Monday, March 26, 2012

Bahaya jika tidak ambil peduli

Pabila nilai ditukar-ganti


Satu ketika dulu, sungai menjadi tumpuan masyarakat kerana pelbagai sebab ― untuk manda manda, mencuci pakaian, hatta untuk keperluan makan dan minum oleh sekian ramai keluarga ― ramai yang pedulikan sungai. Ertinya, sungai masih cukup dekat dan sungai memiliki tempat yang tersendiri-istimewa di hati masyarakat.

Apabila kepentingan sungai mulai kendur, susut ― orang sudah manda manda, memasak, makan dan minum dari kamar tidur ― ertinya pabila pola hidup masyarakat sudah berubah ― perlahan-lahan tapi pasti, sungai pun ditinggalkan.

Hari ini, sungai ― lebih-lebih dalam pelbagai kota ― lebih mirip longkang besar hanya mengundang perhatian pabila penghuninya dikunjungi air yang tidak diingini.

Hari ini, masih adakah penyair yang teruja berkarya tentang keindahan longkang besar di tengah-tengah kota?


2.

Satu ketika dulu, pada abad ke 19 di kemuncak Perang Paderi, khabarnya gelombang pejuangnya telah berundur dari buruan penjajah Belanda, lalu mereka pun menemui, membuka dan akhirnya menetap di kampung seperti Banda (Parit) Dalam, Gombak, Kuala Lumpur.

Hari ini, segala sawah bendang dan pelbagai asesorinya ― batas, sempadan, permatang, kolam, paya, lembu kerbau sudah tiada lagi. Yang ada hanyalah cucu cicit keturunan dengan sejarah silamnya.

Hari ini, bagi gabungan Penguasa-Pemodal-Niagawan, kampung-kampung seperti ini begitu mencederakan mata, menyakitkan hati dan membantut nafsu. Kampung-kampung inilah yang membuat wajah pembangunan sebuah kota besar menjadi bopeng. Makanya, demi pembangunan yang jauh lebih besar, kampung-kampung seperti ini perlulah minggir ― dinyahkan dari peta kehidupan ini.


3.

Apa yang telah kita tinggalkan?
Apakah yang kita pelajari?
Apa yang disunglap?
Nilai apa yang kita korbankan, lalu
nilai yang mana telah kita pungut?

No comments: