Friday, November 26, 2010

Apanamanya cukong dan rakyat

Apanamanya, mesin, bloger dan rakyat

Kalau tak salah, Dinmerican dalam blognya pernah menyatakan bahawa dia tidak akan memberikan sebarang reaksi terhadap tingkah laku seorang mantan orang besar negara ini.  Ini bermakna,  bagi Dinmerican segala berita, reaksi, komen, hujah atau pandangan orang ini tidak lagi digubrisnya atau diendahkannya. 

Biarlah lelaki yang terkenal dengan ungkap tersohor ‘Melayu mudah lupa’ itu meracau-racau semahu-mahunya.  Biarkanlah lelaki ‘Apanamanya’ ini reput dalam dunia miliknya.

Kita amat bersetuju dengan pendekatan ini.  Bayangkanlah orang yang pada saat puncaknya  dulu dikerumuni, dihurung, dipuja, diangkat, diserbu, dipetik oleh segala macam manusia di seluruh pelosok dunia ― tiba-tiba dibiarkan hanyut dalam dunianya sendiri.

Bayangkanlah betapa nyilunya kesepian mengerikan yang melanda jiwa raganya itu.  Kesepian yang begitu mengerikan kerana dia tidak lagi dipuja, diangkat, dibelai, dipuji dan diagung-agungkan oleh umat Melayu. 

Lihatlah bagaimana hebatnya demonstrasi cinta kasih ini tatkala dia diserbu sehinggakan ada yang patah tumit kasutnya, kerana tidak rela ‘dianya’ meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.   Tidak cukup dengan itu menteri kanan ini meraung-raung, “ Kenapa? Kenapa? Kenapa nak letak jawatan...”

Demikianlah ‘Apanamanya’ itu dipuja.

ii.

Apabila rumah kedainya sunyi-sepi dan para pelanggan menjauhkan diri, tiba-tiba dia kembali lagi dengan gimik perkauman ala “Melayu terancam di negaranya sendiri”  lalu memperakukan bahawa Perkasa itulah rumah azali untuk orang-orang Melayu berlindung.   Segala perhatian dan tumpuan terhadap sikapnya yang tidak masuk akal itu kemudiannya menjadi bahan perdebatan oleh semua pihak, baik lawan maupun kawan.  Orang ini ― sekali lagi mendapat tumpuan.

Apakah semua ini terjadi dengan sendirinya?

Apakah cadangan dalam Parlimen supaya personaliti tertentu itu jangan lagi dibenarkan keluar negara itu satu kebetulan?

Apakah pemberita yang menyodorkan mikrofon kepada ‘Apanamnya’ untuk bertanyakan pandangan berhubung larangan ini, juga satu kebetulan?

iii.

Semua ini boleh dirancang oleh mesin.  Mesin yang setia menghimpun segala khazanah yang dirompaknya sejak sekian lama tidak akan berpeluk tubuh.  Khazanah Ali Baba dan para penyamunnya mestilah kekal di dalam gua. 

Mesin tidak akan berdiam diri melihat bagaimana Kerajaan Pakatan Negeri Selangor,  misalnya menggembalikan sumber alam seperti air kepada rakyat.  Segala perbuatan dan amalan baik seperti menmanfaatkan sumber negeri untuk rakyat, yang tidak dilaksanakan oleh mesin setelah lebih setengah abad memerintah Selangor,  tidak boleh sampai ke pengetahuan Mak Cik-Pak Cik di seluruh kampung dalam negeri Selangor. 

Berita ini sangat tidak elok diketahui oleh Mak Cik-Pak Cik seluruh Selangor.  Kenapakah begitu?  Ini semua fitnah Pakatan rakyat dan ini tidak baik untuk masa depan mesin.

iv.

Apakah pengajaran yang boleh kita pelajari dari cerita ‘Apanamanya’ dan hal-hal yang berkaitan dengannya ini?

1) Biarlah ‘Apanamanya’ kekal di dalam dunianya sendiri.  Biarlah ‘dianya’ meracau sendirian.   Kita ikuti contoh dan iltizamnya Dinmerican.  

2) Editor akhbar-akhbar  yang dibaca oleh Mak-Cik-Pak Cik yang tersisih daripada alam nyata,  perlu diberikan perhatian yang serius oleh mesin.  Editornya mesin mestilah memastikan supaya mereka ini terus dikawal apa-yang-boleh-dan-tidak-boleh mereka dengari dan baca.  Hebahan mestilah dari sumber yang satu, bukannya yang pelbagai.

Kenapakah semestinya begitu?  Logiknya ialah kerana yang paling benar dan segala yang benar itu adalah kata-kata mesin, yang lain-lainnya hanyalah fitnah semata-mata.

3) Mesin begitu bimbang dengan tingkah para bloger yang tidak boleh disunting secara profesional oleh para editor mesin yang ― juga profesional (meminjam istilah Tuan Zin Mahmud).  Akibatnya fitnah menjadi-jadi. 

Sebagai contoh, air yang dirompak dan mahu diniagakan oleh para cukong dan anak pinak menjadi isu yang tidak baik untuk mesin. (Jangan lupa ―5 Disember ― kita bersama-sama Rakyat Selangor) 

Fitnah-fitnah seperti ini mestilah dikawal.

Fitnah mutakhir oleh YB oposisi dari Pokok Sena tentang benih padi juga sudah menyusahkan mesin.  Entah kenapa MADA tidak kebagian, demikianlah bunyinya fitnah YB ini.  Siapakah yang mendapatnya?   Memanglah benar, bahawa puak-puak Oposisi ini tak ada kerja lain ― melainkan menjana fitnah.  

Fitnah, maki hamun, impian yang muluk-muluk adalah idea yang tidak baik untuk mesin dan masa depannya.

Alahai, mesin...apakah kamu kira rakyat tidak tahu apakah yang kamu kerjakan bersama APCO?


No comments: