Saturday, August 3, 2013

Kalah kerana puasa



“Kalah kerana puasa!”


Semasa bersekolah di UGM awal tahun 70an dulu, saya pernah tergamam dengan komen seorang kawan, “Hempa orang-orang Melayu parti X ni,  kalau sebut saja Islam,  semua hujah lain tak lut lagi!” 

Kata-kata teman penyokong kuat parti U yang dulu, kini dan selamanya bersama Unya itu masih berbekas lagi dalam kepala saya sehingga ke hari ini.  Teman sepersatuan PKPMI (Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia), ini kerap menggendalikan slot siaran lagu-lagu Melayu di stesen radio amatir, Suara Istana tak jauh dari rumah kos saya di Djetis 6, Jalan Gembiraloka, Yogyakarta, ini amat yakin dengan kata-katanya.  Baginya Islam selalu digunakan@peralatkan, sama ada betul atau pun salah,  demi untuk mematikan segala hujah lawan.


2.

Semasa bersama JPS, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, seorang teman yang sangat warak pegangan Kristiannya dan baik pula budi pekertinya pernah juga membuat saya tergamam dengan masalah sensitiviti dalam hal-hal agama, silang agama dan silang budaya ini.  Kisahnya ialah semasa kami mengadakan jamuan Hari Raya; juadah  yang dihidangkan hari tersebut hanyalah rendang@gulai daging lembu.  Hanya itu yang ada ― tak ada pilihan lain, tak ada rendang ayam atau pun gulai ikan misalnya.

“Kassim, do you think Raju is happy even though he doesn’t mind that you serve only beef?”

Ya, kebetulan di pejabat kami hanya ada seorang Raju.  Di pejabat kami, Rajulah racun dan Rajulah penawarnya dan dalam hal beragama Raju adalah seorang Raju.  Teguran yang tepat, pedih menghiris tapi membuka nurani itu,  saya ingat sampai ke hari ini.  Itu adalah soal sensitiviti beragama.  Sensitiviti yang semestinya bertimbal balik yang tak boleh ditutup dengan kepura-puraan, sebarang pameran atau lakonan.  Kesalahan terlepas pandang itu memberikan konotasi buruk;  perbuatan yang seolah-olah disengajakan kerana tidak sensitif itu, adalah satu pengalaman yang berharga sekali.  Kami penganjur memohon maaf di atas kesalahan seperti itu.


3.

Seorang lagi teman, kali ini seorang Cina pernah menceritakan indahnya pengalaman semasa bersekolah di kelas tingkatan 6 di Kota Bharu.  Boleh dikatakan semua kawannya anak-anak muda Melayu belaka ― maklumlah Kota Bharu.  Dia menceritakan pengalamannya tidur bangun, makan minum, bergaul dan bersahabat dengan anak-anak Melayu Kelantan ini.  Misalnya waktu mandi tanpa segan silu mereka sama-sama bertelanjang bulat.  Ketika itu tak ada yang pelik, tak ada yang ganjil, mereka bersuka ria sambil meraikan kepolosan fizik masing-masing.  Bila Ramadhan tiba, dia juga cuba ikut-ikutan berpuasa tapi ternyata pemgalaman berpuasa itu begitu memeritkan, “I cannot stand the pain of being hungry”. 


4.

Saya telah teks seorang sahabat, kira-kira begini, “ Pemuda X seakan-akan mahu ‘berperang’ dengan seorang Raju sebab kenyataannya bahawa kekalahan Malaysia ialah kerana puasa.  Adakah sekarang ini kita semua rata-rata sudah diserang penyakit ‘sayangkan Islam’ yang agak ganjil? Nampaknya sekarang ini tak ada sesiapa pun yang boleh berkata apa-apa lagi sekiranya dikaitkan dengan Islam?”  Saya teringat sindiran tajam sahabat lama ketika di Gadjah Mada dulu. 

Teman yang diteks ini menjawab: Itulah masalahnya.

Alangkah baiknya jika yang menjuarai, yang mengangkat agenda Islam-Melayu sebagai ‘punching bag’nya dan sentiasa saja melatah itu hanyalah parti U itu dan bukanlah komponen parti Pakatan Rakyat.  Bukankah U itu sebuah parti yang terlebih-lebih suhu sasaunya di musim-musim dan tahun-tahun pemilihannya?  Bukankah parti U itu memang begitu perangainya, dan oleh kerana itu kenapakah kita mesti meniru gelagatnya U? 

Adakah kita meniru kerana Islam telah cedera teruk dan terhina kerana pandangan seorang Raju tentang puasa atau kita meniru gaya U supaya kita juga kelihatan lebih gagah membela Islam jika dibandingkan dengan parti U?  Apakah bentuk kesalahan yang dilakukan oleh seorang Raju yang berpendapat bahawa pasukannya kalah kerana teamnya kekurangan tenaga akibat tidak makan dan minum?   

Kenapakah kita mesti memaksanya percaya bahawa puasa tidak akan menjejaskan prestasi pasukannya?   

Kenapakah kita mesti memaksanya percaya bahawa sejarah telah membuktikan bahwa Islam juga menang perang dalam bulan puasa? 

Bahawa Israel kalah perang dalam bulan Ramadhan bukanlah disebabkan oleh Mesir yang berpuasa adalah bukti sejarah.  Jika seorang Raju tidak yakin dengan hakikat ini,  apakah dia kita tuduh menghina Islam?

Demi kebaikan kita semua,  rasanya betapa eloknya jika kita berhenti menjadi dan berperangai macam parti U itu.  Tak perlu kita bersaing dengan U dalam hal-hal lakonan dan wayang.




No comments: