Monday, November 16, 2009

Ucapan Pak Samad: Wacana Ilmu

Ucapan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dalam "Wacana Ilmu" di Perpustakaan Pulau Pinang pada 14 November 2009


KECEMERLANGAN BAHASA DAN SASTERA
DALAM PEMBANGUNAN INSAN (1011292)


Saya sebenarnya tergamam kerana judul khusus bagi saya berubah dua tiga kali. Tapi, judul terakhir tetap sesuai dan sebati bagi saya. Cuma, munculnya lewat, dan saya sudahpun berfikir yang lain. Saya coba merasionalkannya di sini.

Pasti saja umum mengetahui kecintaan dan keterlibatan saya terhadap bahasa Melayu.Tanpa meminta, saya telah disanjungi sebagai Pejuang Sastera (kepada Pemerintah) dan Pejuang Bahasa (kepada Parti PAS). Di antaranya, saya dianugerahkan Sasterawan Negara. Antaranya, saya percaya saya dihurmati kerana sumbangan saya membangun dan melestarikan bahasa demi pembangunan bangsa saya.

Hingga sekarangpun saya masih memperjuangkan kedudukan bahasa Ibunda senyawa dengan keluhuran Akta Bahasa. Dan saya masih terus percaya bahawa Pemerintah kita masih melanggar—atau tidak meluhuri—Akta Bahasa. Terakhir, menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Muhyiddin, bahasa Melayu akan sepenuhnya dihurmati dengan memansuhkan PPSMI pada tahun 2011 (InsyaAllah).

Dan sementara itu, kini sudahpun terdengar suara keras dan yakin dari MCA dan MIC tidak serasi dengan Pendidikan Negara dengan satu bahasa—Melayu. Bererti mereka secara simbolis menolak 1Malaysia—atau idaman 1Malaysia.

Tapi, di sini bukan khususnya hal itu yang ingin saya bincangkan. Saya ingin mengaitkan soal bahasa dan sastera ini secara lebih peribadi, melibatkan perjuangan saya tentangnya. Pemerintah mempunyai masalah besar untuk menangani soal pendidikan negara, khususnya kalau dengan bahasa Melayu.

Antara yang menarik saya ialah bagaimana sejauh lebih 50 tahun ini saya sempat hidup dengan Bahasa Melayu.

Awal sekali ingin saya menjelaskan bahawa dengan bekalan bahasanya, penulis seperti saya juga masih memerlukan mata pencarian menerusinya. Saya akui bahawa terkadang-kadang ia sangat memeritkan, tapi terpaksa terus bersabar dan waspada. Apakah 65 buah karya dalam Bahasa Melayu tidak memungkinkan saya hidup menyarai diri dan keluarga? Yang sudah-sudah, Alhamdulillah.

Seniman perlu bersikap, dan saya tidak menafikan bahawa penulis perlu “carma”—cari makan. Sumber kehidupan ini biasanya menstabilkan kehidupan dan melandaskan arah perjuangan seseorang penulis. Dan penulis wajar mengimbangkan sikapnya antara di tengah-tengah karyanya.

Secara jenaka—tapi benar—saya dengan amat berat hati mengistilahkan atau membahagikan—sumber kehidupan harian saya melalui “karya carma”: tulis atau baca puisi untuk sesuatu majlis tanpa ideologi. Untuk ini saya mempunyai tiga sumber: karya sastera, karya lukisan dan seni persembahan—deklamasi.
Puisi “Menara Kembar”, misalnya, adalah puisi “carma”; begitu juga puisi “Taman Idaman”. Sebuah puisi itu dapat membiayai kehidupan saya selama setahun. Dan, dengan begitu, saya tidak henti-henti mengerjakan pula tugas seni yang lebih tulen. Puisi-puisi carma—yang sebenarnya sangat jarang tempahannya—saya lakukan dengan penegasan sikap saya sendiri. Saya yang menentukan “arahnya” walaupun subjeknya diberikan oleh pihak penganjur. Disetujui, saya terima; jika tidak saya tolak permintaan atau tempahan itu. (Memang ada tempahan saya tolak daripada awal lagi kerana kurang selesa dengan “arahan” atau “subjeknya”). Tiga empat kali saya menolaknya, bererti saya menolak pendapatan tiga atau empat tahun. Memang ada puisi “carma” yang saya tolak sejak rundingan awal lagi.

Terkeluar daripada sastera carma ini (benar-benar cari makan maksudnya; tidak seperti ketika menulis “Salina”, “Cinta Fansuri” atau “Al-Amin yang ditulis dengan penuh ibadah seni), saya coba mematuhi seluhurnya cita-cita atau idealisme saya tentang pembangunan bangsa. Sejauh ini, saya memang tidak lari dari landasan berupaya merakamkan hatinurani bangsa dari dekad ke dekad. Memang ada rungutan bahawa saya seolah cenderung dengan kehidupan immoral—contoh yang sering ditimbulkan: “Salina”, “Lantai T. Pinkie” dan “Sungai Mengalir Lesu”. Saya dikatakan gemar menjadi perakam kehidupan immoral.

Tapi, ramai yang terlupa—atau seolah-olah tidak tahu—bahawa penulis tulen biasanya mengangkat intipati kehidupan zamannya, dekadnya. Siapa yang tekun mengikuti urutan karya-karya saya akan terkesan atau “terlihat” aliran pertukaran kehidupan dekad-dekad tertentu, dimulai dengan (walaupun ketika menlisnya tidak menurut hirarki zaman) “Di Hadapan Pulau”. Rakaman dekad ini terkadang mengiringi perobahan hatinurani dan usia saya sendiri. Contohnya, tidakkah waras saya merakamkan “Al-Amin” sebagai tanda perubahan hatinurani dan spirituil saya?

(2)

Walaupun sudah lebih 50 tahun berkarya, saya masih terus bertanya bathin: Apakah tugas penulis hanya sekedar merakamkan peristiwa? Apakah para seniman sekedar menjadi pencatat alam dan peristiwa supaya sejarah mengingat peristiwa tertentu? Di sini bolehlah kita mengerling kepada karya-karya kontemporer Dinsman yang merakam alam dan peristiwa itu.

Dunia sangat kejamnya (manusianya yang dimaksudkan) dan kekejaman itu wajar mendorong manusia—khususnya mereka yang masih sedia berfikir—membaca semula hatinuraninya. Sudah dua kali kita alami perang dunia. Tidak lagi kita gunakan senjata yang bersempadan kesannya. Kemusnahan merebak—dan cepat merebak. Yang musnah alam, tapi yang terkorban dan langsung terdera adalah manusia. Atomik bom yang menggerun dan tak tersangkakan digunakan itu sudah mengingatkan bahawa manusia cepat menjadi hewan. Dan ada tanda-tanda (contohnya ledakan bom manusia di Pakistan dan di Afghanistan) bahawa kekejaman bakal berterusan dalam bentuk dan jumlahnya yang lebih melebar lagi. Dan penulis sebagai perakam peristiwa yang sangat menggerunkan itu merakamnya untuk menginsaf dan menyedarkan tentang kemungkinan kita terus menjadi hewan yang bertindak mengikut stimulus rasa, dan tidak langsung bersedia menggunakan akal sihat.

Bagaimanakah penulis yang sedar ini melakukan tanggungjawab insaninya? Kita ambil contoh daripada tanah air sendiri, dan kita ambil yang kontemporer. Kita tumpu kepada “Menunggu Kata Dari Tuhan”. (Dan sebelum itu Dinsman—penulisnya—sudahpun menulis “Tamu Dari Medan Perang”. Kenapa perlu “Menunggu Kata Dari Tuhan”, juga kenapa mesti temui “Tamu Dari Medan Perang”? Kedua-dua isi daripada karya Dinsman itu adalah gambaran gementar kita tentang manusia yang semakin cepat menjadi hewan. Mereka tamaki wilayahnya sendiri, dan lebih buruk, mereka tamaki wilayah orang juga. Sehingga ke hari ini Palestina menjadi tajuk perbincangan yang tidak haus, dan sehingga ke hari ini Bangsa-Bangsa Bersatu tidak berdaya menyelesaikan masalah maruah sebuah bangsa berhak yang telah diperhina oleh sebuah bangsa yang tidak berhak.

Itulah sebenarnya yang coba dirakamkan oleh Dinsman, pertama melalui “Tamu Dari Medan Perang” dan kedua melalui “Menunggu Kata Dari Tuhan”. Queen dalam “Tamu” memberi dialog yang agak panjang. Pada satu peringkat darurat, kata Queen: “Saudara-saudara kita di Palestina, di Iraq, di Afghanistan, dibunuh setiap hari. Dan pembunuhan secara terang-terangan itu tidak ada siapapun kata mereka itu pengganas...Dan kita pun masih menghurmati orang-orang seperti itu. Orang bunuh adik kita, orang bunuh emak kita, orang bunuh anak kita—dan kita masih terus hurmati mereka. KENAPA KITA MENJADI SEHINA INI?

Dan dalam “Menunggu Kata Dari Tuhan” terlihat upaya manusia—menurut harapan Dinsman—untuk menjadi insan yang waras, mendengar bisik tulus dari hati yang qudus. Kata Ka’ab (Ka’ab bin Malek): Mengapa pula orang ini bertanya pasal diriku? Seorang petani datang menghulurkan sepucuk surat dari Raja Ghassan kepadanya: Ka’ab bin Malek. Antara isinya: “Allah tidak akan membiarkan kamu terhina dan menjadi orang buangan [h:29—30]. Dan dalam hening suasana Ka’ab menjadi orang yang sangat waras—sangat berdoa. Katanya: “Aku tetap beriman dengan Allah...Aku tidak menyalahkan sesiapa. AKU YANG TERSILAP WAKTU ITU. AKU MENYESAL DAN AKU BERTAUBAT. 40 hari selepas itu tidak turun wahyu.

Apakah kesalahan umum—khususnya kelompok Ka’ab bin Malek waktu itu? “Kesalahan kami,” kata Ka’ab “...tidak ikut berjihad ke medan perang Tabuk.”

Begitulah seorang seniman yang sedar dan fahami masyarakat dan tanggungjawab seni menghantar karya seninya. Seniman, biasanya dengan secara cantik, merakam sesebuah kisah kehidupan harian untuk membijaksana dan menginsankan manusia. Seperti Dinsman, begitulah saya menggunakan bahasa dan sastera untuk melestarikan kisah kehidupan awam yang boleh menjadi cermin banding, serentak menjadi bayang panduan dan landasan hidup lebih murni. Kita terlontar ke dunia sebagai khalifah yang bertugas. Kita antara insan yang terpilih, dan wajarlah kita membijaksanakan diri demi kesejahteraan ummah dengan pertama-tama menginsafi peranan tulus kita sebagai abdi kepada Allah Yang Maha Kuasa—ibadah kita sepenuhnya kepada Allah dari awal kelahiran kita masing-masing.

Masing-masing datang dengan pilihan kerjanya sendiri, tapi setiap pekerjaan kita mempunyai erti dan mertabat yang tinggi, termasuklah kita—saya—sebagai sasterawan. Kita khusyuki kerja kita, kita warnakan kerja itu seindahnya dengan amalan dan kebajikan kepada ummah.—A. SAMAD SAID.




No comments: