Perang untuk
kuasai undi Melayu
Dalam
mana-mana sistem yang mengamalkan proses mengundi sebagai kaedah untuk membuat
keputusan, pemilihan atau pun lantikan, undi para pengundi sangatlah penting. Semua orang tahu hakikat itu dan ini tak perlu penjelasan lanjut. Oleh kerana itu jika sebuah parti politik misalnya
mahu mengadakan pemilihan barisan kepimpinannya, makanya undi para perwakilan amat
penting untuk diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh mereka yang bercita-cita
mahu dipilih.
Untuk mendapatkan
perhatian dan sokongan para perwakilan, calon-calon pemimpin mestilah kelihatan
gagah perkasa sebelum mereka memasuki gelanggang. Salah satu kaedah yang sering digunakan oleh
para pedamba@aspiran (the aspirants) ini ialah dengan mengangkat, membicarakan malah
lebih bagus jika jelas kelihatan menjaguhi isu-isu tersebut. Oleh itu sebelum tibanya musim pemilihan, isu-isu yang dilihat dekat dengan selera
pengundi akan dikumpul, disemak, disaring dan disusun-atur mengikut urutan
keutamaannya. Maka oleh kerana itu para
calon pemimpin, lebih-lebih para peyandangnya (the incumbent), ‘perjuangan’
mereka dalam menjuarai isu-isu utama itu tersangatlah penting dan mestilah dapat
dilihat dengan jelas oleh para perwakilan.
Nah, berdasarkan
premis di atas, mari kita baca isu-isu
atau pun ISU utama yang dilihat sangat genting bagi sesebuah parti politik
itu. Misalnya sebagai contoh kita baca
mesejnya Dewan Ulamak PAS yang sedang mengadakan Multaqa Ulama
Semalaysianya di Kota Sarang Semut, Alor Setar pada 14 September 2013. Jika kita gunakan sudut pandangan ketuanya ― isu
paling genting untuk dikaji oleh Multaqa Ulama Semalaysia ini ialah “Kaji semula
hubungan dengan PKR”. Bagi Dewan Ulamak,
isu ini genting oleh kerana itu "Amat
wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku
perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam
tahaluf siasi,". [Nota: Untuk
makluman ‘Multaqa’ itu ‘Perhimpunan’ dan ‘tahaluf siasi’ pula bermaksud ‘kerjasama
politik’].
Jika benarlah seruan Dewan Ulamak PAS via ketuanya ialah hasil
daripada kerja rumah@homework dan juga kerja keras yang telah dibuat oleh Dewan
itu selama ini, maka ini bermakna Dewan Ulamak PAS berpendapat bahawa kesepakatan
PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat sehingga mampu bertahaluf siasi, lalu bertembung
dengan UMNO dalam dua pertempuran iaitu PRU12 dan PRU13 sebenarnya ― hanyalah sekadar
“setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan
hubungan di dalam tahaluf siasi”. Di
akhir laporan the Malaysian Insider pada 14 September 2013 ini dinyatakan
bahawa “perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di
dalam tahaluf siasi” ialah:
i) “Kemerosotan
sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan PKR”.
ii) “Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi
PAS kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara
faktor utama yang perlu diberikan perhatian”.
Bolehkah mereka (para penyokong Pakatan Rakyat yang antara
lain terdiri daripada ahli-ahli PAS, ahli-ahli DAP, ahli-ahli PKR, orang-orang
Melayu, orang-orang bukan Melayu, orang-orang Sabah, orang-orang Sarawak, orang-orang
Marang, orang-orang Baling, orang-orang Hindu ― sekadar satu dua contoh ― yang TELAH mengundi calon-calon
PAS (baca: Pakatan Rakyat) dalam PRU 12 dan PRU 13 yang lalu telan kedua-dua sebab di atas itu?
Apakah mesejnya?
Jika ingin memerintah Malaysia, usahlah berfikir hanya
dalam kepompong Melayu atau pun Negeri. Belajarlah
berfikirlah di luar kepompong ― bukan hanya berfikir tentang undi-undi Melayu semata-mata. Berfikirlah bahawa rakyat Malaysialah yang sentiasa
dan selama-lamanya dekat di hati orang-orang politik. Bukankah itu juga yang diajar oleh Islam? Ertinya berfikirlah sebagai pemimpin yang besar
jiwanya demi masa depan Malaysia. Usahlah
ditiru caranya PM dan TPM dengan agenda Melayunya ― agenda ala BR1Mnya Melayu di
ambang musim-musim pemilihan.
No comments:
Post a Comment