Semua orang ada cerita. Ramai juga yang gemar bercerita. Dan ramai pula manusia gemar mengadun dan me-rekacipta cerita. Namun bukan semua orang berupaya menjadi tukang cerita yang baik.
Saya kurang arif berapa peratuskah penduduk negara ini yang hobinya bercerita. Apakah mungkin sembilan daripada sepuluh suka bercerita? Terlalu besar? Bukankah hampir-hampir semua rakyat negara ini: Kecil besar, tua muda, lelaki wanita memiliki telefon bimbit dan ber’sms’? Kalau zaman Hang Tuah orang tidak selesa jika tidak berkeris, orang Malaysia abad ke-21 seperti tidak lengkap aksesorinya tanpa telefon bimbit. (Sungguh amat bijaklah mereka yang memulakan dan menguasai industri satelit dan lebuh raya).
Bukankah apa yang disebut di atas itu bercerita namanya? Prof Irwan Abu Bakar, e-sastera merangkap bendahari Paksi juga telah bercakap tentang novel sms. Begitulah besarnya peranan tukang cerita dalam kehidupan ini.
Masih ingat tentang kisah ala Hans Anderson seperti “Who bells the cat?” atau itu juga cerita Anderson?
Pak Samad dalam “Dari Salina ke Langit Petang” (A. Samad Said, Wira Bukit, cetakan kedua 2008) halaman 9-10 merakamkan sesuatu yang sentiasa membuat saya ketawa setiap kali saya membacanya:
“Saya pernah menceritakan kisah ini kepada ibu, apabila ibu bertanya apa cerita yang saya suka dengar daripada pak cik. Mulut saya cepat-cepat disepak kuat-kuat dan beberapa hari saya tidak menolong Pak Cik Osman menarik tali. Dan apabila saya dibenarkan turun semula cerita pak cik sudah tidak selincah atau seghairah dulu. Bila saya tanya mengapa ibu menyepak saya menceritakan semula kisah Batu Gosok Daki, Pak Cik Osman menjawab: “ Sebab kau tak pandai cerita. Orang pandai cerita tak akan kena sepak.”
Katakanlah kita begitu resah dengan tingkah laku mudharat seorang ketua yang sangat disayangi bos yang paling besar, bagaimanakah caranya kita bercerita tentang bencana yang bakal meletup jika tingkah mudharat ketua ini tidak dihentikan? Siapa dan bagaimanakah caranya kita mahu bertindak?
Apakah kita memilih untuk berkelakuan ala para pembesar pengampu seperti dalam cerita “the emperor’s new dress” atau apakah kita semua sama-sama mati kutu seperti dalam”who bells the cat?”
Apakah pilihan kita: Mengampu atau berdiam diri?
No comments:
Post a Comment