Matinya anak ayam
Untuk orang awam@rakyat biasa@seluruh rakyat, mereka selalu dimaklumkan bahawa ‘tidak ada sesiapa yang mengatasi undang-undang’. Kenapakah begitu gagah sekali yang namanya undang-undang itu? Kata mereka, ini ialah kerana di mata undang-undang semua orang, tidak kira miskin atau kaya, tua atau pun muda, kecil maupun besar, berpangkat atau gembel ― mereka sama saja.
Retoriknya ialah ‘undang-undang tidak mengenali sesiapa kecuali keadilan.’ Betapa sedap dan nyamannya mendengar ungkapan-ungkapan mulus seperti ini.
ii.
Sesuatu bahasa itu akan menjadi bermakna (baca:ada nilainya dan berwibawa) jika bahasa itu diberikan tempat, mendapatkan tempat, begitu dihormati sehinggakan bahasa itu diamalkan dengan meluas sebagai sebuah bahasa yang dikasihi oleh segenap lapisan rakyatnya. Ini bermakna oleh kerana cinta kasihnya yang begitu mendalam terhadap bahasanya, rakyat menggunakan bahasa itu dengan rela dan penuh kekaguman.
Mereka berbuat demikian bukan kerana diarah-paksa oleh mesin politik dalam situasi-situasi penting dan genting seperti sebagai syarat mendapat sijil peperiksaan awam, melamar jawatan dengan mesin politik atau untuk tujuan kenaikan pangkat.
Dalam konteks ini, apa pula tanggapan kita terhadap sikap mesin politik yang jelas begitu ‘ogah’ berbahasa dengan bahasa rasmi negaranya, baik di depan khalayaknya sendiri apatah lagi khalayak luar?
Apakah perilaku mesin ini tidak ada kaitan dan pengaruhnya terhadap sikap dan tanggapan rakyat jelata terhadap sesuatu peristiwa bahasa itu? Atau apakah dalam abad ke-21 ini, peristiwa bahasa ini bukanlah lagi satu peristiwa yang perlu diperhatikan kerana yang lebih utama sekarang ini ialah berapa peratuskah pertumbuhan ekonomi negara kita tahun ini?
Apakah benar begitu?
iii.
Lalu apa dan bagaimanakah tanggapan dan reaksi kita dengan perkembangan mutakhir berhubung bahasa yang rasmi ini?
“Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan penghakiman yang ditulis dalam bahasa Inggeris adalah sah dan memutuskan hakim mempunyai budi bicara yang luas untuk menulis penghakiman mereka sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris.
Dalam keputusannya, mahkamah juga menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung saman fitnah yang difailkannya ke atas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris. Namun penghakiman mahkamah rayuan juga dibuat dalam bahasa Inggeris.” (Sumber: Malaysiakini versi Melayu pada 24 November 2010)
Dalam keputusannya, mahkamah juga menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung saman fitnah yang difailkannya ke atas mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris. Namun penghakiman mahkamah rayuan juga dibuat dalam bahasa Inggeris.” (Sumber: Malaysiakini versi Melayu pada 24 November 2010)
iv.
Niat yang baik belum tentu mencukupi untuk menzahirkan sesuatu cita-cita. Betapa pun murninya sesuatu niat itu, ia masih belum bermakna jika niat yang murni itu tidak terlaksana.
Dalam konteks ini, apakah agak niat dan semangatnya “Section Eight, National Language Act” itu? Sekali lagi kita mengharapkan bantuan para pakar bidang untuk menyuluh@menterjemah segala maksud hukum yang tersimpul dalam Akta bahasa itu. Hanya para pakar bidang hukum saja yang dapat menjelaskan makna dan implikasi peristiwa bahasa yang paling mutakhir ini.
Kepada para panglima bahasa (yang mungkin beratus ribu jumlahnya di negara ini) dan kepada itu institusi yang sangat perkasa menjuarai agenda mencari Melayunya di planet itu, kita ada satu dua soalan untuk perhatian.
Apakah peristiwa bahasa ini hanyalah satu lagi daripada rutin kehidupan kita ― ibarat mereguk air tatkala berjoging atau ― paling tragis, satu lagi kes anak ayam kehilangan induknya ― lalu mati digilis lori hantu kroni yang berkeliaran mencuri pasir?
Wahai anak ayam, ke mana perginya indukmu itu?
No comments:
Post a Comment