Wednesday, April 4, 2012

Kami tolak laporan PSC

Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9313-kami-tolak-laporan-psc-tambah-baik-praya

Kami tolak laporan PSC tambah baik pilihan raya
Oleh: Anis Nazri 03 April 2012


KUALA LUMPUR, 3 April: Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) menolak laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

Pengerusinya, Ahmad Lutfi Othman, menegaskan penolakan itu dibuat ekoran tiada sebarang penekanan terperinci berhubung tuntutan terhadap akses media yang adil dan bebas.

Bercakap pada sidang media di Hotel Vistana, petang ini, beliau mendakwa syor yang dibawa PSC berhubung akses media hanya menyentuh soal asas tanpa memperincikan butiran mengenainya.

"Melalui laporan yang kami lihat sepintas lalu, PSC hanya mengambil maklum tentang akses kepada media, tanpa satu kesungguhan atau penekanan serius bahawa pengundi akan mendapat hak untuk memperoleh maklumat yang adil dan menyeluruh, termasuk anggota PSC dari kalangan Pakatan Rakyat," dakwa beliau.

Katanya, pihaknya juga beranggapan Pakatan Rakyat turut tidak berusaha untuk memberi tekanan terhadap reformasi menyeluruh berkenaan media.

Laporan PSC yang dibentangkan di parlimen hari ini, yang menyentuh soal akses media menyebut 'Jawatankuasa mengambil maklum cadangan akses media yang bebas dan saksama diberi kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

Jawatankuasa juga mengambil maklum kesediaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memberikan akses yang adil kepada semua parti dan calon yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawatankuasa mengesyorkan SPR meneliti Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan yang boleh meminta pihak berkuasa awam untuk memberikan apa-apa bantuan yang dapat dilaksanakan kepada Suruhanjaya dalam menunaikan tugasnya termasuk Kementerian dan agensi berkaitan berhubung dengan hal perkara yang melibatkan akses media yang bebas dan saksama kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

Sehubungan itu, Ahmad Lutfi, berkata badan penggerak kebebasan media itu akan membuat beberapa pertemuan dengan Bersih 2.0 bagi terus mendesak isu ini menjelang pilihan raya umum.

Kami juga bercadang untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan sebelum sidang parlimen berakhir minggu hadapan.

Dalam usaha memastikan akses media yang adil dan bebas dapat dilaksanakan menjelang pilihan raya umum ke-13, Ahmad Lutfi berkata pihaknya juga akan membentuk satu badan gabungan yang terdiri daripada NGO-NGO yang akan terus menekankan soal kebebasan media ini.

Beliau juga meminta kerajaan untuk melihat kebebasan media di seluruh negara, khususnya di negara-negara yang tidak mengamalkan demokrasi sepenuhnya seperti Singapura dan Myanmar.

"Kita tidak payah pergi jauh. Cuba lihat Myanmar yang jauh dari sudut demokrasinya. Pada pilihan raya negara itu, baru-baru ini, Aung San Suu Kyi diberi peluang untuk berkempen di televisyen kerajaan selama 15 minit. Mengapa tidak di Malaysia yang dikatakan pengamal demokrasi?" soal beliau.

No comments: