Thursday, January 21, 2010

Kritikan novel "Zikir Rindu" oleh Ainurjah


‘ZIKIR RINDU’ Azizi Hj. Abdullah



1.0 Membaca novel "Zikir Rindu" (ZR):



Menggerakkan hati pembaca untuk menelaah dan menghayati tuntutan maksud ayat-ayat Al-Quran yang disebut sepanjang penceritaan (11 ayat dari 10 surah).

Menarik pembaca mengenali beberapa istilah atau terminologi dalam disiplin ilmu tasawuf seperti zauq, sir, ghaibul-ghaib, falakul-aflak, kasyaf, laduni, alam majzub, tasawal (atau tasawwul?), muraqabah, mahabah, musyahadah, fana fillah, baqa billah, jasbah, bai’ah, salik, makrifah, lauwamah dan tahqiq.

Mengajak pembaca meluaskan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu seperti mengersul, pikun, jelira, rawit-rawit, perempuan gelandangan, kusam, berbinau-binau, berjejal-jejal, membianglalakan, memarap-marap, mengebamkan, mengelus, mengkerekau-kerekau, kejur, menunjal dan mengaling-aling.

Mengheret pembaca kepada kelemahan pengeditan sehingga terdapat beberapa kesalahan cetakan seperti pada perkataan ‘keizinan’ (hal. 48), tasik ‘kauthar’ (hal. 103), ‘kemurniaan’(hal. 111), ‘stetoskop’ bukan ‘teleskop’ (hal.161), ‘tahap’ (hal. 178), dan paling teruk pada sebutan Nabi Musa yang dicetak sebagai Nabi Muda (hal 189).


2.0 Kealpaan Penulis


“... Kaunseling pun dua kali lima. Aku mendapat tahu sesetengah kaunselor itu pun sering bermasalah dengan bini. Bininya yang cemburu dan bermulut murai pun tidak dapat dibetulinya.”


Komen:

Kaunseling bukan untuk ahli keluarga terdekat sebab dalam kaunseling ada konsep penerimaan tanpa syarat, empati, ‘counter-transference’ dan lain-lain. Mana mungkin seorang kaunselor dapat mengkaunsel isteri yang sedia ada pertalian emosi dan kasih sayang yang begitu intim dan mendalam. Isteri kaunselor harus mendapat khidmat kaunseling daripada kaunselor lain. Kalau isteri seorang ustaz tidak dapat dibentuk menjadi isteri yang solehah barulah sebahagian kesalahan itu boleh diletakkan ke atas bahu suaminya kerana dia seorang ustaz.

Melalui novel ZR, penulis cuba membawa pembaca meneroka ke alam ma’arifah, alam mengenali Tuhan, Pencipta segala makhluk. Anehnya, seluruh hidup penulis dikorbankan untuk watak perempuan bernama ‘Dee’ yang juga telah lebih dahulu berkecimpung dalam bidang tasawuf sejak suaminya sakit tua. Kurang relevan rasanya Dee mengungkapkan kata-kata melalui lagu kasihnya (hal. 166) begini:

“Hidup matiku hanyalah untukmu...” kerana cinta kasihnya buat penulis sedangkan dalam mencari Tuhan, sepatutnya ungkapan itu berbunyi seperti mana dalam doa iftitah yang kita baca.


Tarikh atau sejak bila penulis bertemu secara tiba-tiba dalam kereta api dari Kuala Lumpur tidak pernah dinyatakan dengan tepat. “Sangat lama aku memikirkan tentang aku. 60 tahun lebih yang bergerak ...” (hal. 2).

“Akulah umpama seekor kera sakit di hujung dahan yang ...” (hal.3).

“Seekor kera tua yang sakit, masakan ...” (hal.3).

“Inilah kehidupan tua di hujung usia dan ...” (hal.3).

“Tidak sangka pula ketika aku berazam menafikan semua hal dalam hidup ini, aku bertemu dengan seorang perempuan yang usianya lebih muda daripadaku ...

Bayangkan jika dalam usia tua begini, tiba-tiba aku didampingi oleh seorang perempuan muda ...” (hal.5).

“Dee datang ketika ketika aku sedang belajar tentang erti hidup sebagai seorang tua.” (hal.6).


Ulasan:

Semua fakta di atas menggambarkan pertemuan penulis dengan Dee berlaku dalam ruang waktu ketika penulis berusia 60 tahun lebih.



“Aku pun masuk ke rumah. Sepi dan kosong kerana tidak ada yang lain, melainkan aku. 44 tahun masih lagi membujang, menunggu Dee yang tak pernah beri jaminan sejak berjumpa dulu.” (hal. 109).


Ulasan:

Fakta ini menggambarkan pertemuan dengan Dee berlaku ketika penulis berumur sebelum 44 tahun.

“Kerana gelisah dan kacau fikiran, kecewa dengan kegagalan mujahadah, aku mengambil keputusan ke tepi pantai yang hanya 60 km saja dari rumahku.” (hal. 117).

“Maghrib sudah dekat. Orang hendak mendekati Allah, bukan masanya berada ditepi laut ketika itu. Lalu aku pun berundur.” (hal. 120).

“Selesai sembahyang maghrib, ketika aku berwirid dan berzikir dengan lisan dan hati... deringan telefon tiba-tiba berbunyi.” (hal. 121).


Ulasan:

Fakta-fakta di atas menggambarkan jarak rumah penulis dengan pantai ialah 60 km. Masakan penulis sempat tiba di rumah untuk solat maghrib sedangkan ketika senja hampir berlabuh, dia masih lagi berada di tepi pantai? Kalau penulis bersolat maghrib di rumahnya pada hari yang lain, itu logik.



3.0 Tema Persoalan:


(Kita tunggu tarikh ketibaannya.........)

4 comments:

Anonymous said...

Sdra Kasim,
Terima kasih kerana menyiarkan ulasan Zikir Rindu dalam blog saya dari sahabat yang bernama Ainurjah.
Nampaknya Ainurjah sangat sungguh-sungguh membacanya. Baguslah.
Tapi satu hal yang perlu Ainurjah sedar, sebagai penulis kreatif juga ialah maksud dalam sebuah cerita kreatif, bukan pendedahan fakta. Jika beliau melihat fakta, cerita sebenarnya rosak.
Misalnya kaunsling. Yang dicerita bukan kaunselor mengkaunsel bini, tapi hanya menggambarkan jika orang bertaraf kaunselor pun kadang-kadang gagal dengan ilmu yang dimilikinya.
'Aku' tidak bertemu dalam usia 60an, tetapi ia sati umbauan.
Zikir Rindu berplot ZIG-ZEG. LAJAK DAN BERUNDUR, bukan lurus.
Apapun saya berterima kasih. Cuma mengharap, membaca novel begini jangan anggap ia sebagai kitab. Ia krreatif.
Salam
-azizi hj abdullah

barajiwa said...

Sdr. Azizi,

Bahagian kedua dan terakhir telahpun saya paparkan dalam blog. Untuk makluman sdr, Ainurjah pernah bersama saya di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani, Kedah dalam tahun-tahun 68 dan 69.

Kami tersasar ke sains tulen. Teman ini ke Maktab Perguruan dan ke universiti untuk dalami bidang matematik, dan pencen sebagai pensyarah. Sekarang menulis.

Saya ceritakan ini semua untuk menyatakan betapa besarnya cinta kasih kami kepada persuratan.

Sayangkan, ramai dalam kalangan kita di negara ini masih lagi begitu teruja dengan juzuk-juzuk kehidupan yang amat kuat paksi kebendaannya. Begitu teruk dan julingnya kita melihat kehidupan ini sehinggakan ramai ibu bapa berlumba-lumba mahu menjadikan anak-anak mereka doktor, pakar bedah walhal anak itu begitu ingin sekali menjadi seorang pelukis... atau kartunis.

Kenapakah kita (ibu bapa, pemerintah) masih belum mampu melihat seorang manusia itu sebagai insan istimewa dengan segala kelebihan dan kekurangannya? Dan manusia itu bukannya objek kebendaan semata-mata?

Marilah kita perkasakan pemikiran bangsa dalam acuan kita sendiri. Dan sdr sebagai salah seorang penulis besar negara ini, sentiasa menjadi panduan dan dorongan kami:

Ya, untuk Ainurjah dan saya sendiri.

Kassim Muhamad.

ainurjah said...
This comment has been removed by the author.
ainurjah said...

Assalamualaikum,
Pada sdr azizi saya ucapkan berbanyak terima kasih. Responsnya ringkas tapi padat. Sekali gus menggambarkan betapa ceteknya ilmu saya dalam bidang yang saya minati sejak di bangku sekolah, namun terbiar menerawang sendirian akibat tuntutan kehidupan yang ditakdirkan. Langsung terabai saya dengan banyak perkara berkaitan sastera dan kesusasteraan. Benar seperti pesan orang tua-tua, kalau kail panjang sejengkal, usah lautan hendak diduga. Pun begitu saya tidak akan putus semangat sebab perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Lepas ini saya akan menjadi insan penulis yang lebih prihatin dan terarah.