Friday, August 28, 2015

DI AMBANG TUNJUK PERASAAN BERSIH 4 - Kenyataan GATERA





Assalamu 'alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh,

Sila sebarkan perutusan Ketua GATERA sempena Perhimpunan BERSIH 4, melalui laman web http://gatera.my ( http://gatera.my/bersih4/ ) atau Facebook http://fb.com/gatera.my ( https://www.facebook.com/notes/1043589702331682/ ). 

Pernyataan penuh turut disertakan di bawah.

DI AMBANG TUNJUK PERASAAN BERSIH 4


Pada 29 hb Ogos ini, setiap orang Malaysia yang berperhatinan yang mendalam kepada “kebersihan” kepemerintahan negara ini akan melawan nafsu tidak apanya untuk turun bersama ke jalanan dan berhimpun bagi menunjuk perasaan amarah dan kekecewaan kepada pemerintah sekarang. Setiap orang Islam digesa supaya membenci kemungkaran dan sesungguhnya keadaan kepemimpinan kita sejak kebelakangan ini terutamanya amatlah banyak dan tinggi tahap kemungkaran itu. Penipuan dan kezaliman adalah sejenis kemungkaran. Sesiapa yang memfatwakan kezaliman berada pada kategori dosa kecil juga adalah satu kezaliman.

Kebencian seseorang terhadap kemungkaran itu digesa (diwajibkan) oleh ajaran Islam supaya sekurang-kurangnya, bagi orang yang paling lemah, merasa tidak tenteram dalam hatinya; atau yang lebih baik ialah menggunakan “lidahnya” dan yang paling tingginya menggunakan “tangannya”.(Maksud Hadis riwayat Muslim). Sesungguhnya rakyat yang benci dalam hatinya terhadap keadaan kepemimpinan sekarang memanglah jutaan (melebihi kononnya “3 juta” di belakang pemimpin sekarang) dan ini diharapkan akan dapat menzahirkan perasaannya pada peti undi nanti. Bagi kebencian tahap kedua, iaitu “menggunakan lidah” itu tentunya yang paling rendah tahapnya ialah berbisik-bisik kepada pemimpin itu dan berhenti di situ sekadar melepaskan dosanya sahaja; dan yang tidak individualis tentunya akan sampai pada tahap bersuara (menerusi ceramah dsbnya) bagi menjelaskan keadaan kepada umat seluruhnya. Tahap bersuara ini sudah sekian lama dilakukan sehingga sudahlah sampainya pada tahap ketiga itu yang “menggunakan tangan” yang sewajarnyalah ditafsirkan sebagai peringkat menggunakan karya-karya tulisan puisi atau prosa dan secara “tunjuk perasaan” dengan aman seperti yang akan dilakukan pada 29 hb. Ogos ini untuk kali keempatnya; atau menggunakan “tangan” sebagai simbol persetujuan atau bangkangan dalam institusi kekuasaan seperti parlimen. Dalam zaman moden ini tafsiran “tangan” sebagai simbol kekerasan memanglah tidak sesuai walaupun inilah yang sering digunakan dalam penghapusan kemungkaran politik antara satu pihak dengan pihak yang lain pada zaman Tamadun Islam dahulu pun. 

Saya tidaklah berhasrat hendak mengupas tujuan BERSIH mengadakan tunjuk perasaan kali keempat ini kerana itu sudah sepatutnya diketahui umum menerusi laman-laman media sosial. Di sini saya ingin menyentuh satu daripada perkara yang saya anggap menjadi satu daripada juzuk tersirat dalam tujuan BERSIH 4 itu, iaitu perkara yang diretorikkan sepanjang masa oleh kepemimpinan negara kini yang serentak melakukan banyak kemungkaran itu. Perkara itu diistilahkannya sebagai wasatdiyyaht (ejaan mudahnya wasatiyah) yang seminggu yang lepas dinyatakan oleh pihak kuasawan itu akan dijadikan tonggak dasar negara, sedangkan apa yang berlaku selama ini hanya bertentangan dengan kononnya tonggak itu. Langkah sebegini nampaknya menjadi kegemaran kepemimpinan negara kini, iaitu buat dahulu perkara yang tak sepatutnya dibuat kemudian apabila diketahui umum hal yang tidak sepatutnya itu maka beretoriklah mereka untuk (orang lain) tidak melakukannya sehingga ingin mewujudkan undang-undang berkenaannya. 

Istilah wasatiyah atau pendeknya wusta (istilah matematik saya bagi menggantikan konsep optimum) yang biasa pula diterjemahkan hanya sebagai “sederhana” atau “pertengahan” itu ternyata bertujuan melelapkan rakyat sahaja kerana kepemimpinan yang ada sekarang ini sedikit pun tidak mengendahkan makna sebenar istilah itu, iaitu keadilan dan kesaksamaan. Amalan “sederhana” atau “pertengahan” amatlah nisbi, bergantung kepada individu dan suku-sakat sahaja. Sederhana atau pertengahan bagi golongan atasan berbeza daripada golongan bawahan tetapi konsep keadilan adalah semesta sifatnya (walaupun tertakluk juga kepada agama dan ideologi seseorang). Menggunakan konsep “sederhana” atau “pertengahan” seperti yang difahami dalam sesuatu perancangan ekonomi atau amnya pembangunan bagi sesebuah negara yang taburan pendapatan rakyatnya ketiadaan kesaksamaan atau ekuiti seperti Malaysia ini amatlah tidak adil. Malangnya, itulah yang diamalkan oleh kepemimpinan sekarang. Penerusan projek mega-mega dan rancangan pembelian ketenteraan yang beratusan juta (kalau pun tidak berbilion) dalam keadaan ekonomi negara yang tenat dan sekurang-kurangnya 40% rakyat yang sengsara adalah jauh daripada maksud wusta atau wasatiyah yang sebenarnya itu. 

Dalam sejarah kepemerintahan Malayonesia (rantau Asia Tenggara ini) konsep wusta memang cuba diamalkan oleh pemimpin besarnya seperti raja Sriwijaya bernama Sri Jayanasa dalam abad ke-7 M (terpahat di batu bersurat Talang Tuwo bertarikh 684 M) mengistilahkanya sebagai waropaya yang antara lainnya mengadakan kepemerintahannya dengan tujuan mewujudkan kebahagiaan rakyatnya yang distilahkannya sebagai subhagia (bahagia yang indah) yang antara lainnya (selain yang biasa sekarang pun seperti keselamatan amnya) termasuklah usaha membina beberapa parlak (taman botani yang dipenuhi oleh buah-buahan yang boleh dimakan oleh sesiapa pun terutamanya para musafir, agar rakyatnya tidak berpenyakit insomnia (istilahnya swapnawighna), tiada perzinaan (istialah asalnya paradara) dan awet muda (istilah asalnya ajara). Ini berbeza sekali dengan tujuan kepemerintahan kita sekarang yang kononnya bertonggakkan wasatiyah itu yang sentiasa menonjolkan tujuan dasar ekonomi negara ialah untuk melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi sahaja tanpa matalamat lain yang jauh lebih penting misalnya unsur-unsur kebahagiaan rakyat (seperti dalam bahasa yang mudahnya ialah supaya taraf hidup rakyat yang setimpal dengan pendapatannya). 

Raja hebat-hebat kerajaan Campa dahulu (abad ke-5 hingga ke-15 M) yang bergelar cakravantin smile emoticon tok batin dunia) juga mengamalkan kewustaannya tersendiri yang distilahkannya sanamu (=saksama) dan apaksapata (tidak berat sebelah, iaitu adil) seperti rajanya yang bernama Yan Po Ku Sri Jaya Indrawarmadewa yang dicatatkan pada batu bersurat di Vietnam bertarikh 1088 M. Raja ini amatlah benci pada haloba (istilah asalnya lobha), gila-asyik (moha), kebanggaan (mada), keseronokan (kama), dan kekayaan (artha), yang dianggapnya sebagai musuh seseorang dan negara. Perhatikan hampir setiap satunya bertentangan dengan apa yang sedang berlaku dalam kepemerintahan kita kini. 

Akhirnya, Dalam zaman keIslaman Malayonesia, Bukhary al-Jawhary dalam karya agungnya Taj al-Salatdin (Tajus Salatin) bertarikh 1603 menjelaskan kepemerintahan yang baik ialah, antara lainnya, seorang yang diistilahkannya sebagai “berhemat” dengan maksudnya selain daripada yang kita fahami sekarang (iaitu jimat cermat) benci penganinyayaan, tidak membesar diri dan tidak suka kemewahan. Lagi sekali keadaan kepemerintahan kita sekarang tidaklah menghampiri sifat-sifat kewustaan ini.

Sejarah tamadun Malayonesia (dengan contoh Sriwijaya, Campa dan Aceh di atas) begitu jelas menuntut kita supaya menzahirkan keinginan kita untuk berpemerintahan yang adil dan saksama mengikut konsep semasa keadilan itu, dan konsep semasa keadilan ialah yang dikongsi bersama dalam konsep waropaya, sanama, apaksapata, berhemat dan wusta yang ternyata kini wasatiyah hanya menjadi bahan retorik semata-mata. Itulah sebahagian perkara yang perlu kita zahirkan menerusi tunjuk perasaan pada 29 hb Ogos ini dan di hari muka selagi hal ini masih diselewengi atau diabaikan. 

Prof. Emer. Shaharir b.M.Z.
Ketua GATERA
Pagi 28 Ogos 2015

3 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by a blog administrator.
PAK JUNAIDI said...
This comment has been removed by a blog administrator.
77777 said...
This comment has been removed by a blog administrator.