Showing posts with label wacana budaya dinsman. Show all posts
Showing posts with label wacana budaya dinsman. Show all posts

Thursday, December 25, 2014

Wacana Budaya: Syari'ah vs Sekularisme





Dinsman (Hrkh 467, 19/1214)
Pertembungan baru Syari’ah vs Sekularisme

Tidak tahulah bagaimana alkisahnya maka tiba-tiba tampil 25 orang tokoh Melayu yang terdiri daripada bekas-bekas Ketua Setiausaha kementerian itu dan ini, bekas ketua pengarah jabatan, bekas hakim, bekas duta dan sebagainya, menulis surat terbuka dalam bahasa Inggeris, meminta perhatian kerajaan terhadap suatu perkara yang mereka anggap boleh mengheret negara ini menjadi seperti Afganistan yang diperintah oleh golongan ekstrimis Islam Taliban.

Dan mereka mengangkat kes pertentangan antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil, yang mereka anggap krisis itu terjadi kerana pihak mahkamah syariah menceroboh bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, dan ia bertentangan dengan Perlembagaan negara. Dan itu dilihat mereka sebagai anasir-anasir ekstremisme Islam yang menggugat kestabilan dan keharmonian hidup masyarakat berbilang agama di negara ini.

Maka mereka menyeru supaya kerajaan bertindak bagi menyekat perkembangan yang dianggap mereka sebagai tidak sihat dan menggugat kestabilan dan keharmonian negara itu.

Berikutan tersebarnya surat terbuka itu pada 8 Disember, beberapa pihak telah menyambut-nya dengan reaksi yang menyokong dan juga menentang. Akhbar The Star menunjukkan sokongan yang ketara. Manakala pertubuhan Perkasa (Ibrahim Ali) pula menyanggah kritikan 25 tokoh Melayu (TM) pencen itu dan malah menyalahkan mereka pula sebagai antara yang menyebabkan terjadinya apa yang terjadi itu.

Dan saya pun menerima jemputan daripada kedua-dua pihak, agar menyertai mereka, yang kedua-duanya adalah sahabat-sahabat yang selalu bersama dalam aktiviti-aktiviti seni-budaya dan keilmuan.

Satu, pihak Cikgu Azmi (Mapim) dan Prof Shaharir (Gatera) yang tidak bersetuju dengan pandangan 25 TM tersebut; dan satu lagi pihak NGO masyarakat Cina yang aktif dalam pendidikan dan kebudayaan, yang menggerakkan beberapa NGO lain menyertai mereka, bagi menyokong surat 25 TM itu. Maka ke manakah akan saya libatkan diri?

Tentunya saya tidak memerlukan masa untuk berfikir pun, kerana pendirian saya memang jelas. Lagipun emel daripada Prof Shaharir telah terlebih dahulu sampai dan telah saya jawab segera: bersetuju untuk bersama.

Saya melihatnya begini: Kumpulan 25 TM itu tidak senang dengan perkembangan gerakan Islam mutakhir, khasnya di bidang perundangan dan kehakiman. Mereka lebih suka biar Mahkamah Syariah di negara kita ini berfungsi seperti dulu saja, dengan bidang yang terhad pada hal-hal nikah-kahwin dan kekeluargaan Islam sahaja

Tentunyalah itu sangat bertentangan dengan perkembangan gerakan Islam hari ini. Dan ternyata mereka itu (seperti ramai yang lain juga) telah terpengaruh dengan diayah Amerika dan Zionis yang sedang giat menghitamkan wajah Islam di mana-mana saja di dunia pada hari ini. Ketakutan pada wajah Islam yang telah dihitamkan itulah, saya fikir, yang menggerakkan mereka itu menulis surat terbuka tersebut.

Dan suara kebimbangan mereka itu tentulah akan disambut dengan pukulan gendang besar-besaran oleh golongan, terutamanya bukan Muslim, yang selama ini sering menyatakan kebimbangan yang sama. Apa lagi! Kini orang-orang penting dari kalangan orang Melayu-Islam sendiri pula yang menyuarakannya!

Maka saya melihat kemungkinannya akan terjadi pertembungan baru antara dua golongan yang besar ini. Satu pihak yang menyokong Mahkamah Syariah dan syariat Islam diperkasakan di negara ini; manakala satu pihak lagi yang mahukan sekularisme diperkasakan hingga syariat Islam tunduk kepadanya.

Pertembungan atau krisis Syariah vs Sekularisme ini sebenarnya memang sudah dan sedang berlangsung dalam masyarakat kita sejak sekian lama. Tetapi syukur, kerana masyarakat kita selama itu menunjukkan kadar toleransi dan kesaling-fahaman yang tinggi, serta saling menghormati agama dan kepercayaan masing-masing, maka pertembungan ini menjadi lembut dan tidak sampai mengganggu keharmonian.

Tetapi sekarang nampaknya ia akan mengambil tempo yang baru dan masuk ke dalam fasa yang baru. Kumpulan 32 Pemikir Islam (bersama Cikgu Azmi dan Prof Shaharir) dalam memorandum yang mereka keluarkan pada 15 Disember, antara lain menyatakan:

“Tidak ada negara yang boleh mengabaikan hasrat sebahagian besar rakyatnya (yang mahukan undang-undang Islam dilaksanakan -p) tanpa kesan buruk terhadap kestabilan dan keamanan. Kita perlu mencari jalan untuk memenuhi tuntutan orang Islam terhadap pelaksanaan undang-undang Syariah dalam kerangka kerja perlembagaan yang demokrasi tanpa mencabuli hak-hak golongan rakyat minoriti.”

Untuk itu mereka mencadangkan: “Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa tertinggi untuk menyemak semula Perlembagaan Persekutuan kita dan menyarankan pindaan untuk memasukkan segala keperluan penduduk Islam serta menegakkan hak-hak golongan minoriti di negara ini.”

Tegas mereka lagi: “Perlembagaan bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah. Ia merupakan dokumen kehidupan dan perlu berkembang selaras dengan perubahan yang diinginkan oleh rakyat.”

Berbeza dengan kumpulan 25 yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang telah pencen, kumpulan pemikir Islam ini terdiri daripada mereka yang masih aktif. Kebanyakan mereka adalah professor-profesor di bidang sains, kejuruteraan, ekonomi, dan matematik. Antaranya Prof Dato’ Dr Ir Wan Ramli Wan Daud, Prof Kejuruteraan Kimia, UKM.

Mufti Perak Tan Sri Hj Harussani Zakaria juga turut bersama dengan kumpulan 32 ini; begitu juga Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan juga bersama.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)



Thursday, December 11, 2014

Imej ulama sedang mengalami kerosakan besar





Dinsman (Hrkh 466, 12/1214)
Imej ulama sedang mengalami kerosakan besar

Terima kasih para pembaca yang respons kepada tulisan saya keluaran lalu, mengenai ulama yang hilang keyakinan diri. Ada yang bersetuju dan ada yang tak bersetuju. Alhamdulillah tak ada yang marah-marah hingga ke tahap maki-hamun dan sumpah-seranah seperti yang banyak bersepah dalam blog, fb dan watsapp.

Beberapa orang mengatakan saya berat sebelah. Antaranya Abu Ahmad ini yang berkata: “Tulisan tuan dalam kolum Harakah agak berat sebelah. Setahu saya golongan ulama banyak memainkan peranan dan sumbangan kepada masyarakat. Banyak individu dan kumpulan menjalankan tugas mereka. Tak tahulah samada tuan nampak atau buat-buat tak nampak. Soalan: adakah tuan peminat Pasma, dan adakah tuan suka kepada golongan liberal seperti PKR dan DAP?”

Seterusnya dia menambah: “Saya amat harap tuan betulkan persepsi agar lebih positif terhadap ulama berbanding mereka yang amalkan lgbt, liberal, sosialis, syiah dan lain-lain isme, yang sudahpun meresap dalam parti politik termasuk PAS.”

Yang lain-lainnya tak perlulah saya salin di sini. Boleh diwakili oleh pandangan Abu Ahmad itu. Manakala yang banyaknya pula bersetuju dengan pandangan dalam tulisan tersebut.

Apa yang dimaksudkan Abu Ahmad mengatakan saya berat sebelah? Kerana saya hanya menyebut kelemahan dan kekurangan golongan ulama dan tidak menyebut yang sama kepada golongan profesional dan intelektual?

Memang. Kerana yang menyebabkan pandangan umum terhadap PAS sekarang menjadi negatif ialah akibat tindakan golongan ulamanya, bukan akibat tindakan golongan profesional. Dan saya pun, dalam tulisan itu, bukannya menghina ulama dan menafikan peranan dan sumbangan mereka selama ini. Sama sekali tidak.

Saya hanya memfokus kepada tindakan mereka melancarkan kempen ala-ala Umno yang bertujuan menolak golongan profesional dan intelektual daripada dipilih memegang satu dua jawatan tertinggi di dalam parti, dengan mengelirukan konsep “Kepemimpinan Ulama” itu sendiri. (Sila baca penjelasan saya mengenai konsep “Kepemimpinan Ulama” ini dalam www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/kepemimpinan....)

Saya fokus kepada perkara tersebut kerana saya percaya di situlah tumbuhnya bibit-bibit yang kemudiannya merebak dan mewabak hingga rosak hubungan antara ulama dan bukan ulama (di dalam PAS), rosak hubungan antara parti dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat, dan rosak tanggapan awam terutamanya orang bukan Islam kepada Islam, khasnya kepada PAS.

Dan kerosakan itu bukannya kerosakan kecil. Kerosakan itu adalah kerosakan yang sangat besar. Rosak hasil usaha yang dibuat bertahun-tahun untuk membina hubungan baik dan imej baik terhadap PAS dan terhadap Islam. Baru saja usaha keras dan gigih bertahun-tahun itu menunjukkan kejayaannya, kini ia telahpun rosak.

Ramai kawan-kawan saya budayawan dan ilmuwan yang jadi sangat kecewa dengan kerosakan itu. Ada yang menunjukkan rasa kecewa itu hingga ke tahap yang begitu mengejutkan. Rupa-rupanya komitmen mereka terhadap perjuangan PAS begitu besar dan mendalam, walaupun mereka tidak aktif dalam politik, dan hanya aktif dalam seni-budaya. Jangan pandang remeh dengan komitmen mereka.

Seorang pembaca menghantar mesej begiini: “Apa yang ditulis dan dirasai dalam minda Dinsman sebenarnya turut dirasai oleh segenap ahli dan penyokong PAS terutamanya golongan profesional dan seluruh penyokong PR yang masih ‘terkedu’ dengan krisis MB Selangor yang amat terserlah tidak peka keadaan semasa (pemimpin berkenaan) dan penyokong yang sewaktu dengannya…”

Makanya pimpinan yang berkenaan itu bolehlah saja mengatakan bahawa kerosakan itu kecil sahaja berbanding dengan apa yang pernah berlaku kepada PAS dan gerakan Islam yang lain. Tetapi bagi ahli-ahli PAS di peringkat bawah dan bagi penyokong-penyokong, termasuk yang bukan Islam, kesan dan akibatnya tidaklah semudah itu untuk dikesampingkan.

Mengatakannya sebagai kerosakan kecil adalah satu lagi kesilapan yang dibuat oleh pemimpin. Bahkan ia boleh dilihat sebagai satu keangkuhan pula.

Cubalah fikirkan dan bayangkan ini. Saya kini berumur 65 tahun. Sepanjang ingatan saya belum pernah lagi saya menyaksikan orang ramai menyatakan rasa kecewa, marah, benci dan menghina dengan maki-hamun dan mencarut terhadap ulama seperti yang sedang saya saksikan sekarang dan selama beberapa bulan ini. Apakah ini satu kerosakan yang kecil?

Janganlah kita cuba menafikan kerosakan ini dengan membuat kenyataan-kenyataan yang boleh manambah bukukkan lagi keadaan.

Kepada Abu Ahmad dan pembaca lain (termasuk Ustaz Mat Yatim, veteran PAS Melaka yang menelefon saya) yang mengharapkan saya membetulkan “persepsi agar lebih positif terhadap ulama”, ingin saya nyatakan bahawa memang itulah hasrat tulisan saya – untuk mengembalikan ulama PAS kepada kedudukan mulia seperti keadaannya suatu waktu dulu.

Sememangnya ia tidak mudah. Kerosakannya begitu teruk sekali. Bayangkan saya diberitahu oleh sumber yang tak mungkin saya tidak mempercayainya, bahawa seorang ulama kanan di dalam PAS yang turut menganggotai Majlis Syura, sedang berkira-kira untuk masuk Umno.

(Saya memang tidak terkejut dengan berita itu, kerana melihat pada hobi beliau saja pun bukannya hobi murah-murahan. Tidak ramai orang mampu memilikinya. Saya fikir eloklah pun dia buat begitu.)  

Namun kawan saya seorang bekas Adun dari Kelantan, mudah saja menepisnya dengan berkata, “Datuk Asri dulu Presiden PAS. Tapi bila dia keluar parti dan masuk Umno, orang PAS tak ikut dia.”

Betullah, memang betul. Namun untuk mengembalikan kedudukan ulama ke statusnya yang mulia itu, kita memerlukan bukan sahaja usaha gigih, tetapi juga kesediaan untuk berkorban.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)

Wednesday, December 10, 2014

Apabila ulamak hilang keyakinan diri





Dinsman (Hrkh 465, 8/1214)
Apabila ulamak hilang keyakinan diri

Ulamak ialah orang yang berilmu. Berilmu maksudnya tahu mana yang benar dan mana yang salah, juga mana yang baik dan mana yang buruk. Selalunya orang yang berilmu (ulamak) itu yakin dengan dirinya. Maksudnya dia tahu siapa dirinya dan dia juga tahu kemampuan dirinya dan juga ketidakmampuan dirinya. Maka dia boleh mengawal dirinya agar sentiasa berada di jalan dan landasan yang benar, yakni yang diredhai Allah.

Tetapi hari ini ramai daripada mereka yang digelar atau menggelar diri sebagai ulamak tidak bersifat demikian. Mereka mungkin berilmu dan tahu mana yang benar dan mana yang salah serta mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi mereka tidak mempunyai keyakinan diri.

Kenapa saya katakan demikian? Kerana mereka itu hanya sekadar berilmu sahaja tetapi tidak mengamalkan ilmu atau tidak memanfaatkan ilmu mereka. Apabila ilmu tidak diamalkan mereka tidak akan mempunyai keyakinan diri. Maka secara sedar atau tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ulamak.

Inilah fenomena ulamak pada hari ini, menyebabkan imej mereka di kalangan masyarakat telah merosot dan semakin hari semakin jatuh teruk. Orang ramai sudah hilang kepercayaan kepada ulamak. Sepatutnya mereka dihormati dan dimuliakan tetapi sekarang mereka dipandang rendah dan dihina.

Suatu waktu dulu ulamak-ulamak di dalam PAS menuduh demikian kepada ulamak-ulamak yang di luar PAS, termasuk yang di dalam Umno. Tetapi hari ini orang ramai menyaksikan bahawa ulamak-ulamak di dalam PAS pun kebanyakannya sudah tidak ada bezanya dengan ulamak-ulamak di dalam Umno, bahkan ada yang mungkin lebih buruk lagi.

Suatu waktu dulu ulamak-ulamak di dalam PAS sangat dihormati dan dimuliakan oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya, hingga disepakati bahawa kepemimpinan di dalam PAS adalah “kepemimpinan ulamak”. Maka turut terpesona dan hormat kepada pemimpin-pemimpin PAS yang terdiri daripada ulamak itu ialah golongan intelektual dan profesional, yang ramai mendaftar diri menjadi ahli PAS pada akhir dekad 90-an.

Namun tak lama selepas itu, selepas Presiden yang namanya Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah, tak lama selepas itu mulailah kedengaran suatu kempen dilakukan oleh para ulamak PAS dan penyokong-penyokong mereka, agar pemilihan pimpinan di peringkat atasan hendaklah diberikan kepada golongan ulamak.

Saya sangat terkejut dan kehairanan, bagaimanakah boleh terjadinya hal yang demikian itu di dalam parti yang menegaskan dasar kepemimpinan ulamak? Apakah ulamak patut melakukan kempen yang seperti itu, seperti yang berlaku di dalam Umno itu? Dan kenapa mereka perlu melakukannya padahal sebelum itu tidak pernah berlaku?

Sepatutnya tokoh-tokoh dari golongan baru yang dikenali dengan gelaran profesional itulah yang melakukannya, kalaupun hal seperti itu akan berlaku. Tetapi tidak, bukan golongan profesional yang melakukan kempen jawatan itu. Sebaliknya yang melakukannya ialah golongan ulamak! Dan mereka berkempen agar golongan profesional tidak dipilih.

Kenapa mereka melakukan kempen ala-ala Umno itu? Jawabnya ialah kerana sudah kelihatan yang tokoh-tokoh dari golongan baru/profesional mendapat perhatian ahli-ahli dan kemungkinan akan terpilih ke jawatan penting di dalam parti.

Jadi, apa salahnya? Bukankah sistem organisasi parti sudahpun dimantapkan dengan dasar kepemimpinan ulamak, iaitu melalui Majlis Syura Ulamak sebagai pemandu dasar paling tinggi, di samping Dewan Ulamak yang sudah lama wujud?

Dan soalan yang lebih penting lagi ialah: apakah institusi ulamak itu sendiri membenarkan kempen yang seperti itu dijalankan?

Cuba kita lihat apakah makna dan implikasinya kempen itu. Kempen itu ialah usaha ulamak mempengaruhi ahli supaya memilih tokoh dari golongan mereka sendiri. Mengapa perlunya usaha ini dilakukan? Kerana, pertama, kalau tak dilakukan dibimbangi tokoh dari golongan ulamak itu tidak akan dipilih.

Kedua, kerana golongan ulamak sudah berasa yang kedudukan mereka terancam oleh kehadiran tokoh-tokoh dari golongan profesional dan intelektual. Maka mereka perlu berusaha mempertahankan jawatan/kedudukan mereka.

Kenapakah ulamak perlu mempertahankan kedudukan jawatan mereka sebagai pemimpin, dan kenapakah mereka berasa yang kedudukan mereka terancam? Apakah mereka tidak percaya lagi kepada dasar kepemimpinan ulamak yang sedia wujud di dalam parti?

Dan apakah mereka juga tidak percaya lagi kepada keberkesanan dakwah dan tarbiyah yang sentiasa mereka lakukan ke atas ahli-ahli sepanjang masa, yang sememangnya menjadi sebagian daripada tanggungjawab dan amanah yang mesti mereka tunaikan itu?

Saya masih ingat lagi suatu muktamar tahunan PAS dimana para ulamak diseru supaya mempertingkatkan peranan mereka di dalam parti. Seruan itu timbul kerana pada waktu itu sudah dapat dikesan yang para ulamak itu kurang berperanan, terutamanaya dalam menjalankan dakwah dan tarbiyah, khasnya di kalangan ahli-ahli sendiri.

Dan muktamar itu ialah salah satu muktamar terakhir dalam era Fadzil Noor, yakni sebelum berlakunya kempen mempertahankan jawatan yang disebut di atas tadi. Mafhumnya ialah kemerosotan ‘moral’ ulamak di dalam PAS sudah mulai dikesani sejak waktu itu lagi.

Sayangnya teguran dan seruan tersebut tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh mereka yang berkenaan. Sebaliknya yang dilakukan ialah berkempen untuk mempertahankan jawatan, yang boleh juga dibaca sebagai kempen untuk kepentingan diri. Dan ini berlaku disebabkan apa? Disebabkan mereka hilang keyakinan diri.

Dan apakah faktor yang menyebabkan mereka hilang keyakinan diri? Faktornya ialah kerana mereka mengutamakan politik lebih daripada agama, disamping kurang beramal dan kurang memanfaatkan ilmu yang ada pada mereka, dan juga kerana terpengaruh dengan kemilau keduniaan (kebendaan, kemewahan dan kemasyhuran diri).

Dan kemerosotan kualiti ulamak ini juga sedang diperhatikan di kalangan pimpinan peringkat negeri Kelantan – kubu kuat dan benteng yang mempertahankan keutuhan gerakan Islam PAS selama ini. Maka berwaspadalah!

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)

Friday, October 17, 2014

Ramai pemimpin terlupa bila MESTI berundur?





Dinsman (Hrkh 460, 17/1014)
Pemimpin tahu bila masanya dia harus berundur


Tak pasti di mana saya pernah membacanya. Suatu petikan kata-kata oleh seseorang mengenai pemimpin yang baik. Bahawa pemimpin itu perlu tahu atau dapat merasakan bila sebenarnya waktu atau ketika yang dia sepatutnya mengundurkan diri daripada kerusi atau jawatannya.

Di negara-negara tertentu misalnya di Amerika Syarikat, jawatan-jawatan penting seperti Presiden Amerika itu dihadkan tidak boleh lebih daripada dua penggal sahaja. Perlembagaannya menetapkan demikian. Tetapi bagi negara kita Perlembagaan tidak menetapkan tempoh tersebut.

Itu bagi Presiden atau ketua negara. Tetapi pemimpin yang kita maksudkan di sini tidak semestinya Presiden atau ketua negara sahaja. Presiden parti juga pemimpin. Timbalannya pun pemimpin. Presiden persatuan bukan kerajaan juga pemimpin. Pengerusi dewan perniagaan juga pemimpin. Ahli Parlimen dan Adun juga pemimpin.

Maksudnya pemimpin apa sahajalah, yang melibatkan kepentingan orang ramai. Apabila dia diangkat oleh orang ramai untuk menjadi pemimpin, dia sewajarnya sentiasalah sedar bahawa jawatan itu adalah suatu amanah untuk dia melaksanakan tugas dan tanggungjawab tertentu.

Memang pun kita selalu mendengar pemimpin-pemimpin kita berkata dan berucap demikian. Lebih-lebih lagi mereka yang berpelajaran agama. Bahawa jawatan yang sedang dipegangnya adalah suatu amanah untuk dia melaksanakan tanggungjawab tertentu dengan sebaiknya. Lalu dia pun membaca ayat al-Quran atau Hadis yang menepati maksud berkenaan.

Tetapi kebanyakannya manusia itu cepat lupa dan leka dengan nikmat-nikmat yang dikecapinya bersama dengan amanah yang disandarkan kepadanya itu. Baik pemimpin besar mahupun pemimpin kecil. Yang besar, dengan amanah dan nikmat yang besar; manakala yang kecil pula dengan amanah dan nikmat yang kecil.

Tak perlulah saya menurunkan kata-kata suci dari al-Quran ataupun Hadis mengenainya, kerana pemimpin-pemimpin bukan Islam yang tidak percayakan al-Quran dan Hadis pun selalunya lebih sedia mengamalkan nilai-nilai luhur itu daripada pemimpin-pemimpin kita yang percayakan al-Quran dan Hadis.

Mengapa terjadi begitu? Biarlah para pengkaji yang membuat kajian dan analisa ilmiahnya. Bagi kita cukuplah apa-apa yang dapat kita perhatikan di sekeliling kita, lebih-lebih lagi pada masa mutakhir ini. Dunia Islam seolah-olah penuh dengan krisis kepemimpinan, hinggakan orang ramai yang biasa-biasa pun turut sama mengkritik dan malah memaki dan menista para pemimpin.

Salah menyalahkan pun berlaku dan berlarutan hingga seperti tidak ada hujungnya untuk berhenti. Ia bersambut dan bersambung dan bersambut dan bersambung lagi. Dan tiba-tiba sahaja ramai orang berasa pandai dan tiba-tiba juga ramai orang-orang pandai menampakkan sisi-sisi kejahilan mereka, dan menyebabkan suasana pun menjadi lebih parah dan berdarah.

Laman-laman di media sosial jangan dikatalah, penuh dengan maki-hamun dan kata-nista serta carut-marut yang ditujukan kepada pemimpin-pemimpin. Paling menyedihkan ialah apabila golongan ulama juga turut menjadi sasaran maki-hamun tersebut.

Dalam keadaan sedih dan pilu itulah saya menerima beberapa mesej yang mengatakan seperti apa yang disebut di atas tadi. Bahawa pemimpin yang baik itu seharusnya dia tahu bilakah masanya yang dia sepatutnya mengundurkan diri daripada jawatannya. Dia tidak tunggu sehingga orang-orang di bawah menjadi begitu marah dan bangkit menolaknya.

Memang itu sebuah kata-kata yang sudah popular. Saya cuba mengingatkan siapakah tokoh pertama yang mengucapkan kata-kata itu, tetapi tak teringat. Tak mengapalah. Yang pentingnya bukan tokoh pertama itu. Yang pentingnya ialah mesej atau kehendak daripada kata-kata yang berupa “mutiara kata” itu.

Kini mutiara kata itu tiba-tiba menjadi sebutan di kalangan ramai orang. Mereka mengharap-kan pemimpin-pemimpin yang sudah tidak lagi dapat berfungsi untuk menunaikan amanah kepemimpinan dan membebaskan masyarakatnya daripada kemelut yang berlarutan – supaya menyedari kedudukan mereka dan mengambil tindakan berani untuk mengundurkan diri.

Perkara ini sebenarnya bukanlah menjadi rahsia lagi. Kalau anda mempunyai rangkaian whatsapp yang luas atau anda rajin mengikuti komen-komen di hujung berita atau artikel tertentu di media sosial, anda akan melihat dan faham betapa parahnya situasi kita hari ini.

Tidaklah mudah sebenarnya bagi pemimpin untuk menyedari atau menyedarkan dirinya bahawa masanya sudah tiba untuk dia mengucapkan selamat tinggal kepada jawatannya. Bukan semata-mata kerana sifat dirinya sebagai manusia yang memang dijadikan lemah apabila berhadapan dengan ujian-ujian yang berupa nikmat itu, tetapi yang lebihnya ialah kerana orang-orang di sekelilingnya.

Itulah malangnya – apabila pemimpin dikelilingi oleh orang-orang yang ingin sama mengecap nikmat dari kedudukan pemimpin itu. Mereka inilah yang lebih-lebih sangat takutnya kalau pemimpin itu mengundurkan diri. Mereka takut mereka akan kehilangan segala kenikmatan yang mereka menumpang sekian lama. Maka merekalah yang menjadi benteng dan perisai menolak segala kemungkinan untuk pemimpin itu menyedari yang waktunya untuk berundur sudah tiba.

Memang tidak mudah! Dalam hal ini ternyata kebanyakan pemimpin itu lebih pandai bercakap daripada merealisasikan cakap-cakap mereka. Bahawa jawatan pemimpin itu adalah satu amanah. (Lalu dibacanya ayat al-Quran). Tetapi apakah dia mudah merealisasikananya apabila tiba waktunya?

Sangatlah susah. Percayalah cakap saya. Sangat susah. Maka janganlah diharap perkara itu akan berlaku dengan sendirinya. Sejarah pun telah banyak mengajar kita mengenai perkara ini. Maka eloklah difikirkan dan direnungkan semula akan “mutiara kata” tadi itu. Apakah hikmah sebenar yang tersembunyi di sebalik kata-kata itu?

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)