Friday, October 16, 2009

Menghadam yang abstrak


Kita tentu sering mendengar, membaca atau mungkin juga menonton para bijak pandai atau pakar bidang bercakap, berbincang, berhujah atau mengupas tajuk-tajuk yang kadang-kadang tidak begitu sederhana@lurus, straight forward untuk dihadam dengan sempurna. Salah satu contohnya ialah tatkala berbicara tentang ‘kemajuan’ atau mungkin juga ‘kebahagiaan.’ Umumnya tajuk-tajuk sedikit abstrak seperti ini agak sukar jika diukur hanya dengan mata yang kasar. Namun begitu orang mungkin kerap mengukurnya dengan angka dan statistik. Sama seperti orang-orang bijak negara ini satu ketika dulu, mengukur bahagia atau deritanya orang-orang Melayu lewat angka DEB sehinggakan ASLI juga pernah dicemuh kerananya. Sekarang angka-angka itu mungkin telah mereka gusur ke dalam tong sampah sejarah.

Maka apabila misalnya seorang mantan menteri perdana menghebahkan bahawa negeri yang diperintah pembangkang ternyata ketinggalan dari sudut kemajuan dan arus kehebatan pembangunannya, kita lebih cenderung melihatnya sebagai pendapat peribadi atau lebih buruk lagi sekadar propaganda memburuk-burukkan lawan. Rasanya mesej yang mahu disampaikan oleh mantan itu ialah bahawa sesiapa saja yang memilih pembangkang pastinya menghadapi semacam penganiayaan kerana tidak berupaya untuk membangun. Tentunya tatkala membuat pemerhatian seperti ini, dianya menggunakan kayu ukurnya yang tertentu. Dengan citra yang dicerap oleh daya fikirnya, maka dia pun mampu memutuskan bahawa sesuatu itu hitam atau putih, maju dan mundur.

Tatkala berada di sekolah rendah di tahun-tahun enam puluhan dulu, saya masih teringat akan sebuah bangsawan buat meraikan ‘pesta bulan bahasa kebangsaan.’ Ia menceritakan kisah kepetualangan seorang raja yang meninggalkan istana demi mencari kebahagiaan. Entah bagaimana Baginda telah tersasar lalu memasuki kebun seorang rakyat jelatanya yang lagi lahap menyuap nasi. Saya masih ingat bagaimana pelakon lelaki, si rakyat jelata tanpa baju itu, begitu lahap sekali menyuap nasi walaupun hanya berulamkan nenas dan berlauk ikan kering! Tatkala baginda bertanya kenapa rakyatnya begitu berselera sekali walaupun nasinya hanya ‘begitu-begitu’ saja, si petani miskin itu menjawab,” Hidup patik sangat bahagia.”

Bila kita kembali ke zaman ini, apakah kerana tidak memiliki menara berkembang (yang meratah sekian banyak khazanah negara), negeri yang diperintah pembangkang tidak maju?

Persoalannya di sini, bagaimana agaknya kita mengukur ‘kemajuan’ itu sendiri? Ya, kita memiliki petunjuk-petunjuk tertentu dan tersendiri. Ya, ya..kita ada angka-angka, statistik, graf, carta, yang gagah-gagah perkasa tapi dingin tanpa roh itu.

Untuk melihat citra kayu ukur ini, marilah kita melencong sedikit. Apakah pula pandangan kita dengan pandangan sesetengah pihak bahawa wanita yang berpurdah itu sebenarnya tertindas dan ditindas? Kebalikannya pula begini: Bagaimana pula dengan pandangan sesetengah orang bahawa memerdekakan seseorang wanita itu sehingga dia separuh bogel adalah penghinaan nyata terhadap martabat wanita yang kata mereka sangat tinggi dan perlu diraikan? Dalam konteks seperti ini, siapakah sebenarnya yang memaksakan nilai siapa? Siapa penilainya, dan siapa pula yang dinilai?

Dan jika saya katakan teh tarik itu terlalu manis, apakah skala kepekatan kemanisan yang saya pakai? Putik deria rasa siapa yang mahu kita pakai untuk mengkur manis-atau-kurang-manisnya secawan teh tarik itu?

Apakah maknanya semua ini? Sebelum mengukur, sangat elok dan adil jika kita bersetuju atau tidak bersetuju dengan kayu ukur yang akan kita gunakan. Jangan pula mantan bercakap dalam inci dan ela sedangkan orang-orang yang katanya sudah glokal telah berbicara dalam cm dan meter.

Agaknya skala apa, milik siapa yang mantan itu telah gunakan tatkala menjatuhi hukuman bahawa negeri yang diperintah pembangkang itu sesungguhnya tidak maju?





No comments: