Friday, October 8, 2010

Mereka akan menjual apa saja

Membaca gerak para cukong  


Kita tidak perlukan Newton dan buah epal untuk melihat suasana di sekeliling kita.  Kita boleh membacanya sendiri.  

Siapa saja boleh membaca tentang apa saja yang berlaku di sekelilingnya.  Bahan bacaannya juga cukup banyak dan biasanya boleh kita perolehi dengan agak mudah.  Berikut adalah contohnya:


Kes pertama: Kartun Zunar


Bila ada yang berpendapat bahawa kartun boleh memudharatkan keselamatan negeri dan anak-anak yang tinggal dalam sesebuah negeri, ada banyak perkara yang boleh kita baca.  Di antara perkara-perkara penting yang boleh dibaca ialah:

i) Kita terlalu banyak ketawa

Sebagai pemerintah yang baik, rakyat mestilah sentiasa disedarkan oleh pemerintah yang baik ini  bahawa kehidupan ini bukanlah untuk berhibur semata-mata.  Rakyat wajar diajar untuk berfikir  tentang hal-hal yang lebih penting saja.  Ini semua demi untuk kesempurnaan kehidupan mereka juga. 

Salah satu kaedah kerajaan menjaga kesempurnaan rakyat ini ialah dengan sama-sama mengajak rakyat jelata berfikir bagaimana negeri ini boleh dibangunkan.

Untuk itu rakyat perlu lebih banyak berfikir  dengan mengurangkan ketawa ― jangan terlalu banyak ketawa.  Oleh sebab itu,  kartunnya Zunar tidak baik untuk rakyat jelata.


ii) Ketawa tidak baik untuk kesihatan otak


Ketawa sebenarnya tidak baik untuk rakyat kerana rakyat yang kelebihan ketawa lupa hakikat bahawa negara ini mesti terus dibangunkan.  Masa yang terbuang kerana membaca bahan-bahan yang boleh diketawakan (baca: Bik Mama dan kuasanya) dan untuk ketawa yang terbahak-bahak pula tidaklah baik untuk rakyat.  Nanti otak menjadi tidak sihat.

Maka demi kesejahteraan rakyat dan demi pembangunan negara tercinta ini, karya kartunis amat memudharatkan proses pembangunan negara tercinta ini.  Oleh sebab itu, bahan bacaan  kartun ini tidak tenteram untuk seluruh rakyat dan semestinya dikawal.  Rakyat yang cintakan keamanan akan faham dengan tindakan pemerintah ini. 

Adalah lagi alasan-alasan yang lain?  Marilah kita cari dan fikirkan bersama-sama.


Kes kedua: Kem tentera Wataniah kita perlu terbaik dan merata di seluruh negara


Sebelum PRU 12 yang lalu,  kita dapati fitnah berleluasa di mana-mana saja.  Malangnya penyebaran fitnah ini bukannya  semakin berkurangan ― mereka, para penyebar fitnah ini, semakin galak dan berani dengan perbuatan yang amat keji ini dan kita dapat lihat bagaimana  fitnah itu dilontarkan di mana-mana saja.  Ini belum termasuk akuan bersumpah yang tertunda selama dua tahun (contohnya Rahimi?). 

Fenomena ini mesti dikawal mulai sekarang ― sebelum PRU13.  Untuk kawasan yang tenat angkara fitnah yang berkesan sehinggakan lima buah negeri tumbang, masalah ketenteraman awam yang tergugat oleh fitnah, menjadi sangat penting dan mestilah dikawal mulai sekarang.

Pemerintah yang bertanggungjawab tidak boleh membiarkan masalah ketenteraman awam ini terjejas.  Jika kerajaan yang memerintah hanya berpeluk tubuh,  ini bermakna Kerajaan itu sudah tidak bertanggungjawab.  Untuk menyedarkan rakyat bahawa rakyat juga perlu bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam, maka kita perlu perkukuhkan lagi prasarana pertahanan  awam ― dengan melibatkan rakyat.

Apakah tuan tahu kaedahnya?

Kita perbanyakkan lagi kem-kem tentera Wataniah.  Projek serampang beribu mata ini antara lain dapat:

a)  Menyuntik dana yang mencukupi dalam pelbagai bentuk.  Usaha menyuntik dana ini akan menyuntik ekonomi ― supaya ada yang segera kembung.

b)  Proses PRU13 akan bertambah lancar kerana pengiraan undi pos dapat berjalan dengan lebih lancar dan berkesan lagi.

Ada alasan-alasan yang lain lagi?   Kita boleh terus baca dan baca...


Kes ketiga: Kita mesti mencari sumber tenaga yang baru.


Negara yang kita kasihi ini tidak boleh dibiarkan merana kerana terbantut pembangunannya.  Salah satu elemen yang boleh merencatkan pertumbuhan pembangunan ialah kekurangan tenaga yang dapat dibekalkan.  Ini bermakna demi masa depan kita, kita mestilah mencari tenaga alternatif  (baca: Bukan kerajaan alterantif!).   Kita tidak boleh menolak untuk mempertimbangkan tenaga nuklear.

Siapakah cukongnya yang sedang menunggu untuk melahap?   


Apakah pengajarannya jika menjadi pembaca peristiwa di sekeliling kita?


Apakah maknanya tiga contoh ‘kes’ di atas?  Pertama sekali kita boleh membaca segala peristiwa yang berlaku di sekeliling kita.  Kita dapat renungi kenapakah Menteri A misalnya,  berkata begitu dan kenapa pula Menteri B melancarkan projek ini.

Oleh sebab itu marilah kita semua menjadi pembaca peristiwa di sekeliling kita.  Marilah kita menjadi pengamat peritiwa supaya kita lebih mengerti apakah yang sedang berlaku.  Setidak-tidaknya kita dapat menghidu apakah yang mereka sedang caturkan dalam kalangan kelompok kecil yang sangat berkuasa itu.

Bukankah mereka yang telah menentukan dasar dan polisi yang dilaksanakan?  Bukankah mereka yang telah merancang sehinggakan air kini telah menjadi komoditi yang sangat menguntungkan mereka  yang berlegar dalam kelompok pemegang kuasa itu?  Itu belum lagi dibaca segala tanah yang telah dibedak-bedak/dibahagi-bahagikan, bukit yang telah ditarah dan hasil bumi yang telah diratah...


Bayangkanlah jika mereka berupaya mengawal dan menggerakkan awan pembawa hujan dan mereka juga berupaya membalangkan oksigen di udara untuk tujuan pernafasan. 

Para kapitalis ini ― akan menjual apa saja dan siapa saja, termasuk ibu dan bapa mereka.


Wallahuaklam.




No comments: