Friday, April 26, 2013

"What can we do?"



Kita tidak boleh mati sia-sia.


Untuk entri berjudul “Ayam patuk,  itik sudu,” seorang pembaca Al-Manar memberikan komen berikut:

“I prefer not asking what you can do. What can I do? I know what I have done with my life, for me and family and what I have done for others. I may not even go voting. What can they do to me?

I enjoy reading your critical thinking.”


Terima kasih tuan kerana sudi memberikan tanggapan. 


2.

“Ketika Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.

"Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.

"Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu," kata burung lain pula.

Walau bagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.

Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur. “

l Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.


3.

Dalam teks “Rindu Ibu” – 101 Puisi Kanak-Kanak Menjelang Dewasa, A. Samad Said, Wira Bukit, cetakan keempat, 2006:39 terdapat sebuah sajak berjudul “Sang Semut”.  Di antara bait-bait yang sarat makna emotif dan psikologis yang mendalam ialah yang berikut:

“sang semut masih selalu singgah-menyinggah,
ghairah bersalaman atau berpesanan
sebelum pantas meneruskan perjalanan.

Diriku yang leka dan khusyuk menelitinya
terlalu ingin tahu apa dibisiknya ―
kujangka semacam ada pesan rahsia.
Melihat barisan semut yang cergas
makin ingin kudengar pesan yang khas.

Cuma tidak kutahu dan ingin kutahu ―
apa, ya, bisikan yang terlalu khas itu?”


4.

Orang yang paling dekat dengan saya, isteri yang tercinta pernah bertanya, “Bila lagi kita mahu menang?  Dah penat,  dok asyik kalah saja.”

Waktu itulah pertama kali saya ditempatkan di projek ― Projek Rancangan Pertanian Bersepadu Kerian Sungai Manik, komponen Kerian Darat untuk ‘menjaga’  kompartmen C, Tanjung Piandang.  Dalam pilihan raya umum ketika itu Goh Cheng Teik menjadi calon BN.  Saya masih ingat calon Pas mendapat hanya sekitar 200 undi, termasuk undiku.


Ketika itu yang amat menggangu fikiran saya ialah kenapakah seorang Cina yang katanya cauvinis Lim Kit Siang membawa skandal BMF itu ke parlimen?  Kenapakah Jalil Ibrahim itu ditemui mayatnya di kebun pisang di Hong Kong?


5.


Mungkin soalan-soalan dan juga petikan di atas ― kisah burung pipit berparuh kecil, semut yang saling berbisikan dan keberanian Cina yang katanya cuavinis dan juga kematian seorang pegawai bank adalah di antara sekian banyak jawapan kepada soalan “What can you do?”


Percayalah jika ditakdirkan Pakatan Rakyat (Ya, Rabb kabulkanlah doa hambumu ini. Amin) mengambilalih Putrajaya, bukanlah ia bermakna bahawa tugas kita sebagai rakyat kecil  sudahpun selesai.  Belum.  Sebenarnya tugas kita dengan satu kelompok politikawan  yang baru, baru akan bermula.  Sebabnya cukup mudah.  Siapakah yang sangat yakin bahawa kelompok politik Pakatan Rakyat ini tidak berubah dan menjelma (dengan kata lain, mentransformasikan dirinya) menjadi Umno dalam bentuknya yang baru?  Sekarang pun,  lihatlah berapa ramai yang ‘bertempur’ untuk mempertahankan ‘kingdom’nya dan berebut-rebut pula untuk menjadi calon.  Oleh kerana itu untuk segala zaman, peranan burung pipit, semut dan manusia yang kecil-kerdil perlu dan mestilah sentiasa wujud.  Jika tidak kita, rakyat yang tidak bermaya ini bakal menjadi lembu-lembu  kondo.  Apakah kita layak hidup sekadar untuk diberikan dedak dan disembelih pabila tiba saatnya?


Aduhai, betapa sia-sianya menjadi manusia yang yakin dan percayakan mesej kunfayakun...
Wallahuaklam.


Sekali lagi, terima kasih Tuan Al-Manar.  



No comments: