Showing posts with label budaya. Show all posts
Showing posts with label budaya. Show all posts

Tuesday, November 24, 2015

Belajar dari Ngarrindjeri elder Tom Trevorrow





Belajar dari Ngarrindjeri elder Tom Trevorrow

“The approach of Traditional Owners to caring for the natural landscape, including water, can be expressed in the words of Ngarrindjeri elder Tom Trevorrow: “our traditional management  plan was don’t be greedy, don’t take any more than you need and respect everything around you. That’s the management plan — it’s such a simple management plan, but so hard for people to carry out.” 

This traditional philosophy is widely held by Traditional Owners and respected and supported by the Murray-Darling Basin Authority.”
Petikan di atas digunakan oleh the Murray-Darling Basin Authority, sebuah institusi yang mengurus lembangan sungai Murray-Darling di Australia; Ia menjadi contoh atau model  pengurusan lembangan sungai bertaraf dunia.  

Buah fikiran dan pandangan Orang Lama Ngarrindjeri, seperti elder Tom Trevorrow seorang asal Australia telah diambil untuk dijadikan falsafah asas kepimpinan sebuah institusi yang berjaya seperti Pihak Berkuasa Murray-Darling. Pandangan Elder Tom Trevorrow penuh kebijaksanaan yang sukar ditandingi itu menjelaskan masalah sebenar kita manusia ketamakan. Jika manusia dapat mengawal diri supaya tidak tamak banyak masalah kita dapat diselesaikan dengan mudah.

Untuk sebuah masa depan Malaysia yang selamat, kita tentu mahukan hal-hal seperti kepimpinan yang baik ini direnung dengan serius, mendalam dan bersungguh-sungguh oleh orang-orang yang sentiasa bergulat dengan kuasa iaitu orang-orang politik.  Mereka yang bakal memerintah Malaysia ini mestilah sedar bahawa demi masa depan negara ini, agenda sempit berteraskan pemikiran bahawa hayat politikku ialah lima tahun sahaja mestilah dikikis habis. Orang-orang politik kita mestilah besar jiwanya.  Mereka yang beria-ia dan bercita-cita mahu menerajui sebuah negara tentulah punya idealisme murni untuk diterjemahkan. Jika ingin pelajari caranya, sila teliti buah fikiran orang lama, seorang asal benua Australia elder Tom Trevorrow:

Pelan pengurusan silam kita ialah jangan jadi TAMAK.

Apakah pihak Oposisi kita mampu ikuti landasan pemikiran ini, lama sebelum PRU14?

Sebenarnya ini juga adalah sebuah komponen tekad budaya.




Tuesday, November 10, 2015

KITA semua asesori SATU JAMBAN?











Jamban dan asesorinya


‘Perasan’ berasal dari kata dasar ‘rasa’; ia menceritakan tentang emosi dan perasaan seseorang itu.

 ‘Perasan’ sepatah kata yang kerap digunakan di Utara semenanjung. Sejak kecil lagi; sejak lahir, membesar dan belajar di Kedah, saya kerap mendengar orang-orang Kedah menggunakannya.  Ia membawa maksud megah dan berasa bangga.

2.

Setiap kali memasuki bilik air, saya terpandang asesori pembersih bilik air (dan tentunya untuk jamban juga) ini. Tanpa alat-alat ini, kita tahu apakah akibatnya.

Tidak ada sesiapa yang waras dapat menidakkan peranan, fungsi serta tanggungjawab alat-alat ini untuk sebuah bilik mandi dan untuk sebuah jamban.


3.

Pegawai-pegawai besar awam, para pemimpin institusi, para jaguh NGO, para jurucakap agama, para hakim, para ahli rumah undang-undang, para bijak bistari universiti, para jaguh silat tapi tidak termasuk para parasit yang tinggal dan membesar di atas segala macam para tentulah ada peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk negara ini dan ummah?

Sayang sekali, ramai sekali yang masih perasan bahawa mereka sangat hebat dan berguna.
Maka saya pun teringatkan asesori jamban ini.


4.

Apakah mereka segala para ini juga seperti segala asesori di bilik airku itu?
Setiap kali aku memasuki bilik air, kuterbayangkan wajah segala para.
Apakah jawapan kalian kepada cucu cicitmu nanti?

Kita sudahpun tenggelam dalam kemelut.
Kalian masih lagi dengan dongeng
Kalian masih jua ayem:
Maka hiduplah mereka sekalian
aman damainya
sehingga
ke anak
cucu.


Why must you be part of a jamban?




Wednesday, September 16, 2015

Kata Usman Awang - Politik-Ganja




Namaku RASISME





“politik-ganja”


“rakyat si buruh si miskin gali kubur sendiri
di gua bimbang di penjara takut
saling mencurigai
kesan politik-ganja
sebelum dan sesudah 13 mei.”

Usman Awang dalam sajaknya
“Kambing Hitam”
(sebelum dan sesudah 13 Mei)


Tuesday, September 1, 2015

KITA memilih melihat rantingnya. Kenapa?



(Komen dalam fb Kassim Muhamad menyentuh peristiwa Abang Mat Sabu berdampingan/didampingi seorang wanita semasa merayakan BERSIH4.  Gambar itu meletup di media sosial).  


Kita fokus rantingnya. 
(dan lupa masalah besar yang kita telah lama hadapi ― gersang tandusnya pemerintahan yang baik)     


SEMUA penulis boleh memilih sudut yang mana satu dengan niat yang bagaimana pula untuk memaparkan tulisannya. Ada beberapa istilah yang kita temui, misalnya paling kerap ialah 'benang merah' atau pun angle sesuatu tulisan itu. Kita temui unsur-unsur seperti daya tarikan, idea, peristiwa, gagasan, masalah (kendala), atau pun sensasi yang diperkatakan.

Sesungguhnya penerapan semua aspek seperti sudut pandangan dan lain-lain amat bergantung kepada niat dan tujuan seseorang 'seniman' itu.  Misalnya sebagai seorang 'seniman', seorang jurufoto mungkin bersusah payah untuk mendaptkan bahan atau 'karya' yang terbaik.  Dia terpaksa bersusah payah dan perlu tekun sekali mencari karya terbaiknya.  Atau kadang-kadang bahan itu muncul di depan matanya kerana faktor nasib.  Dia berada di tempat dan pada masa yang tepat? 

Bagi kita yang lebih menarik untuk diteliti bukannya 'cerita-cerita' tentang benang merah tetapi BAGAIMANA kita (sebagai seorang pembaca) menanggapi bahan-bahan yang (sengaja) dihidangkan itu.

SEKIRAnya kita melihat bahawa kemelut yang kita hadapi itu satu mala petaka yang sangat besar untuk anak cucu kita, tentulah aspek-aspek tragedi bangsa yang lebih menarik perhatian kita.

Misalnya sekarang ini kita cukup yakin bahawa sesungguhnya rakyat Malaysia memang benar-benar terpanggil untuk menyatakan pendirian mereka. Mereka terpanggil untuk menyatakan sikap.  Dan mereka secara terbuka - WALAUPUN pelbagai ancaman telah diulang-ulangi oleh pihak yang berkuasa lama sebelum peristiwa BERSIH ini diterjemahkan - sudah tidak gentar lagi bersuara!

Tentulah ada tragedi besar yang sedang mereka hadapi dan itulah yang sepatutnya menarik perhatian kita sebagai rakyat. Bukankah begitu?

Atau saudara TIDAK berpendapat sedemikian? Saudara amat yakin bahawa ada maksiat besar diperagakan di depan mata? Jika memang begitulah pegangan hidup saudara, silakan. Itu hak saudara.

Tetapi sekiranya...JIKA majoriti pembaca berpendirian seperti saudara, maka sesungguhnya kita begitu sedih sekali.  Kita sedih mengetahui rakyat negara ini tergolong sebagai kelompok manusia yang gemar dan begitu mudah sekali diperdaya! Sebagai rakyat kita gemar sekali diperbodohkan oleh hal-hal pinggiran yang disensasikan.

Kenapa? Adakah ini kita umumnya masih tergolong rakyat yang jelas picisan daya fikirnya? Wallahuaklam.




Wednesday, August 5, 2015

TUNGGU




Mana airnya?


“Menunggu buah yang tidak gugur” adalah penyeksaan yang cukup menderakan. Misalnya ramai yang menunggu bila lagi rombongan buah hatinya akan datang meminang.  Ada yang menunggu bila lagi sahabat baiknya bakal memasukkan derma dua sen ke dalam akaun peribadinya.  “Bila lagi?” itu satu penyeksaan. 

Para petani juga sering menunggu; menunggu bekalan diberikan oleh Jabatan yang bertanggungjawab untuk membekalkan air pengairan.

NGO juga menunggu; misalnya NGO seni-budaya menunggu peruntukan (yang bukan ehsan sang penguasa tapi hak NGO-NGO) untuk bergerak.  Kerap kali dana yang kekadang dikira ehsan ini tidak jua kunjung tiba.

Lalu bermadahlah NGO yang dikira menunggu wang ehsan ini:

benih ditabur
sawah kian merekah
mana airnya?


5 Ogos 2015.
wangsa maju.

Thursday, July 30, 2015

'Pengajaran' Hening Puisi Paksi, Tanjong Sedeli, Kota Tinggi, Johor.




Apa yang 'kita' pelajari daripada Hening Puisi Paksi Tanjong Sedeli?


‘Kita’ di sini membawa maksud para Paksiwan, khususnya mereka yang telah secara sukarela dan juga yang menawarkan diri untuk bersama-sama PAKSI di Jason Bay, Tanjong Sedeli, Kota Tinggi, Johor pada 25 – 28 Julai 2015, untuk ‘belajar dan menulis puisi’ berasaskan perjuangan serta semangat kemanusiaan Usman Awang sepertimana yang terdapat dalam pelbagai karyanya. Ini bermakna karya Usman Awang yang sarat mesej kemanusiaan itu diberikan perhatian khusus.

Siapakah ‘kita’ itu? Ini senarai Paksiwannya ― Dinsman, Mohamed Nasser, Rozan Mat Azen Rasip, Tun Teja, Arif Atan, Ali Bukhari, Raja Yusof Rayusa, Chan Yong Sin, Kassim Muhamad dan Amni Jagat. Sementara para ‘sukarelawan’ yang mohon ikut serta termasuklah pengarah filem terkenal merangkap sasterawan kawakan Yassin Salleh, Wan A Rafar Ishak, PPK (Persatuan Penulis Kelantan), Tun Kreatif, Raja Ahmad, Daeng Ramliakil, Lena Faridah Chin dan Eddie Hashim. Sementara itu Hening Puisi juga dihadiri oleh Haslina Usman (anak arwah Usman Awang dan juga staf yayasan Usman Awang), sasterawan-pelukis terkenal Dr Siti Zainon Ismail. 

Hening Puisi Paksi bertuah kerana kehadiran sepenuh masa Sasterawan Negara Pak Samad Said yang hadir pada seluruh sesi bersama isterinya Datin Rashidah. Pada hari kedua, Sdr Hassan Karim aktivis politik dan penyair Negeri Johor juga hadir untuk mengisi slot pengisahan dan pengalaman hidupnya tatkala bergaul dengan Usman Awang. Di samping itu Syed Husin Ali, pengerusi Yayasan Usman Awang hadir membentangkan kisah hidup, pengalaman dan perjuangan bersama Usman Awang. Ringkasnya, program Hening Puisi Paksi berjaya dilaksanakan, mendapat sokongan dana Yayasan Usman Awang, ITMB dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, adalah usaha bersepadu pelbagai pihak ― oraganisasi dan juga individu.

Sekali lagi, kita bertanya: Apa yang dipelajari daripada Hening Puisi Paksi itu? Di antara jawapannya mungkin berikut: 

Hening telah mengumpulkan satu kelompok sasterawan besar dan para calon penulis dalam satu sesi yang ternyata cukup unik lagi istimewa; di kemuncaknya kita temui gergasi-gergasi sastera Pak Samad, Siti Zainon dan Dinsman. Di dalam Hening Puisi juga hadir Yassin Salleh dan Wan Rafar yang sudahpun sekian lama punya nama dalam bidang seni-budaya negara. Di samping itu ada nama-nama yang bukan asing dalam dunia sastera ― Raja Ahmad dan Daeng Ramliakil. Lena Faridah Chin dan Eddy Hashim pula bukanlah orang yang asing dunia sastera. Mereka pensyarah yang bergiat aktif dalam bidangnya. Raja Yusof pula bukan baru sehari dua bergelumang dan berkubang dalam dunia akhbar. Dan di bawah strata kelompok ini telah hadir juga novis yang masih merangkak dan bertatih seperti penulis sendiri. Soalannya ialah bagaimana mengurus satu kelompok yang begitu besar jurang kepakarannya?

Jawapannya ialah pendekatan yang telah digunakan oleh Paksi. Mungkin kata-kata kuncinya Hening Puisi Paksi ini dikelaskan sebagai dan berbentuk ‘santai’. Sementara bumbu paling enak berkesan yang diadunmesrakan ialah ‘keakraban’ para ahli kelompok itu sebagai satu kumpulan. Ertinya, di dalamnya tidak ada ulamak sastera yang aloof, ekslusif yang sentiasa bersemanyam di atas singgahsana yang tinggi. Makanya hasilnya ialah yang novis juga bercakap tentang sastera tanpa segan silu diperkecilkan oleh yang lebih ahli dan arif. Para gergasi sastera telah turun dari takhta untuk mendengar yang bertatih untuk berlagak hebat sambil berbicara tentang seni-budaya dan sastera. Bukankah ini rumus yang baik dan berkesan? 


Apa lagi yang kita telah pelajari daripada Hening Puisi Paksi itu?

(Teman-teman Paksi mungkin ada sudut pandangan masing-masing? Bolehkah kita paparkan transkrip 'syarahan' Pak samad dan Dr Syed Husin Ali?)