Thursday, January 14, 2010

Antara 'kesucian Allah' dengan 'kesucian kalimah Allah '

Dinsman (Artikel 132, 15/1)
Antara ‘kesucian Allah’ dengan ‘kesucian kalimah Allah’

Ada kawan sesama Budayawan Bertindak bertanya saya – apa sikap Budayawan Bertindak terhadap peristiwa pembakaran gereja? Saya kata, pembakaran gereja atau pembakaran apa pun bangunan atau harta orang atau harta awam, memang satu perbuatan jahat yang tak sepatutnya dipersetujui.

Budayawan Bertindak patut buat kenyataan akhbar – kata dia. Atau kita perlu panggil mesyuarat terlebih dahulu untuk dapat persetujuan ramai? Tanya dia pula.

Kenyataan akhbar untuk apa? Tanya saya.

Menyatakan pendirian kita – jawab dia. Orang lain semua mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan itu, takkan kita nak diam saja?

Keluarkan kenyataan mengutuk perbuatan itu? Itu saja? Tanya saya.

Iyalah, sekurang-kurangnya kita mengutuk perbuatan jahat itu. Kita tak boleh diam saja, seolah-olah kita bersetuju. Jawab dia.

Tak ada bezanya kita mengeluarkan kenyataan ataupun kita diam tak mengeluarkan kenyataan – kata saya. Yang berlaku itu sudahpun berlaku. Dan kau pun tahu, ada bermacam teori atau kemungkinan bagaimana dan kenapa perkara itu berlaku. Kalau kita sekadar mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan itu, aku tak fikir ia memberi makna apa-apa pun.

Kemungkinan perkara itu berlaku dirancang oleh pihak tertentu. Pihak yang merancang itu tidak hanya merancang sampai ke takat itu sahaja. Mereka tentu sudah merancang selepas ini apa, dan selepas itu apa. Dan mereka juga sudah menjangka akan banyak kenyataan mengu-tuk yang akan dikeluarkan. Jadi kalau kita pun turut mengeluarkan kenyataan mengutuk perbuatan itu, kita pun ikut sama masuk dalam perangkap yang telah dirancang itu.

Kawan saya itu diam seketika mendengar hujah saya. Kemudian dia bertanya: Jadi, apa sikap Budaywan Bertindak?

Aku tak tahu orang lain, kata saya. Tapi bagi aku, seperti aku kata tadi, kalau kita keluar kenyataankah, tak keluar kenyataankah, sama saja. Tak ada beza. Kecuali kenyataan kita itu berbeza daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak lain.

Okey, kita keluarkan kenyataan yang berbeza. Dia menyambut pandangan saya.

Okey, apa kenyataan yang berbeza? Saya pula bertanya.

Eh, aku cadang Budayawan Bertindak keluar kenyataan mengutuk perbuatan itu, kau tak setuju. Kau nak keluarkan kenyataan yang berbeza. Sekarang kau tanya aku pula apa kenyataan yang berbeza. Dia seperti nak menempelak saya.

Bukankah kau yang nak ajak Budayawan Bertindak keluarkan kenyataan? Itu kau punya idea. Bukannya aku yang nak keluarkan kenyataan. Saya membalas. Aku daripada awal lagi memang tak suka nak campur dalam perkara ini…

Begitulah dialog kami itu akhirnya berakhir begitulah saja. Budayawan Bertindak (BB) pun, setakat ini, belum berbincang ramai-ramai untuk membuat keputusan mengenai perkara yang difikirkan sengaja dirancang untuk kepentingan politik tertentu itu. (Bukannya kepentingan budaya, atau kepentingan agama. Jauh sekali kepentingan Islam). Seniman Paksi Rakyat pun demikianlah juga – belum berbincang.

Para budayawan, cendekiawan, seniman, saya fikir tak perlulah nak turut menyibuk dalam hal-hal politik yang melampau-lampau seperti itu. Eloklah kita menyibuk atau berfikir untuk menyibuk dalam hal-hal yang berfaedah untuk kesenian dan kebudayaan, agar dapat kita memberi keseimbangan kepada politik yang melampau-lampau itu.

Saya masih tetap dengan pandangan dan pendirian seperti yang pernah saya kemukakan dalam kolum ini sebelum ini, bahawa golongan budayawan (termasuk seniman dan cendekiawan) mempunyai peranannya sendiri dalam masyarakat, dan dalam pembentukan sesuatau tamadun. Golongan budayawan mempunyai tanggungjawab sendiri terhadap masyarakatnya. Kita tidak sepatutnya terikut-ikut menyibuk dalam agenda politik pihak-pihak tertentu yang lebih mementingkan kuasa dan kepentingan politik mereka daripada kepentingan budaya, agama dan tamadun bersama.

Seorang pemimpin pelajar yang berminat dengan gerakan budaya BB agak terpengaruh dengan suasana yang mengajak orang ramai berkumpul untuk demonstrasi di Masjid Negara dan Masjid Kampung Baru itu. Kami menasihati dia agar berhati-hati supaya tidak terperangkap.

Maka apabila peristiwa itu berlangsung, walaupun kurang sambutan, dan diikuti dengan aksi pembakaran beberapa gereja, kami bertanya apakah itu yang dia dan rakan segenerasinya mahu? Dia menjawab mengatakan pihak mereka bersama dengan lebih 100 NGO lain akan bertanggungjawab menjaga keselamatan gereja-gereja di seluruh negara.

Nah, lain sudahlah jadinya. Daripada isu yang didakwa sebagai mempertahankan kesucian kalimah Allah, kini sudah bertukar kepada tanggungjawab mempertahankan keselamatan bangunan-bangunan gereja. Lihatlah, apa yang sebenarnya sedang berlaku! Apakah isu yang sebenarnya diperjuangkan? Bagaimana boleh terjadi peralihan fokus dan sasaran begitu?

Betul, cuba fikirkan semula – apakah isu kita (atau mereka) yang sebenarnya? Betulkah isunya hendak mempertahankan kesucian Allah? Dan anatara “kesucian Allah” dengan “kesucian kalimah Allah” – apakah ada perbezaan ataupun tak ada perbezaan?

Kalau diperhatikan betul-betul, nampaknya yang diperjuangkan itu bukannya hendak mempertahankan ‘kesucian Allah’, tetapi sekadar ‘kesucian kalimah Allah’ sahaja. Dan ini nampaknya semacam menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat awam. Sebab itulah sejak awal lagi saya agak kurang suka nak masuk campur dalam perkara ini. ‘Kan?

‘Kesucian Allah’ kita tak sibuk nak pertahankan, sebaliknya kita jadi melampau-lampau sibuk pula nak pertahankan ‘kesucian kalimah Allah’. Mana lebih penting sebenarnya – ‘kesucian Allah’ atau ‘kesucian kalimah Allah’? Kenapa kita mementingkan yang tak penting, dan tak mementingkan yang penting? Ah, janganlah sengaja nak mengelirukan!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel
dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)



No comments: