Saturday, March 8, 2014

KEPUTUSAN YANG MENGABSAHKAN BUDAYA POLITIK FITNAH.



Kenyataan Media TERAS
8 hb Mac 2014


KEPUTUSAN YANG MENGABSAHKAN BUDAYA POLITIK FITNAH.

TERAS merakamkan kekesalan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Harapan politik negara akan bebas dari politik fitnah dan manipulasi media kini berkecai dan gelombang serangan fitnah lucah dalam persaingan politik akan kembali menjadi tema utama dalam ruang awam.

Tuntutan rakyat agar politik lucah dan fitnah dihentikan kini disemarak kembali melalui keputusan institusi kehakiman yang tidak melihat implikasi jangka panjang bila tuduhan  mudah dilontar kepada siapa sahaja tanpa menyediakan bukti seperti yang dituntut oleh syariat Islam.

Jelas jika dilihat secara syariat keputusan itu tidak menepati kehendak keadilan dalam Islam.

Keputusan berdasarkan bukti yang tidak memenuhi kriteria mengikut undang-undang Islam kini telah membuka ruang untuk budaya mengfitnah menjadi amalan dalam masyarakat.


Mengikut perundangan Islam penghakiman yang dikeluarkan itu telah menganiayai Datuk Seri Anwar kerana kesangsian kepada bukti tidak menjadi asas untuk rayuan itu diketepikan.

Kami yakin  hukuman ini adalah bermotif politik memandangkan Datuk Seri Anwar telah membuktikan dirinya sebagai seorang pesaing politik yang paling getir untuk dihadapi oleh pihak penguasa selama ini. Dengan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun  , musuhnya mengandaikan karier politik beliau akan berakhir.

Sejak dari awal lagi semua rakyat melihat seluruh jentera kehakiman serta media awam telah digembleng semaksimanya untuk melancarkan asasinasi karaktor terhadap Anwar.

Kami mendapati perundangan Islam mengikut hukum qazaf sepatutnya diaplikasi keatas yang menuduh. Namun jelas secara terang-terangan ia telah diketepikan dan ini menjadi prisiden kepada semua kes  seumpamanya selepas ini untuk mengenepikan hukum qazaf dilaksanakan di negara ini.

Politik negara kini akan mengabsahkan segala fitnah liar sebagai alat yang dibolehkan untuk menamatkan mana-mana pesaing politik pemerintah.

Kes tuduhan liwat ke 2 ini adalah jelas suatu usaha berkesinambungan untuk melanjutkan serangan keatas Anwar. Musuh beliau nekad untuk meneruskan politik fitnah sebagai senjata yang dianggap boleh menamatkan kebangkitan rakyat yang diinspirasikan oleh beliau.

Undang-undang negara kini hanya bermakna ketika mana ia tidak menjejaskan pihak penguasa yang ditunjangi oleh kerajaan BN. 


Ketika ada keberanian mana-mana pihak yang boleh mendedahkan kepincangan mereka kepada seluruh rakyat , jentera kerajaan akan diguna untuk membunuh keberanian itu.

Adalah sangat memalukan politik negara tidak mendewasa untuk berganjak dari politik rimba dan fitnah kepada politik ide lawan ide. Kenapakah kepincangan mentadbir negara yang berhak diketahui rakyat perlu diselindungi dengan cara yangnpaling jijik, menebarkan fitnah melaui jentera resmi kerajaan.

Kini dunia akan meneropong politik negara dengan persepsi yang negatif lantaran keyakinan terhadap sistem kehakiman negara merudum. Budaya membunuh politik lawan dengan memanipulasi undang-undang akan menjadi rekod institusi kehakiman negara amat buruk.

Kami menegaskan rakyat tidak mungkin boleh diperbodohkan berterusan kerana politik kotor  dan kebusukkan konspirasi politik akan akhirnya terdedah dan mereka yang menjadi aktor dalam rancangan jahat merencanakan fitnah pasti akan dihukum oleh rakyat.

Kami memanjangkan simpati dan solidariti kepada Anwar dan seluruh keluarganya . Pengorbanannya untuk berjuang bagi membangunkan politik baru yang lebih bersih, terhormat dan sihat demi masa depan negara dan rakyat adalah suatu pengorbanan yang seharusnya diteladani oleh semua. 

 Ketegasan beliau untuk tidak tunduk kepada hegemoni kuasa pemerintah adalah rangsangan yang akan menginspirasikan rakyat supaya negara tidak terus dibiarkan berada ditangan penguasa yang korup dan mengaut keuntungan peribadi dan kerabat keluarga.
 

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu





No comments: