Tuesday, January 19, 2010

Cermin, topeng dan...kemenyan





“Mirror, mirror on the wall, who in the land is the fairest of all?” adalah seruan tersohor meminta alat untuk berbakti. Itu pernah kita baca, kalau tak salah dalam kisah Snow White yang begitu dicemburui oleh si tukang sihir; itu sang penguasa perempuan yang sentiasa berazam untuk kekal sebagai wanita tercantik di seluruh negeri.

Dikatakan bahawa tukang sihir dalam cerita Snow White ini memiliki sebuah cermin yang ajaib. Sebagai cermin, apatah lagi ajaib, alat ini sentiasa berguna dan dipergunakan. Dalam dongeng Snow White, alat ini telah digunakan untuk menyemak dan memperakukan siapakah yang tercantik di seluruh pelosok negeri.

Kita semua tahu bahawa yang namanya alat itu sangat berguna (di samping man and money) dalam kehidupan manusia. Kita pun ketahui bahawa alat bukanlah hanya sekeping cermin usang. Dalam sejarah peradaban manusia, memang terdapat pelbagai macam alat. Salah satu contoh alat yang sangat tersohor dalam kalangan manusia ialah topeng. Manusia, seperti kamaleon (chameleon, sumpah-sumpah) bijak memperagakan topengnya. Maka dalam zaman yang dipenuhi tantangan dan pancaroba seperti sekarang ini, manusia yang diberikan kuasa juga memang bijak sekali menggunakan topeng-topeng mereka.

Lalu apabila dunia riuh rendah sekali dengan isu nama dan agama, ramai yang secepat kilat menyambar topeng masing-masing. Sementara dalam isu ‘bahasa itu penting untuk mencari ilmu’ pula, sekarang ini kita kerap melihat bagaimana para pahlawan bahasa ibunda mendabik dada, bercerita bahawa merekalah yang bertanggungjawab memperkasakan bahasa ibunda, sehinggakan telah cirit birit PPSMI mereka kerjakan! Bukan main perkasanya mereka ini. Kelompok ini tidak bertopeng, mereka berjaja.

Namun ada sesuatu yang kita, sebagai manusia sering lupa, atau terlupa: Bahawa setiap manusia itu memiliki sidik dirinya (semacam cap jari) sendiri. Maknanya? Secara semula jadi, manusia mengeluarkan sisa buangan, kumuhan (excretion). Kalau kurang arif dengan prosesnya, sila tanyakan SN Shahnon Ahmad. Bekas cikgu bahasa Inggeris itu itu amat arif sekali dalam hal ini. Di samping kumuhan pepejal, manusia juga mengeluarkan sisa buangan bukan-pepejal, yang berbentuk gas...yang oleh orang-orang tua kita, dimetaforakannya (?) menjadi kemenyan hantu.

Maka inilah pesan kita kepada sesiapa saja yang suka sekali bertopeng dan bercermin: Bahawa tuan juga memiliki BB, Bau Badan yang namanya kemenyan hantu atau dalam bahasa sehari-hari, kentut.

Apakah para kamaleon bertopeng kita, tidak pernah kentut-kentut?

Tolonglah, janganlah bergurau lagi.




No comments: