Sunday, June 7, 2009

Penyambung kuda-kuda

Sel ialah unit terkecil hidupan. Tatkala di sekolah menengah dulu kita diceritakan tentang amoeba. Untuk sel tumbuhan kita diceritakan tentang spirogyra. Kata cikgu lagi, hidupan dibangunkan oleh sel yang amat banyak. Kanser amat digeruni kerana ia meruntuhkan sel-sel yang sihat, sehinggakan seorang manusia sihat menjadi manusia yang sakit. Untuk sebuah ummah, kita adalah sel-selnya.

Tatkala belajar ilmu analisa struktur, cikgu menceritakan tentang betapa pentingnya memastikan SEMUA penyambung yang terdapat pada sesebuah kuda-kuda keluli atau kayu itu utuh-sempurna supaya kuda-kudanya mampu menjadi struktur yang stabil lagi kukuh. Datanglah beban apa sekalipun, tambah cikgu lagi, insyallah kuda-kuda kita tetap berdiri tegap.

Seorang guru yang bercerita tentang kestabilan cerun tanah, pernah berpesan supaya berhati-hati tatkala berdepan dengan alam. Manusia, pesan cikgu mungkin boleh kita tipu dan perdaya. Apakah mungkin, kita menipu alam?

Dan tatkala bumbung itu runtuh, siapakah yang memperdayakan siapa?

Apakah kita masih ogah menghormati hukum alam semesta ini?

Apakah itu kpi, key performance indicators yang telah kita gunakan untuk mengukur kesihatan masyarakat, keteguhan kuda-kuda bumbung stadium, kegagahan cerun curam di lereng rumah pangsa?

Bila kufikir-fikir...

Aku ingin sekali supaya lekas-lekas pandai: Biar kutipu seluruh alam ini. Apakah keterlaluan cita-citaku ini?