Wednesday, January 20, 2010

'Sekumpulan idea' mengenai budaya yang hidup dan aktif

Dinsman (Artikel 134, 22/1)

‘Sekumpulan idea’ mengenai budaya yang hidup dan aktif


Alhamdulillah, sejak konsisten dengan kolum Wacana Budaya (WB) ini saya menerima macam-macam respon dan reaksi pembaca. Antaranya yang paling menggembirakan ialah respon mengenai seni dan budaya. Bukan sekadar respon, tetapi juga cadangan dan malah rancangan untuk mengadakan aktiviti tertentu. Alhamdulillah, syukur.


Dan barangkali kebetulan pula aktiviti saya yang sedia ada iaitu mengadakan pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), yang selalu membawa saya ke merata tempat di Semenanjung, dan tugas menyiapkan beberapa artikel untuk majalah Qiadah di Kelantan (bersama sahabat saya penulis blog http://barabarajiwa.blogspot.com yang juga AJK Paksi/BB/GMP), mendorong saya dan Kassim untuk menyambut beberapa cadangan dan rancangan tersebut.


Terbaru, seseorang menyatakan minatnya untuk menyertai Paksi. Maka seperti biasa saya menjawab mengatakan Paksi tidak membuka keahlian untuk semata-mata menjadi ahli (kerana sebab tertentu), tetapi Paksi mengalu-alukan sesiapa saja atau mana-mana pihak yang berminat untuk sama-sama bekerja membuat aktiviti seni atau budaya.


Dia menjawab mengatakan ingin menganjurkan pertemuan dengan pihak kami, dan akan mengajak beberapa orang kawan yang meminati seni, khasnya penulisan, untuk menyertai pertemuan itu, dengan menyebut beberapa nama yang antaranya memang dikenali dalam dunia sastera.


Kebetulan waktu itu saya dan Kassim di Kota Bharu, untuk urusan menyiapkan majalah Qiadah 5, dan pementasan MKDT (14 Dis, di USM Kubang Krian). Dan kebetulan yang menghubungi saya itu berada di Jerteh, Terengganu, di sempadan Kelantan. Tak jauh dari Kota Bharu.


Ditambah lagi kepada ‘kebetulan’ itu, Kassim memang bercadang hendak balik ke Kuala Lumpur bukan ikut jalan biasa (Gua Musang), tetapi ikut Kuantan (dia ada sedikit urusan di sana), dan langsung sekejap ke Kuala Pahang, (Paksi pernah menganjurkan aktiviti seni bersama Persatuan Nelayan Perahu Kecil di situ, lebih setahun yang lalu). Dan kerana sudah ada urusan-urusan di Kuantan dan Kuala Pahang itu, saya pun ingin bertemu seorang sahabat di Kuala Terengganu


Demikianlah maka kami pun menetapkan dengan Mohd Noor, peminat Paksi itu, untuk mengadakan pertemuan dengan dia dan kawan-kawannya selepas waktu solat Jumaat. Kami bertemu di pekan Jerteh, sebelum dibawa ke rumahnya. Tak lama kemudian datang lagi dua orang kawannya. Yang lain-lain ‘kebetulan’ tak dapat hadir. Ada yang sedang berada di Selatan Thailand.


Kami berkenalan, dan kemudian berbincang mengenai seni, sastera dan bahasa. Kebetulan seorang daripada mereka sedang membuat kajian Ph.d mengenai ‘kesantunan bahasa’.


Kami menjelaskan bahawa Paksi dan Budayawan Bertindak sebenarnya hanyalah “sekumpulan idea”, yakni idea mengenai kesenian dan kebudayaan yang “hidup dan aktif”. “Idea” untuk melihat bahawa kebudayaan dan kesenian itu bukanlah sekadar mainan ‘orang-orang bunian’ atau ‘orang-orang kayangan’ sahaja. Juga bukanlah untuk “mainan” orang-orang politik. Tetapi ia adalah sebahagian daripada rencah kehidupan yang nyata, yang mempunyai tempatnya dan sumbangannya kepada tamadun manusia.


Barangkali bukan begitu bahasa yang lahir melalui pengucapan dalam pertemuan itu. Ia tepatnya hanya rumusan saya kemudian, setelah memikirkan semula akan pertemuan itu. Sebuah pertemuan kecil secara sambil-sambilan, menjawab permintaan dan harapan seorang pembaca WB.


Sebenarnya ramai lagi yang telah memberi respon menyatakan minat terhadap seni dan aktiviti seni-budaya tetapi tidak berpeluang menyertainya kerana tidak pernah bertemu aktiviti begitu di tempat mereka. Saya pun sebelum ini tidak pernah tergerak untuk membuat pertemuan kecil seperti yang di Jerteh itu. Dan apakah pertemuan kecil di Jerteh itu akan diikuti dengan penganjuran aktiviti seni-budaya, pun belum pasti, walaupun itulah yang kita harapkan.


Sementara itu satu lagi pertemuan mungkin akan diadakan di Sg Petani, ekoran daripada seorang pembaca WB yang menunjukkan minat yang begitu besar terhadap kegiatan budaya. Katanya dia sedang berusaha mengumpulkan kawan-kawannya, untuk merancangkan aktiviti seni dan budaya di Sg Petani.


Minat yang sama pernah dinyatakan oleh ramai lagi pembaca, dari Muar, Seremban, Pulau Pinang, Tawau, Mersing, Kuantan dan beberapa tempat lagi. Sekadar menyatakan minat, sambil bercerita mengenai ketiadaan aktiviti berkenaan di tempat masing-masing disebabkan pemimpin-pemimpin yang ada semuanya tidak berminat kepada seni-budaya – saya fikir itu tidaklah mencukupi. Ia mesti dilanjutkan lagi.


Dilanjutkan bagaimana? Ha, itulah dia. Sekadar contohnya. Sekurang-kurangnya dengan mengambil inisiatif kecil seperti sahabat di Jerteh itu.


Apa pun, yang pentingnya ialah aktiviti kesenian dan kebudayaan dihidupkan dan diaktifkan. Jangan hanya pandai bercakap sahaja, hendakkan kebudayaan yang begitulah, yang beginilah, seperti pihak kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat sekarang, dan juga pihak parti. Bercakap sahaja pandai, tetapi buatnya tidak. Asyik menyatakan sibuk. Tunggu nak habis sibuknya itu tahu-tahu setahun berlalu apa pun tak buat.


Kita bukanlah hendak merintih atau mengadu kepada orang politik. Tidak. Jangan salah faham. Kita sekadar menyatakan bahawa kesenian dan kebudayaan itu jangan diabaikan. Tidak begitu berfaedah kalau sekadar tunggu nak berdemo membantah apabila dianjurkan aktiviti seni-budaya yang dikatakan ‘maksiat’ dan ‘tidak Islamik’, kalau kita sendiri pun tak mahu pandang kepada seni-budaya ‘yang Islamik’.


Eh.. terkeluar juga nada marah itu rupanya! Sebenarnya saya bukan nak kata yang itu. Saya nak kata: Biarlah, jangan kita terlalu mengharap kepada kerajaan. Setakat apa yang kita boleh buat sesama kita, mari kita buat. Walaupun kecil.


Ya, betul. Sudah berpuluh tahun berpengalaman dalam hal kesenian dan kebudayaan ini. Maka setakat ini janganlah pihak Pakatan Rakyat nak berkata bahawa Pakatan Rakyat lebih baik daripada Umno/BN. Jangan! Masih jauh tertinggal di belakang lagi sebenarnya. Maka janganlah hairan kalau ramai lagi kawan-kawan orang seni, orang sastera dan orang budaya masih ragu-ragu untuk menyokong Pakatan Rakyat.


Dan itulah sebabnya saya dan kawan saya Kassim sampai terfikir untuk memulakan siri pertemuan seni/budaya yang kecil-kecilan begitu. (Jangan marah!)


(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)


No comments: