Monday, May 18, 2009

Rosak bawang ditimpa jambak

Kamus Dewan, edisi keempat (DBP, 2005) menjelaskan bawang itu sejenis tumbuhan yang umbinya (bebawang) dimakan. Bahasa saintifiknya Allium (Allium cepa itu bawang merah dan allium sativum untuk bawang puith).

Dalam sejarah perfileman Melayu kita pernah dihidangkan "Bawang Putih Bawang Merah" yang menampilkan antara lain Latifah Omar, Umi Kalsom dan Mustapa Maarof. Di dalam BPBM kita temui tragedi ibuku si ikan kalui dan buai "ayun laju-laju" sakti serta kemerduan suara yang mampu memikat hati sang putera raja.

Mengikut Kamus Dewan lagi, "makan bawang" ialah kiasan "marah dalam hati." Sementara "rosak bawang ditimpa jambak" pula peribahasa yang berbawa makna " rosak kerana kesalahan kaum atau diri sendiri."

KJ John di dalam tulisannya di Malaysiakini pernah menulis perihal "bawang diri." Antara lain beliau perkatakan susun lapis bawang dirinya yang: Malaysian, Malailam, Kristian.

Sesungguhnya bawang bukan sekadar bahan makanan dan herba. Ia sumber ilham dan pemikiran. Kita temui perihal bawang di dalam tragedi Anthoni dan Cleopatra IV, William Shakespeare. Di dalam bahasa Perancis ada perbahasa yang terjemahan literalnya di dalam bahasa Inggeris berbunyi "It's not your onions." Kita juga mendengar tentang The Onion sebuah organisasi "berita palsu/fake news" yang pernah memenangi Award Peabody.

Pernahkah kita kupas intipati metafora bawang diri milik kita? Dan tatkala membelek-belek bawang diri ini, lapisan semacam apakah yang kita temui?

Di dalam konteks ini, ada yang menyatakan bahawa paling utama ialah inti/core bawang diri itu sendiri. Sesungguhnya itulah fokus metaforanya. Lapis-lapis luar sememangnya sekadar luaran.

Apa pun apakah inti diri kita: Sebagai individu, sebagai insan?

Apakah PPSMI itu bakal menjadi contoh tersohor "rosak bawang kerana jambak" ?

Apakah ini soalan baragajul? Soalan yang tidak membawa sebarang faedah?

Sebelum terlupa ibu saudara saya, Mak Teh pernah mengingatkan sesungguhnya lapis yang memisahkan di antara hidup dan mati seseorang insan itu amat tipis, ibarat kulit bawang.








3 comments:

Pyanhabib said...

kalau `jambak rosak ditimpa bawang' gamaknya bermakna `kaum itu sendiri merosakkan diri sendi', hah ha!

srikuala said...

cuba rujuk kisah bani Isroil dengan Nabi Musa A.S, dan barajiwa telah menjadikan bawang ni amat menarik untuk dijadikan bahan penulisan

Anonymous said...

Sdr. Srikuala,

Apakah kisah dolak dalik@soalan yang bukan-bukan jenis lembu yang perlu dipilih?

Terima kasih di atas maklumat ini.