Tuesday, May 19, 2009

Kritikan ikhlas: Meminjam nurani




"Saya Pun Melayu" oleh Zaid Ibrahim (ZI Publications Sdn Bhd, 2009) terasa begitu dekat latar, masalah dan persoalannya dengan orang-orang Melayu seperti saya yang satu ketika dulu begitu gencar diserang pop yeh yeh. Saya dapat merasakan degupannya.

SPM bukanlah sesuatu yang "terlalu akademik" misalnya, seperti "Orang Melayu Masalah dan Masa Depan" oleh Syed Husin Ali, (Harakah, 2008). Memang benar, bukan itu yang menjadi tujuan utama Zaid menulis buku tersebut. Namun ia tidak mengurangkan makna yang mahu dipaparkan oleh penulisnya..


Sebagai permulaan, mari kita teliti salah satu sisi degupannya:


"UMNO yang ada hari ini juga harus mengiktiraf orang Melayu yang berusaha dan berjaya atas usaha sendiri dan jangan diperkecilkan kecemerlangan mereka. Berilah sedikit penghormatan demi kebaikan orang Melayu apabila mereka berjaya. Janganlah, semata-mata kerana ada Melayu ini mengkritik dasar kerajaan, Melayu ini dituduh dan dihina sebagai tidak berguna. "

(Saya Pun Melayu, hal. 158)


Malangnya tidak ramai yang memiliki pandangan seperti Zaid Ibrahim. Tak percaya? Bayangkan sehingga ke saat ini masih ada profesor Melayu yang seolah-olah mahu berperang kerana mempertahankan "kesucian Melayunya" UMNO. Beginilah keadaannya walaupun PRU 12 telah menghantarkan mesej yang amat jelas. Dan institusi akar umbi seperti JKKK masih dan hanya bercita-cita untuk menjadi pemimpin kelompoknya: Bukan pemimpin rakyat jelata! Mungkin alasan yang paling munasabah untuk berpegang teguh dengan pendirian seperti ini ialah pembangkang itu adalah musuh bebuyut datuk nenek parti.


Lalu, apa yang mahu dicadangkan? Besarkanlah jiwa dengan mendengar segala kritikan dan teguran. Usahlah ditapis sebarang maklumat dari akar umbi. Yakinlah bahawa sesungguhnya teguran bukanlah bunyi bising/kebisingan, noise yang mesti dihadang dari memasuki sanubari.


Wallahuaklam.

2 comments:

srikuala said...

sebelum kita rujuk penulisan seseorang ,rujuk dahulu aqidahnya, kerana itu Zaid tak dapat apa yang dia nak, cuba dia dapat apa yang nak , mungkin lain pula penulisannya.

p/s: Allahu Akbar

dilaga said...

Salam,

Terima kasih kerana memberi tanggapan yang sudah saya duga. Tindakan masa lalu berhubung isu-isu agama yang sangat menyayat hati sesetengah orang menjadi ingatan ramai pihak, mungkin termasuk saudara. Apakah kita berlaku adil tatkala mengambil posisi menghukum? Saya rasa Tok Guru tersohor pun tidak berbuat demikian. Bacalah SPM Zaid, ada banyak hal yang sangat positif. Kita doakan semoga dosa-dosa ketelanjuran kita diampunkanNya.

Wallahuaklam.