Subject: Bantahan Paparan Gambar Berunsur
Lucah di Utusan Malaysia
Saya
merujuk kepada surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 26hb April 2012, dan hari
ini 2hb May 2012 yang kedua-duanya ada memaparkan beberapa gambar yang berunsur
lucah kepada bacaan umum. Pada minggu lepas pihak editor telah membenarkan
paparan beberapa gambar yang mengaitkan salah laku seks seorang ahli Dewan
Perwakilan Rakyat Indonesia yang pelakunya telah menafikan sekeras-kerasnya
melalui surat akhbar tempatan dan berita di Jakarta. Manakala hari ini pula
pihak editor dengan tanpa rasa ‘bersalah’ memaparkan gambar dalam keadaan
lelaki dan perempuan sedang melakukan beberapa aksi lucah.
Saya
sebagai ahli pengamal perubatan yang sah di Malaysia dan sebagai bapa kepada
anak-anak saya merasa terpanggil untuk membuat bantahan secara terbuka kepada
pihak Editor Utusan Malaysia kerana adalah tidak wajar membenarkan gambar
sedemikian untuk tontonan umum. Sebagai sebuah akhbar tempatan yang berpengaruh
dan bertanggungjawab, etika dalam penyiaran melalui media perlu dihormati dan
garis panduan tersebut diikuti sewajarnya. Pihak Utusan Malaysia sewajarnya
menjadi contoh untuk menggalakkan perkara yang baik dalam masyarakat Malaysia
dan menutup keaiban merentasi fahaman politik, bangsa dan perbezaan ideologi.
Saya
juga membantah sekeras-kerasnya paparan gambar tersebut, tanpa mengira siapa
aksi pelaku sebenarnya kerana ini boleh menyebabkan pihak masyarakat umum
berusaha untuk mencari video yang ada dimuatnaikan dalam laman sesarang
tertentu. Gambar-gambar tersebut bukan sahaja mempengaruhi pemikiran golongan
dewasa yang faham maksud disebaliknya, tetapi golongan generasi muda dan
pelajar-pelajar juga akan mudah terdedah dengan contoh-contoh kerosakan sosial
masyarakat semasa. Kita telah maklum bahwa tidak mudah membangun masyarakat
yang bertamadun, beragama dan mengamalkan tatasusila yang baik sekiranya saban
hari masyarakat kita didedahkan dengan gambar-gambar sedemikian rupa dalam
media cetak dan elektronik.
Fikirkanlah
bahawa kebaikan dan kerosakan masyarakat juga adalah sebahagian daripada
tanggungjawab sosial pihak pengamal media. Pihak Utusan Malaysia seharusnya
lebih peka dan sensitif dalam mengendalikan isu sebegini supaya masyarakat
tidak memandang serong niat sebenar media cetak dan peranan sebenarnya dalam
mendidik masyarakat tidak disalahertikan.
Oleh:
Dr Azizi Ayob, Pengerusi I-Medik Selangor & Wilayah Persekutuan
(Surat bantahan ini telah dihantar kepada Editor Utusan Malaysia pada 2hb Mei 2012)
No comments:
Post a Comment