Showing posts with label Kenyataan Media Cikgu Azmi TERAS. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media Cikgu Azmi TERAS. Show all posts

Saturday, March 8, 2014

KEPUTUSAN YANG MENGABSAHKAN BUDAYA POLITIK FITNAH.



Kenyataan Media TERAS
8 hb Mac 2014


KEPUTUSAN YANG MENGABSAHKAN BUDAYA POLITIK FITNAH.

TERAS merakamkan kekesalan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Harapan politik negara akan bebas dari politik fitnah dan manipulasi media kini berkecai dan gelombang serangan fitnah lucah dalam persaingan politik akan kembali menjadi tema utama dalam ruang awam.

Tuntutan rakyat agar politik lucah dan fitnah dihentikan kini disemarak kembali melalui keputusan institusi kehakiman yang tidak melihat implikasi jangka panjang bila tuduhan  mudah dilontar kepada siapa sahaja tanpa menyediakan bukti seperti yang dituntut oleh syariat Islam.

Jelas jika dilihat secara syariat keputusan itu tidak menepati kehendak keadilan dalam Islam.

Keputusan berdasarkan bukti yang tidak memenuhi kriteria mengikut undang-undang Islam kini telah membuka ruang untuk budaya mengfitnah menjadi amalan dalam masyarakat.


Mengikut perundangan Islam penghakiman yang dikeluarkan itu telah menganiayai Datuk Seri Anwar kerana kesangsian kepada bukti tidak menjadi asas untuk rayuan itu diketepikan.

Kami yakin  hukuman ini adalah bermotif politik memandangkan Datuk Seri Anwar telah membuktikan dirinya sebagai seorang pesaing politik yang paling getir untuk dihadapi oleh pihak penguasa selama ini. Dengan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun  , musuhnya mengandaikan karier politik beliau akan berakhir.

Sejak dari awal lagi semua rakyat melihat seluruh jentera kehakiman serta media awam telah digembleng semaksimanya untuk melancarkan asasinasi karaktor terhadap Anwar.

Kami mendapati perundangan Islam mengikut hukum qazaf sepatutnya diaplikasi keatas yang menuduh. Namun jelas secara terang-terangan ia telah diketepikan dan ini menjadi prisiden kepada semua kes  seumpamanya selepas ini untuk mengenepikan hukum qazaf dilaksanakan di negara ini.

Politik negara kini akan mengabsahkan segala fitnah liar sebagai alat yang dibolehkan untuk menamatkan mana-mana pesaing politik pemerintah.

Kes tuduhan liwat ke 2 ini adalah jelas suatu usaha berkesinambungan untuk melanjutkan serangan keatas Anwar. Musuh beliau nekad untuk meneruskan politik fitnah sebagai senjata yang dianggap boleh menamatkan kebangkitan rakyat yang diinspirasikan oleh beliau.

Undang-undang negara kini hanya bermakna ketika mana ia tidak menjejaskan pihak penguasa yang ditunjangi oleh kerajaan BN. 


Ketika ada keberanian mana-mana pihak yang boleh mendedahkan kepincangan mereka kepada seluruh rakyat , jentera kerajaan akan diguna untuk membunuh keberanian itu.

Adalah sangat memalukan politik negara tidak mendewasa untuk berganjak dari politik rimba dan fitnah kepada politik ide lawan ide. Kenapakah kepincangan mentadbir negara yang berhak diketahui rakyat perlu diselindungi dengan cara yangnpaling jijik, menebarkan fitnah melaui jentera resmi kerajaan.

Kini dunia akan meneropong politik negara dengan persepsi yang negatif lantaran keyakinan terhadap sistem kehakiman negara merudum. Budaya membunuh politik lawan dengan memanipulasi undang-undang akan menjadi rekod institusi kehakiman negara amat buruk.

Kami menegaskan rakyat tidak mungkin boleh diperbodohkan berterusan kerana politik kotor  dan kebusukkan konspirasi politik akan akhirnya terdedah dan mereka yang menjadi aktor dalam rancangan jahat merencanakan fitnah pasti akan dihukum oleh rakyat.

Kami memanjangkan simpati dan solidariti kepada Anwar dan seluruh keluarganya . Pengorbanannya untuk berjuang bagi membangunkan politik baru yang lebih bersih, terhormat dan sihat demi masa depan negara dan rakyat adalah suatu pengorbanan yang seharusnya diteladani oleh semua. 

 Ketegasan beliau untuk tidak tunduk kepada hegemoni kuasa pemerintah adalah rangsangan yang akan menginspirasikan rakyat supaya negara tidak terus dibiarkan berada ditangan penguasa yang korup dan mengaut keuntungan peribadi dan kerabat keluarga.
 

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu





Friday, September 6, 2013

TERAS BANTAH LAYANAN TERHADAP PAK SAMAD



Kenyataan Media TERAS

6hb Sepetember 2013



TERAS BANTAH  LAYANAN TERHADAP PAK SAMAD



TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS) kesal layanan polis terhadap Pak Samad yang menahan beliau di rumah tengah malam. Seolah beliau seorang penjenayah yang perlu diburu sehingga lewat malam adalah suatu tindakan yang tidak wajar.



Apakah yang menggerakkan pihak polis beria-ia benar mahu menahan Pak Samad sehingga  perlu melakukannya lewat malam .



Seperti yang dijelaskan oleh Pak Samad polis hanya perlu memaklumkan kepada beliau secara resmi dan tidak hanya melalui penguman media agar beliau ke balai polis untuk memberi keterangan.



Layanan seperti yang dilakukan oleh pihak polis itu sangat tidak wajar apatah lagi kepada seorang yang dihormati masyarakat dan mengambilkira juga  beliau yang sudah lanjut usia.



Kami membantah sikap Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Ahamd Shabery Cheek ,  yang mengugut bahawa gelaran Pak Samad sebagai Sasterawan Negara mungkin ditarikbalik . Sikap tidak matang dan gopoh dari seorang Menteri adalah sangat memalukan.



Demikian pernyataan keras dan biadap seorang lagi Menteri sebelum ini iaitu Menteri Kebudayaan dan Pelancongan , Datuk Seri Nazri Aziz yang bongkak terhadap Pak Samad tidak melambangkan kematangan dan kelayakan seorang  Menteri terhadap seorang pemegang anugerah Sasterawan Negara. Dengan hanya laporan media , beliau melampiaskan kata-kata kesat kepada Pak Samad.



Pak Samad dihormati rakyat kerana beliau menampilkan diri sebagai seorang budayawan yang merasai kepincangan dan kebejatan politik negara perlu ditegur . Sikap tegas tetapi sangat santun dan beradab dalam melahirkan rasa dan pandangannya kepada pemimpin dan pemerintah dilihat rakyat sebagai penampilan yang jujur dan dibanggakan.



Oleh itu kekuatan beliau yang hanya dengan kata-katanya yang diungkap lewat puisi sastera tahap tinggi hendaklah dihormati oleh semua pihak.



Pihak polis yang hanya bertindak atas arahan kebanyakan mereka tidak mungkin memahami mesej beliau yang tajam dan sarat dengan kalimah kritikal tidak sewajarnya melayani beliau sebegitu rupa.



Kami kesal Ketua Polis Negara nampaknya begitu cepat meluahkan kata-kata menuduh Pak Samad padahal  beliaupun sepatutnya menunggu sesiatan dilakukan keatas Sasterawan Negara itu.

Pihak polis sepatutnya meminta maaf kepada Pak Samad diatas sikap dan layanan mereka mengambil beliau pada tengah malam bagaikan menangkap seroang penjenayah.

Kami merakamkan pernyataan hormat dan kagum dengan sikap dan watak tenang Pak Samad ketika menghadapi karenah pihak berkuasa .

Kami menyatakan solidariti kami bersama Pak Samad dan mengharapkan insiden tersebut menambahkan tegar beliau bersama Rakyat memperjuangkan kebenaran dan keadilan.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu



Thursday, December 13, 2012

Dari kamar tidur (sambil mengharapkan pulih dari pembedahan)


MENDIDIK RAKYAT CELIK POLITIK

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS


Mengamati jalan pikir politik rakyat sangat merunsingkan. Bukan kerana rakyat memang begitu pikirannya .Akan tetapi rakyat dikondisikan berpikir begitu. Jika rakyat dihamilkan oleh ibu yang takabur manakan tidak lahirlah rakyat yang berpikir gagap. Akibat kerap disergah bapak yang bengis maka jadi gagaplah rakyat yang digelar anak. Gagap untuk berkata yang benar . Gagap juga untuk menyanggah yang salah.

Puncanya ? Rakyat membesar dengan asuhan naif dalam pikir politik. Atau juga memang berpikir politik yang sedia ada inilah yang bikin rakyat jadi seperti ini. Kerana tidak diajar berpolitik , tidak diajar ilmu hukum maka beginilah jadinya.

Rakyat jadi susah menilai peribadi orang yang galak meminta diberi jawatan. Sebabnya? Rakyat sendiri tidak diilmukan dengan ilmu sahsiah dan ilmu jiwa. Lalu jadi jahil sebilangan besar rakyat bila memileh pemimpin politik. Kerna yang disumbat dalam pikiran rakyat hanyalah pikiran lurus bendul. Tidak diizinkan mengerti uraian berpikir , jauh sekali filsafat dan ilmu logika.

Memang tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa rakyat sebetulnya tidak dimaksudkan untuk mengerti itu semua. Yang pasti rakyat hanya dipersiapkan untuk jadi alat saja.

Demikianlah rakyat muda kita mendewasa. Mereka dididik untuk patuh bukan pematangan dalam berpikir. Mereka ditatang untuk menghafal bukan dilatih untuk mengurai permasalahan. Mengenai dasar keadilan di dalam pergaulan dan kelakuan manusia , mengenai kenapa manusia berpelajaran tidak sama dengan manusia berpendidikan , mengenai kemelaratan di tengah-tengah kemewahan dan pembaziran.

Itu semua tidak dianggap sebagai ilmu yang perlu dikaji dan diuji. Lalu generasi yang lahir ditengah rakyat ialah generasi bersijil , bukan generasi berpikir. Akhirnya yang diperolehi dari rakyat yang digelar graduan hanya dapatan dari segunung tesis-tesis beratusan muka surat dan kajian yang berjilid-jilid buat memenuhi syarat lulus ijazah .

Namun kenyataan di dunia menjadi remang-remang.Gejala-gejala yang muncul lalu lalang, tidak boleh rakyat hubung-hubungkan. Sehingga rakyat jadi marah pada diri sendiri dan sebal terhadap masa depan.Lalu akhirnya, rakyat terasyik dalam menikmati masa bodoh dan hidup santai terus .

Demikian seangkatan demi seangkatanlah lahir generasi gagap. Hanya terbiasa dengan memakai dan menerima . Tanpa boleh mengurai dan bertanya , jauh sekali menghasil keasliaan dalam berpikir. Jadilah rakyat gagap dalam bersikap , dan santai dalam berperangai. Persis hidup bak luncai dengan labu-labunya.

Walhasil rakyat dan aktor politik hanya tahu bergelar dan berpangkat. Bergelar dan berpangkat itu pula disamakan dengan memimpin, padahal sebetulnya ia hanya baru berada diambang kuasa , bukan memimpin. Menjadi semakin kabur dan kelabu pandangan mata hati rakyat dalam berpolitik.

Jika dirujuk kepada leluhur bapak-bapak rakyat ternyata  ada satu punca besar rakyat jadi begini. Puncanya pendidikan negeri ini berkiblat ke Barat.Di sana anak-anak memang disiapkan untuk menjadi alat dari industri , perkakas bagi pemerintah.

Dalam industri mereka berjalan tanpa henti mengikut rantai sambung menyambung memenuhi target produktiviti dan dalam sistem pemerintah mereka dipersiapkan menjadi alat birokrasi!

Maka kelihatan manusia industri dan manusia birokrasi masing-masing sibuk .Yang satu mengfasilitasi kecekapan yang satu , yang satu menyokong kelancaran yang satu. Semua ini diberi kalimat hebat yang dinamai "transformasi" Sehingga tidak sedar rupanya birokrasi menjadi berlebihan , industri pula menghasil sampah bertimbunan tanpa kegunaan - menjadi benalu di dahan. Yang ini pula diberi pradikat "pertumbuhan".

Padahal "transformasi" yang diwar-warkan sebenarnya menggahkan "form" bukan isi , dan "pertumbuhan" pula menjadi "ketumbuhan" tumor yang tidak punya had merebak sel kanser yang membunuh, bukan pemerataan untuk keadilan buat mereka yang tersisih dan terpinggir.

Politik rakyat menjadi semakin gelap. Pendidikan tidak memberikan pencerahan. Latihan-latihan tidak memberi pekerjaan. Politik tidak menghasilkan pembelaan. Yang diharap memimpin akhirnya enak disinggahsana kekuasaan.

Karena rakyat tidak pandai mentafsirkan, akhirnya lebih enak lari ke dalam ganja kebergantungan. Lalu berduyun-duyun meramaikan majlis berteriak " kita boleh ! " , menjerit " janji ditepati " disebalik keperitan perut yang maseh lapar , anak maseh terputus susu , ibubapa bekerja siang malam ketika berikhtiar menutup kaki kepala terdedah , menutup kepala kaki terbuka. Di dalam kemabukan, wajah berdarah akan terlihat sebagai bulan. Kening berkedut terlihat sebagai bintang berkelipan.


Rupanya rakyat termakan rawatan ubat "tahan sakit" yang bersifat sementara. Diminta mereka menadah tangan sementara melafazkan janji setia memenangkan mereka untuk berkuasa lagi. Tidak diketahui barah ketumbuhan itu akan menyerang kembali . Ketika itu bukan , bukan jeritan " janji ditepati " yang akan bergema lagi , akan tetapi bertukar menjadi " rakyat perlu berkorban " menjadi tag-line yang baru pula.

Apakah artinya tanda-tanda yang rumit ini? Mengapa harus rakyat terima hidup begini?

Sememangnya seseorang itu berhak diberi ijazah doktor , jika itu yang dia inginkan, lalu rakyat dan nusa menjadi  bangga. Memilikki rakyat dari yang terpelajar. Walaupun tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan. Beranikah dia berbicara bila ada tirani merajalela. Ataukah kerjanya cuma menyuntik ubat tahan sakit saja.

Demikian rakyat puas melihat berbondong-bondong mahasiswa graduan ilmu hukum bagaikan berbarisan perwira-perwira keadilan ataukah hanya menjadi saf kareris mengejar pendapatan lumayan bukan penyuara pendapat kebenaran. Mungkinkah rakyat akan dikecewakan , yang dikata perwira-perwira ini berkesudahan hanya sebagai bendera-bendera upacara, sementara hukum dikhianati berulang kali didepan mata.


Berharapkah lagi rakyat kepada mahasiswa-mahasiswa ilmu ekonomi yang berderetan bagaikan bunga plastik, kelihatan indah dari pandangan jauh tetapi hambar bila disentuh. Lantaran mereka bukan graduan dari permasalahan ekonomi rakyat akan tetapi penteoris ilmu ekonomi di kamar kuliah di gedung universiti . Padahal yang melingkari realiti ekonomi rakyat adalah kebangkrutan yang sarat dengan tabiat korupsi. Yang terhasil bajet yang berkepanjangan defisit tanpa alasan , yang terlibat ialah perbelanjaan mewah tanpa rasional.

Rakyat berada di dalam pusaran tata warna yang mengelirukan dan tak terbaca. Berlegar dalam penjara kabut yang memabukkan tanpa menemukan jalan keluar.

Tangan rakyat menggapai untuk mencari pegangan dalam kelemasan udara tercemar dan beracun. Dan bila luput, rakyat terkapai-kapai mencakar ke arah udara.

Inikah yang dikatakan rakyat menjadi  angkatan gagap yang diperanakkan oleh angkatan kurang ajar. Daya hidup telah diganti oleh nafsu. Pencerahan telah diganti oleh pembatasan. Jika rakyat terus begini , inilah angkatan rakyat yang berbahaya. Bukan sahaja untuk generasi masakini malah buat angkatan mendatang.



Dinukil
pada 13 hb Disember 2012
jam 3.22 ptg
Di Merbok , Kedah
Kamar tidur sambil mengharapkan pulih dari pembedahan