Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/polis-nafi-pukul-mahasiwa-kecederaan-kerana-diri-sendiri/
“Polis nafi pukul mahasiwa, kecederaan kerana diri sendiri
Oleh Shazwan Mustafa Kamal
January 01, 2012
KUALA LUMPUR, 1 Jan — Polis menafikan dakwaan memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menegaskan “tiada pergelutan” berlaku apabila tangkapan dibuat.
Mahasiswa dan ahli politik pembangkang telah mendakwa beberapa mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik telah dipukul dan ditangkap awal pagi selepas ingkar arahan agar bersurai...”
Komen
Salah satu bentuk hiburan yang dicipta manusia seni ialah berlawak jenaka. Lawak jenaka bermutu, dipersembahkan dengan kemas dan penuh imaginasi bukan sahaja menghibur tetapi juga mampu mendidik. Sekiranya ini terjadi, khalayak yang datang berduyun-duyun untuk menonton persembahan lawak jenakanya puas, terhibur kerana telah menonton sesuatu yang bermanfaat, yang mendidik.
Awal pagi 1 Januari 2012, telah datang sekumpulan pelawak untuk menghibur sekumpulan kira-kira seratus orang anak muda yang riuh rendah, bising-bising, memprotes bahawa selama ini mereka ‘dicekik.’ Kata para pelajar ini mereka sentiasa saja dihalang daripada bercakap dan bergerak selayaknya sepertimana yang dimimpi-mimpikan oleh para mahasiswa di pusat-pusat ilmu negara-negara tamadun tinggi. Kata mereka lagi, universiti bukan sekadar tempat untuk mencetak ‘kertas perakuan orang-orang yang telah pandai’ yang katanya cukup penting apabila melamar sebarang pekerjaan tetapi juga tempat untuk mengasah bakat menjadi pemimpin masa depan. Lalu mereka pun berhujah, salah satu cara untuk mengasah bakat kepimpinan ialah dengan berkumpul, memprotes, bersyarah, berpidato dengan berapi-api dan jika perlu menjerit-jerit.
Kita tidak tahu kenapakah anak-anak muda ini tidak merempit di sepanjang jalan utama kampus UPSI di awal pagi 1 Januari 2012. Mungkin mereka belum belajar hakikat negara mereka: Merempit itu lebih bagus daripada berhujah menggunakan akal fikiran.
Nota kaki:
Salah satu jeritan malam itu ialah, “Kenapakah Aspirasi dilayan dengan begitu istimewa sekali di Putrajaya? Kenapa? Kenapa? Kenapa? ”
Bukankah itu juga soalan lawak?
No comments:
Post a Comment