Wednesday, December 9, 2009
BTN dan mesyuarat pendaftaran Paksi
BTN
Kisahnya menjadi besar apabila Negeri Selangor tidak mahu meneruskan program ini, malah mahu mengharamkannya. Lantas, ada yang sangat marah: Kenapakah program sebaik itu mahu didera? Ya, memang masuk di akal, kenapakah program sebaik itu mahu dikuburkan? Kita pun menjadi pelik kenapa sesuatu yang baik kualitinya mahu dinyahkan begitu saja dari bumi bertuah ini. Kenapa?
Bagaimana kalau dasar yang baik-baik dan berkualiti ini, kita jadikan program ala 1 Malaysia, atau ala Islam Hadhari, (yang almarhum) itu? Maknanya segala aspek baik-baik BTN yang biasanya dibisik-bisik seperti bisik-bisikan pengantin baru dalam kelambu, dihayati sepenuhnya oleh seluruh rakyat satu Malaysia. Contohnya? Setiap hari, setiap saat ada pengumuman di media perdana kerajaan baik-baik, “Kenapakah Melayu itu” tuan. Dengan itu tak perlulah kerajaan yang baik-baik, berbisik-bisik lagi tentang segala kebaikan BTN.
JKKP, seperti BTN, juga adalah program buah fikiran orang baik-baik.
Ini juga program baik-baik oleh Kerajaan baik-baik yang bercita-cita untuk melahirkan sebuah negara baik-baik, SATU Malaysia. Kalau ada negeri yang berhasrat untuk mendapat kedua-dua buah entiti ini, JKKK dan JKKP, undilah kerajaan yang tidak begitu baik-baik. Rakyat negeri-negeri itu pasti akan memperolehi JKKK dan JKKP. Kenapa? Hah, yang itu kita perlu bertanyakan kerajaan baik-baik. Sementara itu sebuah kerajaan tidak baik yang dipilih rakyat jelata masih juga belum keluar-keluar dari wad kurantinnya...
Jika kita teliti segala tingkah laku kerajaan baik-baik ini, tidak ramai cerdik pandai Melayu yang bergelar dan bertaraf profesoriii, membincangkannya. Seperti yang kita tahu, terlalu banyak persoalan yang sangat asas yang sewajarnya diperkatakan, seperti royalti minyak, Federalisme dan kaitannya dengan semangat sebuah kerajaan yang baik-baik, tidak sedikit pun mahu disentuh. Kenapa? Tidak ada apa-apa. Para ilmuan Melayu kita lebih gemar bercerita tentang BTN. Penggiat budaya pula lebih sedap bercakap tentang Natrah....
Dalam latar inilah, pada jam 9.30 malam, 8 Disember 2009 ada sekolompok manusia bertemu untuk membincangkan perihal Paksi yang belum juga mahu diluluskan pendaftarannya, program Budayawan Bertindak di Negeri Sembilan dan kumpulan esei Budayawan Bertindak.
Masih selesa dengan cara lama.
Dalam pertemuan itu Razali Endun terlalu jengkel kenapa masih ada pemimpin alaf baru dari Kerajaan yang bukan baik-baik berucap dalam bahasa Inggeris. Kata Razali, acaranya dihadiri oleh dua tiga kerat tetamu dari negara atas angin. Apakah yang bezanya dengan para pemimpin kerajaan baik-baik? Demikian, protes Razali. Elok juga kalau ada mana-mana institut transport atau fakulti kejuruteraan lebuh raya mengundang teman kita ini untuk bercakap perihal perancangan sistem pengangkutan di negara yang baik-baik ini. Biar Razali Endun bersyarah dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
SPM: Dari sepuluh ke dua belas
Pengumuman yang jumlah mata pelajaran untuk peperiksaan SPM akan ditambah daripada sepuluh ke dua belas mata pelajaran, sangat menggembirakan sesetengah orang. Kita pastikan bahasa Tamil juga tidak akan ketinggalan. Hah, luar biasa. Bagaimana pula pandangan para pemikir dan pengamat dasar pendidikan negara yang baik-baik ini? Apa pula pandangan pejuang-pejuang fahaman pendemokrasian ilmu jika pengumuman ini dikaitkan dengan anak-anak di sekolah-sekolah jurusan agama yang mempelajari 19 (sembilan belas) mata pelajaran itu?
Cerdik pandai kita, termasuk (itu yang ulamak) sangat gemarkan doa.
Kita masih lagi ternanti-nanti, ulasan termasuk oleh para ulamak kita tentang subjek SPM ini. Ya, setelah kita jenuh mengikuti pelbagai ulasan dan huha tentang doa seorang Hamba Allah yang dizalimi.
Alahai, para cerdik pandaiku dalam sebuah kerajaan yang baik-baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment