Friday, December 25, 2009

Buku politik kepimpinan Islam


Dinsman (Artikel 126, 25/12)

Menulis sebuah buku politik kepimpinan Islam



Bersama dengan dua orang kawan, saya sedang merancang untuk menulis sebuah buku politik kepimpinan Islam di Malaysia hari ini, khasnya politik kepimpinan PAS. Tujuannya, seperti kata seorang kawan saya itu, “sekurang-kurangnya menjadi seperti burung yang membawa air dengan paruhnya untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim.”


Berusaha memberi sedikit sumbangan kepada perjuangan Islam dengan membantu menyuluh permasalahan yang sedang dihadapi oleh jemaah atau organisasi yang sudah berpuluh tahun berjihad untuk mendaulatkan Islam di negara ini dan kini menghadapi ujian getir di saat-saat perjuangannya sudah berada di ambang kemenangan.


Seperti saya sebut dalam tulisan-tulisan lalu, keadaan kepimpinan PAS hari ini sangatlah keliru, kucar-kacir, lemah dan berpecah. Fitnah dan tuduhan meletus di sana-sini, tersebar, menular dan merebak merata-rata. Sudah terdapat beberapa puak yang saling menuduh dan menyalahkan pihak-pihak tertentu. Sebahagiannya begitu yakin dengan kebenaran di pihaknya, sedangkan dia sendirilah yang menjadi masalah kepada jemaah, dan dia tidak sedar akan hakikat itu. Maka kemelut itupun menjadi semakin parah.


Memerhati keadaan yang sedang berdarah dan menanah ini, saya dan kawan-kawan menjadi semakin bimbang akan masa depan perjuangan Islam. Akhirnya saya berkata – Tak ada sudahnya kita bercakap mengenai perkara ini. Kita mesti buat sesuatu yang dalam kemampuan kita. Kita tulis buku. Kita dedahkan apa-apa yang membimbangkan kita itu, biar pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat baca. Sekadar tulis dalam suratkabar saja mereka tak baca pun.


Seorang kolumnis kawan saya misalnya, mengambil keputusan berhenti menulis mengenai PAS di dalam kolumnya (selepas Dr Aziz Bari membuat keputusan demikian), bukan kerana mengikut jejak Dr Aziz Bari, tetapi kerana dia berasa penat menulis, menganalisis, mendedah dan menegur, padahal pimpinan berkenaan terus juga melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya itu. Mereka seperti tidak menghiraukan pun apa yang ditulis dalam akhbar, atau mereka barangkali tidak baca pun apa yang ditulis itu.


Seperti yang saya siarkan semula beberapa respons terhadap tulisan Wacana Budaya minggu lalu mengenai perkara tersebut, saya terus menerima banyak lagi respons yang demikian. Walaupun itu tidak memberi gambaran yang tepat mengenai keadaan keseluruhan ahli-ahli PAS dan PKR di peringkat bawah dan pertengahan, yang menyatakan kekecewaan dan kekeliruan mereka terhadap pimpinan, namun apabila gambaran itu disokong pula dengan hasil tinjauan dan pemerhatian kami, saya berpendapat keadaannya amatlah serius.


Dan itu semua menambahkan lagi keyakinan kami terhadap teori yang mengatakan bahawa para pemimpin Pakatan, khasnya PAS, kini sedang terperangkap dalam perangkap Umno/BN yang dipasang dengan halus oleh pimpinan baru Umno/BN sekarang, dan sedang menjadi mainan mereka.


Bahawa faktor yang memegang kekuatan dan kepaduan dalam PAS hari ini ialah Tok Guru Nik Aziz, selaku Mursyidul Am PAS, (di samping Anwar Ibrahim yang menjadi satu lagi faktor kekuatan dan kepaduan Pakatan). Makanya TG Nik Aziz menjadi sasaran utama Umno/BN. Berbagai ikhtiar telah dan sedang mereka lakukan untuk menjatuhkannya. Mereka telah berusaha hampir 20 tahun menjatuhkannya dari luar dan mereka gagal. Kini mereka berusaha pula untuk menjatuhkannya dari dalam.


Dia adalah satu-satunya benteng kekuatan PAS dan Pakatan hari ini. Gagal menjatuhkan Nik Aziz bererti gagallah usaha Umno/BN untuk menjatuhkan PAS dan merampas semula Kelantan. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan Tok Guru yang sudah tua dan selalu uzur ini masih boleh berdiri kukuh memimpin jemaah PAS?


Sekarang ini zaman Najib Tun Razak. Bukan lagi zaman Pak Lah dan bukan lagi zaman Mahathir. Najib mempunyai cara dan strateginya tersendiri. Dengan cara dan strateginya itu Najib telah berjaya merampas kembali negeri Perak. Usahlah kita berhujah apa pun untuk menafikan hakikat perampasan kuasa itu, namun Perak kini tetap berada dalam kuasa Umno/BN.


Yang terkini, tokoh pimpinan utama ulamak dunia, Dr Yusuf Qardhawi, datang ke Malaysia untuk menerima anugerah Maal Hijrah daripada Kerajaan Malaysia pimpinan Najib Tun Razak. Bolehlah kita nak berhujah apa pun untuk menafikan hakikat bahawa tokoh ulamak dunia itu telah mengiktiraf kerajaan Umno/BN pimpinan Najib, namun kehadiran Dr Yusuf Qardhawi menerima anaugerah itu sudah cukup buat pimpinan Najib Tun Razak untuk memperkuatkan kedudukannya sebagai seorang tokoh pemimpin Islam di negara ini. Biarpun kita tidak mengakuinya.


Makanya saya kira kita jangan memandang enteng dan remeh kepada kemampuan Najib untuk merampas kembali apa yang Umno/BN telah hilang dalam pilihanraya umum ke-12 lalu. Dan saya melihat salah satu kejayaannya ialah terperangkapnya para pemimpin PAS hari ini di dalam perangkap krisis kepimpinan dalaman dimana TG Nik Aziz menjadi sasaran berbagai kritikan dan peristiwa mengelirukan yang semuanya seperti menunjukkan kesalahan ke atas dirinya dan juga ahli keluaraganya.


Dari peringkat politik nasional hingga ke peringkat politik negeri Kelantan dan hingga ke peringkat keluarga dan diri peribadinya, berbagai-bagai fitnah dan persepsi negatif telah ditimbulkan.


Soalnya, mengapakah pimpinan PAS hari ini tidak nampak akan permainan licik Umno/BN ini dan kita asyik bergaduh, bertengkar, berkelahi sesama kita dengan seribu dan sejuta alasan untuk membenarkan pihak dan puak kita, padahal semuanya ini adalah terjadi dalam suatu kerangka perancangan rapi dan licik oleh pakar-pakar strategi di pihak pimpinan Najib.


Mengapakah kita membiarkan TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi kelihatan seperti tidak sehaluan? Bukankah mereka berdua sepatutnya sehaluan dan kelihatan sehaluan?


Demikianlah – saya bersama dua orang kawan kini sedang mengumpul maklumat dan meneropong mencari lorong pendekatan yang sesuai, wajar dan berkesan, untuk kami kemukakan sebuah buku yang diharapkan dapat membantu perjuangan untuk mendaulatkan Islam di negara ini. Wallaahu ak’lam!



(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)







No comments: