MKDT di USM Kubang Kerian
Pementasan MKDT, “Menunggu Kata Dari Tuhan” Khamis, 14 Januari 2010 di Dewan Besar, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan membawa makna tersendiri yang cukup menggalakkan. Jangan lupa, ini kampus Pusat Sains Kesihatan, tempat para profesional perubatan seperti doktor gigi, doktor perubatan dan profesional pelbagai bidang Sains Kesihatan dilatih.
Hakikat bahawa para pelajar golongan ini mahu melakukan sesuatu yang sedikit berlainan adalah petanda yang cukup baik. Kita yakin, salah satu tarikan utama program malam itu ialah ‘cop Islami’ yang ditempelkan ke batang tubuh MKDT. Walau apa pun, tidak mengapa kerana kita sangat bersyukur bahawa sesuatu yang sedikit berlainan telahpun berlaku. Adik-adik kita yang sedang bertungkus lumus untuk menjadi profesional dalam bidang kesihatan telahpun berjaya mendobrak keluar dari kotak pemikiran ‘profesional ala-Malaysia’nya semata-mata.
Pemikiran yang seolah-olah berkata bahawa sesiapa yang mahu menjadi profesional yang baik, misalnya doktor mestilah tahu menumpukan perhatiannya kepada soal-soal kedoktorannya saja. Ini bermakna calon-calon doktor tidak perlulah, ambil peduli hal-hal di luar rumah sakit. Dia tidak perlu tahu semua itu kerana dia perlu menjadi doktor yang baik. Hal-hal seperti budaya hidup sihat yang diredhai bukanlah penting untuk negara yang mahu maju. Ya, begitulah kira-kira hujahnya.
Kita berpendapat, di negara ini juzuk-juzuk pembahagian bidang (fokus?) mengikut ‘bidang’ sememangnya digalakkan untuk tumbuh subur. Mengikut acuan pemikiran yang sedia ada, seorang pelajar doktor perubatan misalnya, mestilah pandai belajar untuk menjadi doktor yang baik. Untuk menjadi calon doktor yang baik-baik, seorang mahasiwa tak perlulah ambil tahu dunia luarnya. Jika dia mengambil tahu, dia mungkin tidak cemerlang kerana telah kehilangan fokus. Dan tugas mahasiswa di universiti ialah untuk belajar. Itulah makna ‘kemahasiswaan’ yang dicipta oleh seorang mantan pemimpin. Nampaknya suasana pemikiran mantan ini belum juga mahu berubah.
Pada kita rasa peduli yang dipaparkan pada 14 Januari 2010 di Kampus USM, Kubang Kerian, Kelantan (ingat Kelantan) oleh manusia cerdik-cerdik ini adalah petanda yang sihat.
Syabas Ridhuan dan rakan-rakan. Lain kali kita ulangi lagi ajakanmu agar teman-temanmu yang gagah membalun gendang-gendang Cina juga turut menonton teater seperti MKDT; teater tentang keperihan seorang manusia yang berazam untuk bercakap benar.
Ya, bukan mudah untuk bercakap benar...apatah lagi dalam dunia yang dipenuhi dengan pelbagai ragam topeng.
No comments:
Post a Comment