Saturday, December 31, 2011

Tradisi berlaga ayam

Bermain saham dengan harta peneroka?


Dalam kehidupan sehari-hari kita selalui temui terminologi, jargon atau ungkapan khusus merujuk bidang-bidang tertentu. Sebagai contoh dalam bidang pembomohan@perdukunan kita dengar orang memeri hal-hal jampi, serapah, mantera, kesurupan atau makhluk halusnya. Dalam rekabentuk kejuruteraan pula kita temui istilah-istilah seperti faktor keselamatan atau ‘factor of safety’ atau pun andaian/kriteria rekabentuk.

Begitu jugalah dalam (bidang) politik, jargonnya juga bersepah-sepah. Sejak negara kita merdeka, katanya untuk memakmurkan orang-orang Melayu negara ini, kita temui istilah yang bermacam-macam ― membasmi kemiskinan, rancangan pembangunan luar bandar, nikmat pembangunan, senarai projek pembangunan, peluang-peluang yang kerajaan sediakan, bajet, peruntukan, transformasi, NKRA, DEB atau antara yang paling mutakhir ialah ‘one-off’. Yang terakhir ini adalah sejumlah wang ringgit dari kantung negara yang bakal diagih-agihkan kepada orang-orang miskin! Makanya orang-orang Melayu yang miskin bakal menerima RM 500.00 sebelum mereka pergi ke pusat-pusat mengundi.

Sementara itu dalam konteks kekayaaan yang melimpah ruah ini juga, orang-orang Felda telah lama kekenyangan kerana kekayaan yang beraneka ragam ― durian runtuh, jutawan baru, nikmat pembangunan, IPO (Initial Public Listing), saham dan bursa saham. Katanya ada satu lagi nikmat yang ‘sedapnya-bagaikan-nak-gila’, iaitu apabila harta merdak Felda itu diluncurkan ke persadakan ke peringkat internasional(?).

Sebenarnya dalam sejarah memakmurkan para peneroka Felda ini, sudah terdapat masyarakat Felda yang patah batang hidungnya kerana janji-janji menjadi jutawan segera. Ada di kalangan mereka yang dilondeh dan diperagakan dengan bermacam-macam nikmat pembangunan iaitu mengikut skema janji yang dilakarkan oleh Sang Penguasa Mutlak. Ya, kita telahpun melihat contoh-contoh linangan air mata para korban skema Sang Penguasa Mutlak ini di Felda Cahaya Baru (Johor), Felda Sungai Buaya (Selangor) dan tak ketinggalan juga di Felda Sendayan (Negeri Sembilan).

(Dalam konteks ini jangan kita lupa, orang-orang Melayu Langkawi juga telah lama kaya raya kerana nikmat pembangunan segera yang dibawa MahaKutty ke sana tatkala ber’dada’ di puncak kuasanya dulu.)

2.

Percayalah kerja spekulasi dan bermain saham ini tidak selalunya berakhir persis penyudahnya filem-filem Bollywood hujung minggu. Cerita saham adalah cerita spekulasi yang penuh dengan ranjau berbisa. Ya, rumah pasaran saham bukanlah panggung wayang Hindustan ― kisah tari menari dan guling-mengguling di lereng-lereng bukit, lalu sang hero dan kekasihnya pun hidup rukun damai, tepu asyik maksyuknya sambil mandi manda di dalam tasik madu cinta sehinggalah ke anak cucu. Itu bukannya cerita sebenar pasaran saham dan bursa.

Apakah kita lupa dengan nasib yang telah menimpa pelbagai amanah saham yang katanya pasti mencanak seperti ekor-ekor lembu yang lagi gian mengawan itu? Bukankah itu yang sekian kali dicanang oleh Sang Maha Kuasa Mutlak itu? Sang Penguasa Mutlak ini selalu mencanang bahawa nasib orang-orang Melayu yang pandai merebut peluang kerana menggadai apa saja yang mereka miliki untuk melabur, pasti terbela nasibnya setelah selesai melabur. Ke manakah leburnya janji-janji kekayaan segera via saham dan bursa saham itu? Ke mana larinya nilai saham-saham itu? Sekarang ini, berapakah nilai Saham Amanah Negeri XYZ itu?


3.


Yang sedang kita lihat sekarang ini ialah taktik, teknik dan strategi bagaimana otak-otak mulus tertentu itu mahu membelit supaya tanah 360,000 hektar yang subur, maha luas, maha strategik, (ada tanah-tanah Felda yang tersangat strategik kedudukannya) itu segera dikuasai dan digadai. Ya, tanah yang sudahpun mengeluarkan hasil kelapa sawit yang lumayan itulah yang mahu mereka ‘transferkasi’kan. Ya, ada perompak yang tergedik-gedik menanti saatnya selesai rompakan, menghitung-hitung berapakah bagiannya. Apakah jumlahnya RM 200 juta? Berapakah pula bagian-bagian yang mahu dibedak-agihkan kepada para pecacai-balaci yang membujuk supaya orang-orang Felda bersetuju untuk menggadai tanah mereka? Para pemodal yang memiliki dana yang bertimbun-timbun itu telah sekian lama meleleh-leleh air liurnya, menanti saat untuk meratahnya.

Setelah tanah Felda yang sedemikian berharga itu mereka gadai dan tergadai, apakah lagi bakal ditinggalkan kepada para peneroka yang lebih 95% Melayu itu?

Sementara itu rakyat, khususnya kaum pekerja masih lagi bertanya dan bertanya: Ke mana perginya wang RM 6 bilion yang dipinjam daripada KWSP itu?

Sekarang, mereka rakus mahu bermain saham dengan harta peneroka Felda? Apakah ini tidak luar biasa?

No comments: