Assalamu 'alaikum warahmatuLlahi
wabarakatuh,
Sila sebarkan perutusan Ketua GATERA
sempena Perhimpunan BERSIH 4, melalui laman web http://gatera.my ( http://gatera.my/bersih4/ )
atau Facebook http://fb.com/gatera.my ( https://www.facebook.com/notes/1043589702331682/
).
Pernyataan penuh turut disertakan di
bawah.
DI AMBANG TUNJUK PERASAAN BERSIH 4
Pada 29 hb Ogos ini, setiap orang Malaysia
yang berperhatinan yang mendalam kepada “kebersihan” kepemerintahan negara ini
akan melawan nafsu tidak apanya untuk turun bersama ke jalanan dan berhimpun
bagi menunjuk perasaan amarah dan kekecewaan kepada pemerintah sekarang. Setiap
orang Islam digesa supaya membenci kemungkaran dan sesungguhnya keadaan
kepemimpinan kita sejak kebelakangan ini terutamanya amatlah banyak dan tinggi
tahap kemungkaran itu. Penipuan dan kezaliman adalah sejenis kemungkaran.
Sesiapa yang memfatwakan kezaliman berada pada kategori dosa kecil juga adalah
satu kezaliman.
Kebencian seseorang terhadap
kemungkaran itu digesa (diwajibkan) oleh ajaran Islam supaya
sekurang-kurangnya, bagi orang yang paling lemah, merasa tidak tenteram dalam
hatinya; atau yang lebih baik ialah menggunakan “lidahnya” dan yang paling
tingginya menggunakan “tangannya”.(Maksud Hadis riwayat Muslim). Sesungguhnya
rakyat yang benci dalam hatinya terhadap keadaan kepemimpinan sekarang
memanglah jutaan (melebihi kononnya “3 juta” di belakang pemimpin sekarang) dan
ini diharapkan akan dapat menzahirkan perasaannya pada peti undi nanti. Bagi
kebencian tahap kedua, iaitu “menggunakan lidah” itu tentunya yang paling
rendah tahapnya ialah berbisik-bisik kepada pemimpin itu dan berhenti di situ
sekadar melepaskan dosanya sahaja; dan yang tidak individualis tentunya akan
sampai pada tahap bersuara (menerusi ceramah dsbnya) bagi menjelaskan keadaan
kepada umat seluruhnya. Tahap bersuara ini sudah sekian lama dilakukan sehingga
sudahlah sampainya pada tahap ketiga itu yang “menggunakan tangan” yang
sewajarnyalah ditafsirkan sebagai peringkat menggunakan karya-karya tulisan
puisi atau prosa dan secara “tunjuk perasaan” dengan aman seperti yang akan
dilakukan pada 29 hb. Ogos ini untuk kali keempatnya; atau menggunakan “tangan”
sebagai simbol persetujuan atau bangkangan dalam institusi kekuasaan seperti
parlimen. Dalam zaman moden ini tafsiran “tangan” sebagai simbol kekerasan
memanglah tidak sesuai walaupun inilah yang sering digunakan dalam penghapusan
kemungkaran politik antara satu pihak dengan pihak yang lain pada zaman Tamadun
Islam dahulu pun.
Saya tidaklah berhasrat hendak mengupas
tujuan BERSIH mengadakan tunjuk perasaan kali keempat ini kerana itu sudah
sepatutnya diketahui umum menerusi laman-laman media sosial. Di sini saya ingin
menyentuh satu daripada perkara yang saya anggap menjadi satu daripada juzuk
tersirat dalam tujuan BERSIH 4 itu, iaitu perkara yang diretorikkan sepanjang
masa oleh kepemimpinan negara kini yang serentak melakukan banyak kemungkaran
itu. Perkara itu diistilahkannya sebagai wasatdiyyaht (ejaan mudahnya
wasatiyah) yang seminggu yang lepas dinyatakan oleh pihak kuasawan itu akan
dijadikan tonggak dasar negara, sedangkan apa yang berlaku selama ini hanya
bertentangan dengan kononnya tonggak itu. Langkah sebegini nampaknya menjadi
kegemaran kepemimpinan negara kini, iaitu buat dahulu perkara yang tak
sepatutnya dibuat kemudian apabila diketahui umum hal yang tidak sepatutnya itu
maka beretoriklah mereka untuk (orang lain) tidak melakukannya sehingga ingin
mewujudkan undang-undang berkenaannya.
Istilah wasatiyah atau pendeknya wusta
(istilah matematik saya bagi menggantikan konsep optimum) yang biasa pula
diterjemahkan hanya sebagai “sederhana” atau “pertengahan” itu ternyata
bertujuan melelapkan rakyat sahaja kerana kepemimpinan yang ada sekarang ini
sedikit pun tidak mengendahkan makna sebenar istilah itu, iaitu keadilan dan
kesaksamaan. Amalan “sederhana” atau “pertengahan” amatlah nisbi, bergantung
kepada individu dan suku-sakat sahaja. Sederhana atau pertengahan bagi golongan
atasan berbeza daripada golongan bawahan tetapi konsep keadilan adalah semesta
sifatnya (walaupun tertakluk juga kepada agama dan ideologi seseorang).
Menggunakan konsep “sederhana” atau “pertengahan” seperti yang difahami dalam
sesuatu perancangan ekonomi atau amnya pembangunan bagi sesebuah negara yang
taburan pendapatan rakyatnya ketiadaan kesaksamaan atau ekuiti seperti Malaysia
ini amatlah tidak adil. Malangnya, itulah yang diamalkan oleh kepemimpinan
sekarang. Penerusan projek mega-mega dan rancangan pembelian ketenteraan yang
beratusan juta (kalau pun tidak berbilion) dalam keadaan ekonomi negara yang
tenat dan sekurang-kurangnya 40% rakyat yang sengsara adalah jauh daripada
maksud wusta atau wasatiyah yang sebenarnya itu.
Dalam sejarah kepemerintahan
Malayonesia (rantau Asia Tenggara ini) konsep wusta memang cuba diamalkan oleh
pemimpin besarnya seperti raja Sriwijaya bernama Sri Jayanasa dalam abad ke-7 M
(terpahat di batu bersurat Talang Tuwo bertarikh 684 M) mengistilahkanya
sebagai waropaya yang antara lainnya mengadakan kepemerintahannya dengan tujuan
mewujudkan kebahagiaan rakyatnya yang distilahkannya sebagai subhagia (bahagia
yang indah) yang antara lainnya (selain yang biasa sekarang pun seperti keselamatan
amnya) termasuklah usaha membina beberapa parlak (taman botani yang dipenuhi
oleh buah-buahan yang boleh dimakan oleh sesiapa pun terutamanya para musafir,
agar rakyatnya tidak berpenyakit insomnia (istilahnya swapnawighna), tiada
perzinaan (istialah asalnya paradara) dan awet muda (istilah asalnya ajara).
Ini berbeza sekali dengan tujuan kepemerintahan kita sekarang yang kononnya
bertonggakkan wasatiyah itu yang sentiasa menonjolkan tujuan dasar ekonomi
negara ialah untuk melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi sahaja tanpa
matalamat lain yang jauh lebih penting misalnya unsur-unsur kebahagiaan rakyat
(seperti dalam bahasa yang mudahnya ialah supaya taraf hidup rakyat yang
setimpal dengan pendapatannya).
Raja hebat-hebat kerajaan Campa dahulu
(abad ke-5 hingga ke-15 M) yang bergelar cakravantin smile emoticon
tok batin dunia) juga mengamalkan kewustaannya tersendiri yang distilahkannya
sanamu (=saksama) dan apaksapata (tidak berat sebelah, iaitu adil) seperti
rajanya yang bernama Yan Po Ku Sri Jaya Indrawarmadewa yang dicatatkan pada
batu bersurat di Vietnam bertarikh 1088 M. Raja ini amatlah benci pada haloba
(istilah asalnya lobha), gila-asyik (moha), kebanggaan (mada), keseronokan
(kama), dan kekayaan (artha), yang dianggapnya sebagai musuh seseorang dan
negara. Perhatikan hampir setiap satunya bertentangan dengan apa yang sedang
berlaku dalam kepemerintahan kita kini.
Akhirnya, Dalam zaman keIslaman
Malayonesia, Bukhary al-Jawhary dalam karya agungnya Taj al-Salatdin (Tajus
Salatin) bertarikh 1603 menjelaskan kepemerintahan yang baik ialah, antara
lainnya, seorang yang diistilahkannya sebagai “berhemat” dengan maksudnya
selain daripada yang kita fahami sekarang (iaitu jimat cermat) benci
penganinyayaan, tidak membesar diri dan tidak suka kemewahan. Lagi sekali
keadaan kepemerintahan kita sekarang tidaklah menghampiri sifat-sifat kewustaan
ini.
Sejarah tamadun Malayonesia (dengan
contoh Sriwijaya, Campa dan Aceh di atas) begitu jelas menuntut kita supaya
menzahirkan keinginan kita untuk berpemerintahan yang adil dan saksama mengikut
konsep semasa keadilan itu, dan konsep semasa keadilan ialah yang dikongsi
bersama dalam konsep waropaya, sanama, apaksapata, berhemat dan wusta yang
ternyata kini wasatiyah hanya menjadi bahan retorik semata-mata. Itulah
sebahagian perkara yang perlu kita zahirkan menerusi tunjuk perasaan pada 29 hb
Ogos ini dan di hari muka selagi hal ini masih diselewengi atau diabaikan.
Prof. Emer. Shaharir b.M.Z.
Ketua GATERA
Pagi 28 Ogos 2015
Ketua GATERA
Pagi 28 Ogos 2015
3 comments:
Post a Comment