Sunday, December 13, 2009

Kenapakah kita yang ketagih menari?




Kenapakah kita yang ketagih menari?
Oleh: Tulang Bukan Besi


Isu Mongolia tiba-tiba kembali menjadi panas. Akhbar bukan perdana, lebih-lebih lagi pelbagai blog riuh rendah bercakap, berbincang, berpolemik tentang kemunculan semula Bala. Segala-galanya dihujah semula dengan begitu lantang sekali. Hujah tentang kebimbangan negara ini menjadi mangsa ugutan, diulas semula. Berapa lamakah semua ini akan berterusan?

Baru-baru ini semasa DUN Perak bersidang semula, senarionya juga hampir-hampirsama. Seluruh blog bising seperti pasar malam; bingitnya memekakkan telinga.Dan keputusan terakhirnya telahpun kita ketahui. Ia dimasukkan ke dalam peti, dikunci rapat-rapat di dalam satu tempat yang selamat: Mahkamah. Umno telah menggunakan apa yang perlu digunakan untuk keselamatannya.

Apa yang dapat kita belajar dari peristiwa-peristiwa seperti di atas? Mesejnya sangat mudah: Pergi jahanam kamu-kamu semua yang memprotes. Pergi jahanam. Biarlah runtuh Gunung Tahan kerana jerit pekik kamu-kamu semua, kami sedikit pun tidak ambil peduli. Ya, kami sedikit pun tak peduli. Kami telah menjadi ‘pekak’ dan tak mendengar segala protes kamu semua. Pergi jahanam kamu dengan protes-protes itu!

Sebagai perbandingan, cuba lihat apa yang akan terjadi jika TV dan akhbar-akhbar perdana meletupkan ‘masalah besar’ Pakatan Rakyat. Ketika itu setiap masa gendangnya akan dipalu. Siang dan malam gendang dipalu dan ia akan terus dipalu. Tahu apakah yang akan berlaku? Kita, ya kita, yang terkam untuk terhegeh-hegeh beryale-yale. Kita yang sakan sekali menari! Kita yang terlebih terkinja-kinja dengan irama yang mereka putar dan tayangkan. Itu dangdut mereka. Tapi kita yang terlebih gian. Cerdikkah kita?

Apakah kita tidak boleh membisu saja? Sebagai percubaan apakah tidak boleh, jika KITA SEMUA SAMA-SAMA MEMBISU. (Yang namanya pemimpin Pakatan Rakyat janganlah ketagih bercakap. Janganlah sekali-kali terkam apabila dihulurkan mikrofon dan ... berfikir kemudian!) Apakah tidak boleh, kita lebih banyak membisu? Belajarlah dari Umno. Belajar jadi pekak macam badak. Macam Umno, tak boleh?

Sebelum diketik nokhtah terakhir, ingin juga nak bertanya para pembaca sekalian: Apa yang boleh kita buat dengan mentaliti ‘pergi jahanam dengan protes-protes kamu’ yang Umno amalkan selama ini?


Saudara ada cadangan? Ada idea? Percayalah tak ada idea yang tidak baik. Kita teringin juga nak dengar.



No comments: