Monday, May 7, 2012

Nota, nota untuk diri


Kereta api terakhir.

Mereka yang lahir dalam tahun 1950 dan sebelumnya sudahpun berusia lebih 60 tahun atau pun lebih.  Ya, benar jika kalian lahir dalam tahun 1952 dan sekiranya usia Nabi Muhammad S.A.W dijadikan patokan,  tempoh kalian berdiri di platform ini ialah kira-kira setahun lagi, sebelum kereta apinya tiba.   

Malam ini, aku sudahpun di platform,  menunggu.  Malamnya pekat legam.  Di luar pelantar,  hujan masih jua mencurah-curah, seluruh kolong langit sudah berkali-kali diamuk petir.  Guruh memekakkan gegendang telinga, kilat yang sabung menyabung membutakan mata buat beberapa ketika, setiap kali ia memanah.  Kata ibu, setan sedang dipanah malaikat.  Aku bimbang kalau-kalau akulah sasaran busur malaikat.  

Sebelum saki bakinya direntap keluar kerongkong, sempat juga kuimbas-kilas tampang segala macam Bangla, Indon, Tibetian, Myanmaran yang telah kusumbat ke dalam daftar pengundi.  Dalam amukan hiruk pikuk, jerit pekik, tangis, sedu sedan, sumpah dan seranah segala yang  dirompak haknya untuk mengundi, anak dan cucu tercinta tetap tekun tapi cemas membisikkan azimat, “Mengucap bah, abah mengucaplah...”

Kereta apiku telah tiba. “Selamat tinggal semua.  Sampai bersua dan dibicarakan semula di Padang Seksa, lagi Maha menyeksakan itu.”




No comments: