Wednesday, February 24, 2010

Sebuah Rumah Kesenian di kaki Bukit Frazer

Dinsman (Artikel 143, 22/2)

Sebuah Rumah Kesenian di kaki Bukit Frazer

Terima kasih Ismas Saring, Presiden Persatuan Seni dan Sastera Malaysia (Sesama), kerana menjemput Paksi dan saya menghadiri majlis perasmian Galeri Seni dan Sastera Hulu Selangor, di Kuala Kubu Baru, pagi Ahad 14 Februari lalu.

Kuala Kubu Baru – sebuah pekan kecil di kaki Bukit Frazer yang mencatatkan beberapa kisah tersendiri. Terasa seperti sebuah pekan yang istimewa walaupun tidak pasti apakah keistimewaannya itu. Dan saya selalu teringatkan sahabat saya seorang penulis, pemuzik, pelakon, penyanyi, pelukis, blogger, peminat mistik dan magik (Magik River), yang dulu dikenali dengan nama Kit Leee (dengan tiga e) tapi sekarang dengan nama Antares. Setelah beberapa tahun tinggal bersama masyarakat orang Asli di Kuala Kubu itu dia kemudiannya berkeluarga dan kini menetap di Kuala Kubu.

Melihat alamatnya majlis itu di Jalan Syed Mashor, saya menjangkakan ia mungkin salah sebuah rumah kedai di pekan kecil itu. Rupa-rupanya tak ada di situ. Sahlah ia mesti banglo lama rumah kerajaan di pinggir pekan yang diubahsuai dan diperbaharui. Telefon Wak Saring, dan dia pun memberi arah tuju.

Sewaktu kami sampai ke kawasan rumah itu, (setelah minum sekejap di kedai mamak), Rodhiah Ismail Exco Kebajikan, Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan sedang menyampaikan ucapan perasmian. Jangkanya kami tidaklah lewat tiba. Ah, tak mengapalah. Yang pentingnya kami tiba di situ dan mendapati tempatnya sangatlah menarik. Tapi sahabat saya Kit Leee tidak kelihatan.

Apa pun, bukan sahaja tempat itu cantik dan menarik, tetapi lebih penting daripada itu ialah idea mengenai Galeri Seni dan Sastera itu – sangat menarik. Tahniah Ismas Saring dan juga YDP Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail. Khabarnya inisiatif mewujudkan Galeri Seni dan Sastera ini diusahakan oleh Sesama, dan kemudiannya disambut oleh pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Sambutan dari Majlis Daerah itu sangat menggalakkan. Bukan sekadar membenarkan rumah kerajaan itu digunakan oleh Sesama, dan bukan sekadar membiayai semua kerja-kerja memperbaiki dan mengubahsuai bangunan serta membersihkan kawasan sekitarnya yang luas itu, tetapi juga memberikan dua orang staf tetap untuk berkhidmat di galeri itu, bersama seorang Pengarah Galeri yang berpejabat di Majlis Daerah.

Syabas MDHS! Ini suatu permulaan yang sangat memberangsangkan. Secara kebetulan tak lama selepas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Apresiasi Novel Dunia oleh SN A Samad Said pada 6 Februari, MDHS pula mengumumkan inisiatifnya ini, yang sangat bagus untuk perkembangan seni dan sastera di Selangor. Dan tak lama lagi insya Allah, kita akan mendengar pula satu lagi majlis perbandaran di Selangor akan menganjurkan aktiviti seni budaya, dengan Paksi turut terlibat melaksanakan program berkenaan.

Alhamdulillah, nampaknya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sudah mulai mengorak langkah yang positif dan memberangsangkan, dalam inisiatif membangun dan mengindahkan ‘lanskap minda dan jiwa’ masyarakatnya, di samping usaha mereka selama ini membangun dan mengindahkan lanskap pokok dan tanah. Serentak itu juga kita berharap agar pegawai-pegawai yang bertugas di Jabatan Sukan dan Kebudayaan mereka tidaklah lagi berfahaman bahawa yang perlu ada di bawah jabatan yang namanya ‘kebudayaan’ itu hanyalah sebuah kumpulan tarian, dan sebuah kumpulan pancaragam dengan beberapa orang penyanyinya.

Saya tidak sempat berbual dengan pihak MDHS di majlis tersebut. Namun perbualan dengan Ismas Saring dan seorang AJK Sesama memberi saya maklumat bahawa belum ada agenda aktiviti tertentu yang akan dijalankan di galeri itu dalam waktu terdekat. Kesibukan mempersiapkan galeri yang cantik dan comel itu, dengan pameran lukisan dan arca yang menarik (dan pejabat Presiden Sesama yang anggun itu), untuk upacara perasmian, barangkali belum memberi kesempatan untuk mereka membuat perancangan aktiviti seterusnya.

Tidak mengapalah. “Itu tak menjadi masalah,” kata Ismas Saring. “Yang pentingnya tempat sudah ada. Kita boleh buat bengkel penulisan, kita boleh buat bicara buku, kita boleh buat baca puisi dan lagu puisi, mungkin kita boleh buat teater juga di sini.”

Ya, saya setuju. Yang pentingnya tempat yang selesa dan sesuai untuk membuat aktivitri itu sudah ada. Pelbagai kemudahan juga sudah disediakan, termasuk pegawai dan kakitangan. Apa masalah lagi? Tak ada masalah. Betul. Tinggal nak bergerak saja. Dan apabila nak bergerak, perlulah ada peruntukan kewangan.

Tidaklah pula saya nak bertanya perkara itu kepada sesiapa yang berkenaan. Melihat kepada rumah dan kawasan sekitarnya yang lapang dalam suasana kampung di pinggiran bukit itu, saya sudah berasa senang hati dan berharap akan dapat bersama-sama dengan Sesama dan MDHS untuk menghidupkan tempat itu dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai.

Saya teringat suatu waktu dulu Kuala Kubu Baru menjadi semacam kawasan yang digemari oleh segolongan seniman, dan mereka tinggal di situ. Penulis, pelukis, pemuzik, pelakon…. Tak tahulah apakah mereka masih lagi tinggal di sana. Maka saya berharap Galeri ini akan membuat kegiatan-kegiatan kesenian yang boleh menarik peminat-peminat seni di Kuala Kubu Baru itu, untuk menghidupkan lagi tempat tersebut.

Saya tidak tahu apakah “galeri” seperti ini sudah ada di mana-mana di Malaysia. Hanya saya teringat di zaman aktiviti teater sedang rancak di Kuala Terangganu pada akhir dekad 70-an dulu, kumpulan Teater Tamu ada sebuah “rumah seni”nya di pinggir pantai Batu Buruk. Wan Hanafi Su antara orang yang menghidupkan rumah tersebut dengan aktiviti-aktiviti muzik, puisi dan teater.

Dan rumah seni atau “galeri seni dan sastera” yang paling terkenal di Malaysia saya kira tak lain adalah “Rumah Anak Alam”, di Padang Merbok, Kuala Lumpur (dekad 70-an), tempat di mana berdirinya Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) sekarang.


Jadi, sememangnya saya mempunyai gambaran dan bayangan yang agak ‘besar’ atau ‘ambitious’ mengenai “rumah seni” atau “galeri seni dan sastera”. Maka langkah MDHS mewujudkannya itu memang menggembirakan. Semestinya pengisiannya akan saya ikuti dengan penuh minat.

Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)



No comments: