Ros, mereka mahu rampas hakku yang ekslusif
Temanku, Eli seorang ahli botani bercakap panjang lebar tentang ros. Ya, bunga ros. Ceritanya tentang bunga ros juga berjela-jela. Nama, istilah, kegunaan, keunikan, kelebihan, keharuman dan entah apa lagi timbunan ‘kenapa’ yang dilemparkannya kepadaku. Semuanya mahu dijelasnya, khasiatnya, kelebihannya dan keunggulan ros. Ya, ros bunga kegemaranku.
Tak cukup dengan itu, Eli terus bercerita segala-galanya tentang ros:
Ros begitu, ros begini, Ros itu dan ros ini. Mungkin Eli sengaja berbuat demikian kerana dia tahu bahawa seluruh hidupku, aku hanya gilakan Ros. Ya, Ros milikku.
“Bagaimana jika kita tukar saja ros itu kepada nama lain?” tiba-tiba saja Eli mencadangkan.
Wah, ini mencari nahas namanya. Aku mulai rimas.
“Bukankah benar? ‘Panggillah ros dengan apa saja nama sekali pun, ia tetap harum semerbak?” Eli memetik entah kata-kata siapa.
Namun aku masih tertanya-tanya: Apakah muslihat Eli? Muslihat apa yang tertanam dalam kepalanya?
“Kau jangan mencari nahas! Ros adalah ros dan dia milikku. Tak ada sesiapa yang berhak merampasnya dariku!!”
“Imran, aku bercakap tentang ros dengan ‘r’ berhuruf kecil, bukan Rosmu!!”
Aku terdiam tapi masih tertanya-tanya: Apakah muslihat Eli sebenarnya?
Nah, inilah yang sangat berkemungkinan.
“Apakah yang membuat Ros itu seperti ros?” Eli menyoal sambil meninggalkan aku sendirian.
Rosku tidak ada duanya. Hanya Roslah milikku.
Aku perlu beritahu, emak dan ayahku yang Eli mahu menukarkan nama Ros, rosku ke nama yang lain.
Eli ada muslihat yang lain. Dia ada agenda. Agenda lain. Dia bukan lagi seorang botanist tulen. Dia bukan lagi ilmuan. Aku mesti ceritakan motif sebenar, kenapa Eli begitu beria-ia sekali mahu menukarkan nama ros. Aku mesti beritahu seluruh penduduk kampung. Biar semua orang kampung yang kenal Ros, tahu telatah Eli. Aku mesti ceritakan kepada seluruh kampung bahawa Eli kian berani: Mahu mengubah itu dan ini; hatta nama kekasih orang sekalipun.
Apakah penduduk kampungku bakal percaya? Apakah benar Eli sememangnnya ada agenda tersembunyi?
Semua orang kampungku, kampung jiran-jiranku perlu...perlu tahu. Dan akulah yang perlu memberitahu mereka tentang niat Eli yang tidak benar. Ros adalah modal hidup dan matiku.
Bagaimana kalau aku tanyakan Eli sendiri: Apakah dan berapakah yang Eli mahu? Atau aku biarkan saja, Eli terus mencanang? Ya manakah, yang lebih baik?
Kalau Eli mahu, aku boleh usahakan semuanya. Orang sekampungku perlulah tahu semuanya: Bahawa akulah pemilik ros.
2 comments:
kalau Rosmama mcm mana?
Ha..haa..
Ke situ pula Rahmat.
Kata Hisham, Ros Chan.
Tk.
Post a Comment