) kurang arif dengan mesej yang mahu dibentangkan.
Kita (ertinya penulis) ingin mengatakan bahawa kandungan ulasan dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh seorang pakar dalam bidangnya.

Kita (ertinya penulis) boleh memutuskan bahawa bahasa Melayu pakar bidang ini sangat sukar dan berbelit-belit.  Betulkah gitu?

Kita (ertinya penulis sendiri) boleh memutuskan bahawa bahasa Melayu rendah keupayaannya (juga statusnya) kerana apa yang diungkapkan itu tidak berupaya memahamkan penulis?  Betul gitu?


Atau bagaimanakah cara paling baik melihatnya? (keupayaaan terhad penulis blog memahaminya, bahasa yang digunakan, ilmu yang mahu disampaikan...)

Atau kita putuskan begini saja: 

Kita tulis dalam bahasa Inggeris saja kerana itulah rumahnya ilmu?

Wallahuaklam.


ps: Mungkin, awal-awal lagi sudah ada yang bertanya dari mana datangnya 'pipi' itu?





No comments: