Sunday, December 13, 2009

Yang meletup-letup seminggu dua ini





Walaupun siri peristiwa seminggu dua ini meletup-letup, namun ramai yang menanggapinya sebagai tidak lebih daripada bertih digoreng saja; ber‘pop pap’ sebentar dalam kuali yang sedang panas. Itu saja. Atau paling-paling, semua itu dilihat hanyalah letupan mercun untuk menghambat monyet dan kera yang membuat khianat di dusun durian Pak Karim.


Untuk lebih jelas, elok kiranya kita perturunkan senarai peristiwa yang TIDAK disusun mengikut senarai keutamaannya ini. Teman-teman penulis, kolumis atau para bloger bolehlah memilih mana-mana tajuk yang paling digemari, untuk dicerakin dan dibentangkan buat renungan kita bersama.


Entah kenapa sdr Azizi Abdullah juga begitu lama menyepi. Editor ‘Utusan Pengguna’ CAP ini berdentum-dentum dengan kes Jawi menyergap Asri yang katanya tidak cukup kompeten bercakap tentang agama di depan khalayak. Bayangkanlah kehebatan kita sebagai ummah, begitu tekun menelanjangi kepandiran kita. Pada abad ke 21 ini, tatkala ada manusia yang sibuk menuntut hak untuk berkahwin sejenis, kita masih lagi berbicara perihal layak-tidak-layaknya seorang manusia itu bercakap tentang agama di depan khalayak. Sememangnyalah, kita cukup luar biasa.


Ya, mari kita kembali kepada senarainya:


BTN (Biro Tata Negara), ketuanan Melayu, doa yang tak diredhai (kata mereka yang memanaskan isu tersebut), royalti minyak yang mahu disonglap menjadi wang ‘ihsan’, Bala dengan segala bukti balanya, peruntukan masjid yang entah bagaimana dipalitkan dengan persoalan Islam yang dicabar (itu kata si wira Melayu, sang katak dengan dokongan akhbar perdana tentunya), perihal duit minyak yang membawa sial kepada negara ini (demikian kata mantan Menteri Kewangan penggubal Akta tentang minyak negara, Ku Li), perang terbuka di antara Nazri dengan itu mantan menteri perdana yang oleh Nazri dicapnya rasis, dan tidak kurang bejatnya ialah perihal artikel “Keling” yang menghina dan mengaibkan yang dibawa oleh siapa-lagi-kalau-bukan- akhbar-arus perdana-milik penguasa negara ini.


Apakah reaksi yang kita perolehi daripada para pemerintah yang baik-baik dalam isu-isu di atas? Kecuali BTN, kesunyisepiannya cukup memekakkan.


Ya, seperti biasa acara atau cara pembelaan diri yang terbaik ialah dengan ‘buat-buat tak tahu’. Teknik dan taktik ‘buat-buat bodoh’ telah dijadikan kaedah yang sangat popular di negara kita. Ini mungkin berjaya kerana kita sebagai rakyat tidak pernah istiqomah dengan agenda kita dalam menyusut@membongkar kebenaran. Kita lebih seronok dengan rentak dan irama yang dipalu oleh media kerajaan yang baik-baik. Sebenarnya kalau kita mahu, semua peristiwa di atas boleh kita jadikan siri buku catatan peristiwa, sebagai rekod, bukti dan hujah tentang betapa membiaknya sikap kerajaan baik-baik yang kita lantik untuk mentadbir negara tercinta ini. Kita boleh edar buku-buku kecil siri peristiwa ini untuk perhatian seluruh rakyat jelata. Biarlah semua rakyat tahu, apakah itu rupa bentuk dan wajah sebenar kerajaan yang baik-baik kita ini.


Apakah semua ini tidak pernah menjadi kenyataan oleh kerana kita, iaitu para penulis tidak mendapat sebarang manfaat@pahala dengan menulis tentang Abdullah bin Ubai, jika dibandingkan dengan tulisan kita tentang kehebatan Umar bin Abdul Aziz? Apakah benar begitu? Apakah taktik-teknik ala Abdullah bin Ubai tidak perlu kita rekod, pelajari, fahami dan hebahkan kepada rakyat jelata untuk dijadikan contoh dan sempadan?


Kita berpendapat sumbangan sesebuah kerajaan baik-baik mestilah direkod untuk perhatian rakyatnya. Bukankah begitu?




No comments: