Sunday, December 25, 2011

Seorang anak muda, Adam Adli

Pengajaran peristiwa Adam Adli


Dalam wawancara ekslusif, Sinar Harian, 21 Disember 2011 dengan Adam Adli Abdul Halim 22, anak muda tahun tiga UPSI ini antara lain dilaporkan berkata:

‘Bagi saya ia matang bagi orang yang memahami isu dan menerima keadaan bahawa mahasiswa sekarang ditekan. Malah bagi saya, banyak lagi tindakan yang jauh lebih tidak matang yang dilakukan pihak-pihak lain seperti menyerahkan kek berupa tahi dan sebagainya kepada Ketua Menteri Pulau Pinag, Lim Guan Eng baru-baru ini. Adakah bagi mereka tindakan itu matang?’

‘Apa yang saya harapkan adalah sedikit perhatian daripada isyarat kepada orang yang masih belum sedar bahawa kepincangan yang berlaku dalam negara sudah teramat teruk. Cukuplah saya mahu menunjuk ekspresi saya dan tidak menyangka ia menjadi mainan media...’


Ya, media berpesta sakan dengan peristiwa anak muda UPSI ini yang katanya mahu “sampaikan adalah kami tuntut kebebasan akademik untuk semua mahasiswa. Kenapa bendera Datuk Seri Najib Tun Razak yang saya pilih, ia kerana bendera Najib terletak di tiang paling tepi sekali dan paling mudah untuk dicapai.”


2.


Peristiwa penurunan bendera ini bukanlah sesuatu yang biasa, suatu norma yang kita temui dalam siri wacana sastera-budaya para sasterawan-budayawan yang bersimposium tentang pemikiran besar sasterawan.

Ini bukanlah khutbah mingguan yang dibaca dari mimbar-mimbar Jumaat; khutbah yang ditulis dari dalam kepompong ― khutbah yang terpisah jauh dengan realiti persekitaran kehidupan jemaah.

Peristiwa Adam Adli peristiwa yang telah berjaya merubah dan mendobrak status qou.

Peristiwa Adam sekali lagi membutikan bahawa yang prihatin, yang serius tidak semestinya datang dari mereka yang berkedudukan, bergelar dan yang katanya intelektual.

Masyarakat kita yang sekian lama dihimpit, ditekan dan sekian lama pula dibohongi ini memerlukan mereka yang berani turun ke padang realiti untuk bertindak. Mereka yang saban waktu bersyarah, bersurah dari puncak-puncak bukit harus melihat apakah seorang Adam telah lakukan. Mereka yang berilmu, terpelajar sangat wajar contohi tingkah seorang Aziz Bari.

Atau apakah mereka masih jua tersilau dengan hadiah, dana, pangkat, habuan dan peruntukan sesekali ― peruntukan sekali sentuh-sambil-lalu , touch-and-go dari wang milik rakyat itu? Apakah telah buta kita dengan lencongan-lencongan habuan, dana dan hadiah untuk menggelapkan mata itu?

Bila lagi kita akan melihat sosok-sosok sasterawan dan budayawan di tengah-tengah lapangan ― bersama-sama rakyat seperti A Samad Said?

Bukankah mereka, sasterawan-budayawan itu katanya suara nurani rakyat?

No comments: