Friday, January 8, 2010

Kita telah merdeka


Mamatlah yang paling suka apabila Tok Penghulu mengeluarkan arahan bahawa unjuk rasa, demonstrasi itu sudah pun dihalalkan di seluruh Mukim. Bagus fikir Mamat. Ini semua gara-gara agenda tersirat Penghulu Jib mahu berebut-rebut perhatian siapakah yang paling sayangkan satu nama yang mulia itu.

Maka semalaman Mamat dan geng-gengnya bersengkang mata, membuat persediaan.

“Siapa yang beli cat?” Mamat mahu pastikan bahan-bahan untuk poster dan kain rentang sudah siap dibeli semuanya.

“Kau Udin, buat senarai semakan.” Mamat dah tak sabar mahu memulakan kerja.

“Minah, tulisanmulah yang paling cun, macam kamu juga. Boleh tulis sepanduk.”

“Beres bos...” bukan main gembira Minah. Hidungnya kembang kempis.

“Leman kau tukang bekal makan minum malam ini”

Selesai sembahyang Jumaat, Masjid Jamek Kampung Beringin Rendang riuh rendah dengan para jemaah yang tak mahu pulang. Mereka bersiap sedia untuk memerdekakan nama yang suci.

Hadirin masih berebut-rebut untuk muncul di depan barisan. Biar muka masuk TV dan berita perdana.

Tatkala para jemaah-yang-belum-mahu-pulang yang kira-kira 50 jumlahnya itu, berpusu-pusu dan menjerit-jerit untuk dirakam kamera tv, Mamat dan teman-teman pula menjerit-jerit:

“Hidup Hantu Ya!!!”

“Hapuskan ISA!!”

“ISA zalim!!!”

“Mana enjin jet kami???”

“Keadilan buat Beng Hock!!!”

“Nanti....nanti ....nanti” suara korporal Seman lantang kedengaran dari luar pagar masjid.

“Mamat...Mamat siapa yang suruh buat semua ini??”

“Kenapa Tok, Tok bolehkah?”

“Boleh!! Tapi bukan yang ini. Yang lain. Pasai nama!!!”

“Okey Tok, Okey. Setuju Tok. Setuju!! ..Hidup Hantu Ya... Hapuskan ISA!!!”

“ Mamat!!!Mamamat!!! Jangan jadi celaru!!! Mamaaaaat!!”

“Hidup Hantu Ya...Hidup Hantu...” jerit Mamat dan geng kumpulan bersepanduk sambil menuju ke jalan utama kampung.

Hari itu Mamat dan teman-temannya amat gembira.

Mereka telah merdeka.

Mereka merdeka berdemo.


No comments: