Thursday, September 2, 2010

yb, renjislah

surat terbuka buat yb


1) kucing dan anjing lebih mengerti


yb,


saya memilih menulis dan meluncurkan surat terbuka ini untuk tatapan seluruh khalayak maya. hasratnya satu cuma ― agar kandungannya sama-sama kita renungi. ‘Kita’ di sini bermaksud rakyat sebuah negara, namanya Malaysia.


takdirnya surat ini tidak dibaca sesiapa pun di alam ini, tidaklah mengapa. Surat ini jurubicaranya: Pada satu waktu terakam sudah resah gelisah ― yang demikian sukar dihadam fikiran waras.


jika takdirnya telah diberanak seekor kucing di negeri Malaysia ini, lalu membesarlah ia, bersekolah dan bijak pula ia membaca, saya pun kepingin sekali, surat ini dibaca kucingnya.


dan alangkah baiknya jika Hapi, anjing kesayangan jiran Tionghua saya di seberang jalan, juga turut membaca surat ini. Ya, alangkah baiknya.


puan mungkin bertanya: Kenapa?


setiap kali Hapi menyalak, fahamlah kami (saya dan isteri) bahawa ada yang menggusarkan sekitar laman. Di perkarangan mungkin telah melintas seekor kera atau bajing lagi mengganas atau barang kali juga, ada manusia liar iseng-iseng mahu menjengah.


namun Hapi tidak pernah menyalak, setiap kali kami mengacah. Hapi mengerti bahawa kami adalah sebahagian dunianya, dunia milik kami bersama.


yb,


percayalah kucing dan anjing lebih mengerti bahawa tidak ada yang lebih besar keparatnya daripada manusia pelelong benci!




2) renjislah dengan usman awang



yb,


takdirnya akulah pemilik surau itu

ya, bawalah puisi-puisi itu ― silakan

singgahlah puan, silakan mampir

ucaplah puan, ya..silakan ungkap

renjislah bait-bait milik al-marhum:

biar terbasuh luka yang parah.



kassim muhamad.

kota bharu, kelantan

1 September 2010




No comments: