Wednesday, December 23, 2009
Bangga bodoh dalam " Seorang Melayu Di Tengah Bandaraya" DS Disember 2009
Dalam kehidupan sehari-hari, sesekali kita bertemu dengan ungkapan-ungkapan seperti “bodoh sombong” atau “biar papa asalkan bergaya” diucapkan atau ditulis orang. Walaupun kedua-dua ungkapan ini tidak sama maknanya namun di sana masih terdapat unsur-unsur persamaannya; ada citra tingkah manusia dengan konotasi negatifnya.
Di samping itu kita juga temui manusia yang ‘cerdik tak boleh ditumpang dan bodoh tak boleh diajar’, satu lagi penyakit manusia yang tidak mudah diubati. Dalam bahasa Inggeris pula kita temui “You can take the horse to the water but you can’t force it to drink” (Tuan boleh membawa kuda ke air namun tuan tidak boleh memaksanya minum”). Ya, pendek kata, sesekali di sana sini kita bakal temui para manusia dengan sikap bebal, bodoh dan sombong dan berlagaknya. Manusia dengan pelbagai penyakit rohani yang tidak begitu mudah diubati.
Sirun itu adalah sebuah watak Melayu Azizi Abdullah yang tercokoh di tengah-tengah bandaraya (kita percaya Gorgetown atau Bagan). Apa lagi yang kita ketahui tentang Sirun? Dia Melayu yang sentiasa saja bangga dan istiqomah dengan cap Melayunya. Sebenarnya Sirun lebih besar dari itu. Dia pahlawan Melayu yang begitu gagah mempertahankan Melayunya. Bagi Sirun, ‘Melayu’ itu terlalu besar untuk digadai! Demikianlah hebatnya sikap dan pegangan hidup Sirun tentang keperkasaan Melayunya. Kalaulah Sirun itu bukannya seorang Melayu yang perkasa, seorang pahlawan Melayu yang sangat perkasa, telah lama rumah yang memiliki kehebatan istimewa sehingga berupaya ‘menyilaukan matanya itu ialah cahaya yang terang menembusi lubang-lubang zing buruk itu’ telah berpindah milik. Kapitalis mana yang tidak mahu sekeping tanah di tengah-tengah Bandaraya? Kapitalis mana?
Ada lagi keistimewaan Sirun. Dia begitu bangga dengan pelbagai pembangunan yang tumbuh di sekelilingnya. Dia mahu anak cucunya mengetahui dan turut berbangga bahawa di sini ada pembangunan dan seluruh keturunan Sirun mengetahui dan sentiasa sederap dengan arus pembangunan itu. Maka apabila anaknya tidak mahu tidur di pondok zing berlubangnya untuk menikmati hebatnya pelbagai gedung perniagaan, Sirun sedikit kecewa. Namun Sirun bernasib baik, cucunya yang mahu bermalam di pondoknya bakal melihat pembangunan itu untuk diceritakan di Sik atau Nami. (Apakah benar di sana tidak ada pembangunan yang mampu ‘mengauuwkan’ sesiapa yang hidup di sana?).
Apabila cucunya terkorban (mungkin kerana terlalu asyik menikmati pembangunan) dengan memanjat bangunan pencakar langit yang sedang dibina, Sirun masih lagi melayan angan-angannya bahawa cucunya sudah dapat melihat pembangunan dengan mata dan kepalanya sendiri. Ya, untuk diceritakan kepada orang-orang miskin di kampung.
(Aspek terkorbannya cucu Sirun ini boleh diulas dan diteliti dengan lebih mendalam lagi. Bagi saya itulah salah satunya kehebatan Azizi Abdullah, bertukang).
Karya sastera dengan pelbagai cop tragedi pembangunan yang meninggalkan manusia kecil sebagai makhluk-makhluk terpinggir bukanlah perkara baru. Kita melihat bagaimana teman-teman sasterawan, budayawan kita begitu yakin sekali bahawa manusia Melayu itu mestilah perkasa di buminya sendiri, kerap sekali merintih-rintih dengan mendayu-dayu. (Lawakkan? Merintih-rintih sedangkan tuan-tuan merekalah yang memerintah negara ini sejak merdeka, bukankah begitu?) Kita tentu masih ingat bagaimana seorang pengarang terkenal DBP menulis dengan semangat yang menyala-nyala sekali ( fericiuosly intense) perihal bagaimana orang-orang Melayu telah kehilangan tanah pusaka mereka kepada orang-orang asing. Itu cerita dalam Dewan Masyarakat tahun-tahun 60an dan 70an.
Ironisnya manusia-manusia Sirun, sejak negara ini merdeka lebih 50 tahun dulu, masih juga dan terus-terusan berbangga dan seronok dengan pelbagai cop pembangunan. Sebuah parti nasionalis itu-itu juga yang mereka berikan amanah dan percaya untuk mengurus negara ini. Pada mereka orang lain tidak mampu membawa cop pembangunan itu.
Rupa-rupanya Sirun lupa bahawa kemiskinan, sama dengan keserakahan adalah sifat manusiawi yang tidak pernah mengenal bangsa, agama dan warna kulit. Hanya sistem pemerintahan yang adil lagi saksama yang dapat membetulkan kepincangan ini.
Apakah masih ramai orang-orang Melayu seperti Sirun dalam PRU 13 nanti?
Labels:
ulasan cerpen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment