Seekor LIPAS, sezarah kepercayaan
Ini pagi yang aneh. Sungguh, suatu pagi yang pelik sekali.
Bakul sampah di dapurku penuh sisa-sisa makanan.
Dan kutemui seekor lipas merayap-rayap; menadah tempurung.
Setelah sekian lama berpandangan, kami pun berbicara:
AKU: Kau cari apa?
Ia diam. Mata bergandanya bersinar-sinar terus.
Dan tempurung diangkatnya, tingi-tinggi.
AKU: Kau cari apa?
Ia tersedu-sedu.
LIPAS: Sekalian serangga TIDAK lagi percaya aku ini LIPAS. Apa kau tidak
kasihan akan aku?
AKU: Kau mahu apa?
LIPAS: Mohon bantuanmu. Kau penuhilah tempurung ini dengan zarah-zarah
kepercayaan. Aku malu. Sekarang aku menanggung malu yang teramat sangat. Aku malu terus
hidup sebagai seekor LIPAS.
LIPAS yang defisit kepercayaan.
Ia terus menangis; tempurungnya ditadah tinggi-tinggi. Ia terus menangis
dan menangis.
Tidak sampai hati pula melihatnya terus meratap, meratap dan meratap dan
menangis. Akhirnya kubulatkan tekad. Ia perlu kubantu.
Lalu kujuihkan muncungku ke arahnya. Ia menghampiriku dan kami pun
berpelukan. Kami bercium panjang. Cium derma keyakinan yang paling panjang dan
sangat lama yang pernah kuberikan dalam hidupku.
Hah, LIPAS itu sudah kuberikan sezarah kepercayaan.
Akhirnya, dengan segala tabik hormat, ia pun pergi penuh kegembiraan.
Maka berkatalah seekor LIPAS, "Terima kasih Bro. Aku masih seekor
lipas yang dipercayai."
Tirai pagi pun ditutup.
(Mohon maaf kerana terlalu lama kau kutinggalkan. Apakah lelangit Barajiwa kini penuh dengan sesawang?)