“M'sia Tidak Seperti Timur Tengah: Najib
TANJUNG KARANG: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, berkata suasana politik di Malaysia tidak mungkin bergolak seperti di Timur Tengah dan Utara Afrika kerana kerajaan tidak mengamalkan pemerintahan kuku besi malah sentiasa peka terhadap kehendak semasa rakyat.
Perdana Menteri berkata, jika rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintahan Barisan Nasional (BN), tidak mungkin BN menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau dan DUN Pahang kawasan Kerdau pada 6 Mac lepas dengan jumlah majoriti undi yang meningkat.”
___________________
Sudut Pandangan lain
Seorang mantan pemimpin, semasa tegap bersemayam di puncak takhtanya, pernah menempelak keras para pengkritiknya yang menuduh bahawa penggunaan ISA, Akta Keselamatan Dalam Negeri, hanyalah bermotif politik.
Kata para pengkritik itu lagi, mantan Sang Penguasa Besar itu bertindak demikian untuk membungkamkan segala macam dan segala bentuk penentangan terhadap pemerintahannya. Ini termasuklah tindakan-tindakan kerasnya mematikan tentangan di dalam Umno sendiri.
Kita tidak pernah lupa dengan hujah sebab-akibat mantan ini. Hujah ini tidak pernah luput daripada ingatan kita.
“Kenapakah kamu sibuk-sibuk memprotes ― bukankah parti kami dalam Parlimen cukup kuat? Rakyat menyokong tindakan kami. Mereka terus memilih kami.”
ii.
Kuihnya tidak pernah berubah. Mungkin warnanya telah berubah ― kelabu kepada merah jambu. Untuk meghilangkan bau hanyir telur itik yang agak keras itu, komposisi esen (essence) vanilanya ditingkatkan.
Bagi yang tidak mahir pun, tetap kenal itulah buah hulu Kerala.
Ya, Acuan itu tidak pernah mungkir,
Sikap itu juga tidak pernah berganjak
Segala kata dan tindakan juga tidak pernah berbeda.
Selagi sistemnya tidak diruntuhkan, kita masih membaham buah hulu basi Kerala.
iii.
Kalaulah kita berhenti sejenak untuk bertanya:
Apakah kau memenangi pilihanraya itu dengan ‘adil dan saksama’ ― fair and square, muka para pemimpin ini tetap seperti biasa: Tembok batu yang pejal.
iv.
Rakyat tidak ada pilihan, kecuali terus berjuang.
No comments:
Post a Comment