Tuesday, August 4, 2009

1 Ogos yang bermakna III



1 Ogos 2009 bukanlah satu peristiwa, sebuah kejadian (satu happening kalau kita mahu), satu kebetulan yang beranak secara tiba-tiba. Bukan begitu. Ia bukanlah peristiwa yang terasing, tersendiri yang tidak ada kaitannya dengan apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat. Yakinlah bahawa rakyat yang tinggal dan membesar dalam rumah sejarah bangsa mampu melihat apa yang berlaku dan dilakukan oleh pemerintah, misalnya dalam konteks undang-undang yang diperalatkan. Rakyat melihat tragedi penderaan nyilu lagi memerihkan dengan cambuk yang namanya ISA. Lihatlah rakaman di dinding-dinding rumah sejarah bangsa oleh rakyat terbilangnya:

Kassim Ahmad dalam “Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme kepada Islam” (ZI Publications Sdn. Bhd, 2008) merakam seperti berikut:

“Pada pagi nahas itu, 3hb November, 1976, bermula dari ketukan 2.30 pagi di rumah sahabat saya, A. Halim Ali, saya dan ramai lagi tokoh politik, termasuk daripada parti gabungan Kerajaan, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Seperti yang diketahui umum, undang-undang ini tidak memerlukan Kerajaan membawa mereka yang dituduh ke muka pengadilan. Tuduhan “merbahaya kepada keselamatan awam” – suatu tebaran jala yang luas – cukup untuk Kerajaan bertindak.” (hal. 168)

“Tentang Dr. Mahathir, saya teringat apabila saya melawat beliau di rumahnya waktu dia dalam buangan politik, ayat pertama yang keluar dari mulutnya ialah: “Kassim, saya tak fikir you komunis seperti yang mereka dakwa!” (hal. 169).

“Tetapi saya mestilah betul-betul pasti dengan maklumat perisik yang ada pada saya. Saya mesti bertanggungjawab. Saya tidak boleh menyalahgunakan kuasa ini. Inilah yang saya nyatakan kepada pemberita apabila saya ditanya tentang keperluan ISA. Berita ini disiarkan dengan besar dan mendapat reaksi yang negatif daripada beberapa pihak…” (hal 171).

Said Zahari dalam “Meniti Lautan Gelora – Sebuah Memoir Politik” (Universiti Kebangsaan Malaysia dan Utusan Publications Sdn. Bhd, 2001) pula merakamkan kenangannya, begini:

“Beberapa soalan timbul mendadak di dalam hati. Apakah tangkapan pada pagi subuh bulan puasa itu langkah Lee Kuan Yew bagi mengelakkan aku daripada ‘terhanyut’ ke dalam Partai Rakyat dan agar tidak merumitkan urusan beliau, maka aku harus disimpan sahaja dalam cold store di Penjara Changi? Tidak ada siapa yang dapat menjawab pertanyaan hati kecilku itu melainkan Lee Kuan Yew sendiri tetapi Lee Kuan Yew tentu sekali tidak berminat untuk menjawabnya.” ( hal 198 – 199)

Telah banyak dan terlalu banyak peristiwa seperti di atas dirakamkan oleh mangsa-mangsa Akta ini. Hari ini pemangsa sibuk sekali mencari justifikasi bahawa suara rakyat 1 Ogos 2009 itu sangat menyusahkan rakyat, maka dalang yang bertanggungjawab wajar menerima hukuman yang setimpal. Perihal penutupan jalan-jalan utama yang menghubungi Ibu Kota, lama sebelum dan sesudah peristiwa 1 Ogos 2009 yang bermula jam 2.00 petang dan berakhir 5.00 petang itu, tidak jua mereka sentuh. Kelihatannya agenda paling penting dan utama sekarang ialah memujuk orang ramai supaya memusuhi peristiwa 1 Ogos 2009; pawai rakyat yang katanya bukanlah budaya kita orang-orang Malaysia itu. Benarkah semua ini? Kita tidak perlu bincang dengan terperinci isu yang cuba dialih-pindahkan ke tempat lain ini. Kebiasaan mengalihkan pandangan dengan harapan agar isu-isu sebenar cepat-cepat dapat digelapkan terus-terusan diamalkan. Bayangkan kematian Teoh yang tragis tatkala mendiang di bawah jagaan MACC mahu ditenggelamkan dengan upacara membakar lilin oleh YB Nizar! Bagaimanakah manusia waras dapat menelan segala tipu daya, putar belit berulang-ulang yang sengaja dicari-cari, direkacipta untuk dibesar-besarkan? Bagaimana mungkin semua ini terus menjadi amalan? Tatkala tahi merata-rata, berserakan di seluruh ruang rumah, ada penghuni suci yang begitu sibuk bertanya dan menyiasat siapakah yang diam-diam terkentut? Waraskah perbuatan seperti itu?

Seperti yang dinyatakan di atas, resah gelisah yang membawa kepada perhimpunan aman dari tiga lokasi di ibu kota itu terlalu banyak. Sekadar contoh, resah dan amarah rakyat sangatlah bertumpuk-tumpuk:

Berapa ramaikah rakyat yang sangat sedih, kecewa dengan segala tragedi demokrasi rampasan kuasa di Perak?

Berapa ramaikah yang sedih dan tertipu dengan hasil siasatan, tindakan susulan ‘korek-korek’?

Berapa ramaikah rakyat yang sangat kecewa dengan peranan institusi awam yang diperalatkan?

Berapa ramaikah rakyat yang menyampah, marah dengan sikap mendua Kerajaan dalam pelbagai hal?

Berapa ramaikah yang meluat dengan sikap tidak demokratik Kerajaan terhadap kerajaan negeri yang dipilih rakyat?

Entah berapa panjangkah senarai ‘Berapa ramaikah’ lagi yang boleh kita deretkan…Berapa?

Percayalah semua ini tidak mampu dibereskan dengan segala ragam slogan, retorik, kempen, putar belit dan aksi silap mata media dan segala agen yang berkaitan dengannya. Percayalah bapa segala mahaguru media, segala Goebbels tidak mampu mengubat rasa kecewa dan amarah rakyat yang mendalam. Oleh sebab itu lakukan yang terbaik, lakukan yang mulia lagi benar selaras dengan adab manusia Melayu yang tinggi peradabannya.

Rakyat pastinya mendukung dan mendoakan kejayaan segala tindakan pembetulan yang bakal dilaksanakan kelak, apatah lagi jika usaha-usaha itu benar-benar ikhlas dilaksanakan oleh penguasa mulai sekarang ini. Ya, mulai sekarang sebelum segala-galanya terlambat.

Percayalah peristiwa memprotes segala amalan ‘suatu tebaran jala yang luas’ pada 1 Ogos 2009 yang lalu adalah petunjuk, aba-aba dan mesej jelas buat para penguasa: Baca dan fahamilah jeritan batin rakyat jelata. Rakyat sentiasa rindu dan dambakan keadilan.

Wallahuaklam.

No comments: