Dinsman (Artikel
328, 13/7)
Said Zahari Tokoh Penulis Selangor 2012
Sempena perasmian
Pesta Buku Selangor dan Hari Ilmu 2012 pada 30 Jun lalu, di Pusat Konvensyen
Shah Alam, Kerajaan Negeri Selangor telah memilih seorang wartawan veteran yang
pernah menjalani kehidupan dalam penjara di Singapura selama 17 tahun kerana
perjuangannya, untuk diberikan anugerah Tokoh Penulis Selangor 2012.
Wartawan berani
dan berprinsip itu ialah Said Zahari (lahir 1928), yang pernah menjadi Ketua
Pengarang Utusan Melayu, dan memimpin satu peristiwa penting dalam sejarah
persuratkhabaran kita, iaitu peristiwa yang dikenali sebagai Mogok Utusan.
Itulah perjuangannya bagi mempertahankan kebebasan akhbar di negara ini,
apabila kuasa politik Umno mulai hendak menguasai suratkhabar tersebut, pada
tahun 1961.
Said Zahari dipilih
sebagai Tokoh Penulis Selangor 2012 bukanlah kerana banyak menghasilkan buku/karya,
atau kerana banyak menyumbangkan hasil tulisannya kepada khazanah persuratan
tanahair, tetapi adalah juga kerana perwatakannya yang berprinsip dan berani
‘berkata benar’, atau berjuang untuk menegakkan kebenaran yang diyakininya.
Sewaktu di dalam
penjara dia telah menghasilkan sebuah buku kumpulan puisi – Sajak Dari Penjara – yang diusahakan
penerbitannya oleh Usman Awang.
Beliau ditangkap
pada 2 Februari 1963 sebagai tahanan ISA di Singapura, dan baru dibebaskan pada
22 Ogos 1979. Mulai 1989 dia menetap di Subang Jaya, dan pernah menjadi Penulis
Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1996-1999).
Meniti Lautan Gelora adalah memoir politiknya yang pertama. Buku
keduanya Dalam Ribuan Mimpi Gelisah
dipilih memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia bahagian biografi, 2006/2007.
Kini dia sedang menyiapkan jilid ketiga dari memoirnya.
Dr Halimah Ali,
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, selaku
Pengerusi Panel Penilai yang bertanggungjawab memilih Tokoh Penulis Selangor,
menyatakan seramai lima orang penulis yang bermastautin di negeri Selangor
telah diangkat untuk penilaian peringkat akhir.
“Walaupun penulis-penulis
lain menghasilkan lebih banyak karya,” katanya, “kita memilih Said Zahari kerana
kita juga mempunyai pertimbangan lain selain daripada sumbangan karya, iaitu
penglibatan penulis dengan persoalan masyarakat dan menunjukkan sikap yang
boleh diteladani oleh golongan muda.”
Dr Halimah telah
banyak bekerjasama dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menganjurkan pelbagai
aktiviti seni-budaya di Selangor, termasuk sesi Wacana Ilmu setiap bulan, siri
Bengkel Penulisan dan persembahan teater.
Seperti pemilihan
Tokoh Penulis Selangor yang pertama tahun lalu, iaitu Prof Dr Shaharir Mohd
Zain, ia tidaklah berakhir dengan pemberian hadiah wang tunai RM10 ribu dan
sebuah iPad sahaja. (iPad disumbangkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam
Selangor – PPAS). Pengiktirafan yang diberikan oleh pihak Exco PPTPMI itu akan
berkesinambungan dengan beberapa bentuk penghargaan lain, yang boleh memberi
manfaat kepada tokoh-tokoh berekenaan dan juga kepada masyarakat.
Antaranya Seniman
Paksi Rakyat (Paksi) akan menganjurkan Wacana Ilmu yang membicarakan buku-buku
tokoh tersebut. Buku Dr Shaharir yang telah diwacanakan misalnya ialah Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut
Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman, dan Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum.
Disamping itu
suatu seminar antarabangsa bagi membincangkan buku Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantaum di peringkat
antarabangsa, juga sedang dirancangkan. Ini akan dibuat dengan kerjasama
Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Dijangka pada akhir tahun ini.
Demikian jugalah
yang akan dilakukan dengan karya-karya Said Zahari, Tokoh Penulis Selangor yang
kedua ini.
Paksi sangat
bersetuju dengan pemilihan Said Zahari, dan berharap akan bekerjasama dengan
pihak Dr Halimah bagi mempromosi dan memperkenalkan tokoh ini bersama
karya-karyanya kepada khalayak umum, khasnya kepada masyarakat penulis.
Walaupun tidak
banyak buku yang telah diberikannya kepada masyarakat, tetapi dia telah
memberikan sesuatu yang lebih bernilai daripada kebanyakan buku yang banyak
dihasilkan oleh penulis-penulis lain. Dia adalah contoh penulis yang tidak
sekadar menulis tetapi juga bertindak seperti yang ditulisnya.
Tidak ramai lagi
di kalangan kita penulis yang seperti itu. Boleh dibilang dengan jari.
Kebanyakan penulis hari ini kalau kita membaca tulisannya – wah, dialah orang
yang mengerti kebenaran dan petah berwacana mengenai kebenaran, tetapi apabila
dilihat pada realiti diri dan kehidupannya – seolah-olah dua orang yang berbeza
sama sekali.
Maka kita dapati
tidak ramai di kalangan penulis hari ini yang menghargai apa yang dilakukan
oleh A Samad Said, misalnya, yang terjun ke tengah-tengah masyarakat dan
berjuang bersama-sama dengan rakyat yang menentang kezaliman dan memperjuangkan
kebenaran dan keadilan.
Hari ini kebanyakan
penulis kita adalah golongan manusia yang amat tidak sensitif (peka) dengan
persoalan di sekeliling mereka. Mereka tidak peduli lagi pada kemungkaran dan
kejahatan yang berlaku di sekeliling. Mereka hanya menulis, dan mengharapkan
pihak-pihak tertentu akan memilih mereka untuk dianugerahi dengan pelbagai
anugerah, khasnya anugerah “Sasterawan Negara”.
Semoga
penghargaan untuk Said Zahari ini akan merangsang sedikit pemikiran
penulis-penulis kita terhadap perwatakan tokoh ini.
No comments:
Post a Comment