Kuasa: Maknanya dan cara menmanfaatkannya
Semua yang hadir ke acara himpunan besar-besaran Bersih 2.0 untuk memprotes proses pilihan raya yang tidak adil, tidak telus dan sarat penipuan itu cukup sedar bahawa mereka tidak diingini. Mungkin ungkapan ‘tidak diingini’ itu terlalu lunak. Sebenarnya mereka bukan saja ‘tidak diingini’ malah dituduh sebagai para pengacau ketenteraman awam, kumpulan haram, alat pembangkang dan lagi dan lagi...
Pendek kata, mereka adalah ‘mob’ ― para penjahat yang mahu merosakkan kedamaian negara ini.
2
Bagi kami ― Hasni, Dins, Amni Jagat dan saya (Sdr Abu Samah ‘tertinggal’ dan turut berpidato di depan pintu masuk Stadium Merdeka) yang mengiringi Pak Samad ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum Bersih 2.0 kepada wakil Ke Bawah Duli Yang Dipertuan Agong, tahu dan melihat dengan jelas siapakah sebenarnya cenderung untuk merusuh dan siapa pula yang sebenarnya garang, degil dan gemar sekali menunjukkan kuasa itu.
- “Saya mendapat arahan supaya kamu semua bersurai ― kalau tidak kekerasan akan digunakan untuk menyuraikan kamu!!”
+ “Kami mohon pertimbangan tuan supaya membenarkan wakil kami menghantar memorandum kepada Duli Tuanku. Sudah ada persetujuannya...”
- “Arahan yang kami terima ialah TIDAK ada siapa yang dibenarkan masuk ke Istana Negara!!”
+ “Berikanlah pertimbangan kepada orang tua seperti Pak Samad ini...”
- “Kalau tahu tua dan sakit, kenapa ke sini...”
3.
Saya teringat kepada budi bahasanya Hapi, itu anjing jiran yang pernah saya ceritakan dulu. Nyata Hapi semakin hari, kian kental keakraban dengan saya ― jiran tuannya. Setiap kali melihat saya melintasi pintu berpagar rumah jiran ini, Hapi akan mendekati pintu pagar, sambil menggodek-ngodekkan ekornya...
Hapi cukup sedar bahawa saya bukanlah tuannya. Tuannya yang memandikannya dan saban hari memberikannya makan dan minum bukanlah saya.
3.
Dalam kehidupan sebuah negara, masih ramai yang tidak sedar bahawa rakyat itulah tuan yang paling besar.
Tidak hairanlah jika masih ramai penjawat awam yang bertingkah seolah-olah orang-orang politik yang sedang berkuasa itulah tuannya. Mereka cukup yakin gaji yang mereka cucuk setiap bulan itu datangnya dari poket tuan politik mereka itu.
4.
Hani Abas ada ungkapan yang sering diucapkannya setiap kali melihat tingkah orang-orang seperti ini:
“Abang tahu, sebenarnya kita adalah bangsa yang bangsat kerana kebangsatan kepimpinannya...!!!”
Hapi mengenali saya ― jiran tuannya. Begitu ramai penjawat awam yang sama sekali tidak mempedulikan siapa saja ― kecuali tuannya. Ya, tuannya yang kerap kalinya belum lagi pernah cerdik-cerdik walaupun telah sekian lama memerintah.
Itu belum lagi cerita para profesor kangkung dan ular-ular di dalam semak. Betapa tragisnya kita sebagai satu bangsa.
5.
Teman-temanku yang penulis masih lagi nyenyak?

1 comment:
alangkah hinanya nilai kemanusiaan di dalam jiwa insan sekarang kerana sering makan yang subhat
Post a Comment