Thursday, October 17, 2013

Ateis sudah lama terbahak-bahak

Siapa khalayakmu, wahai tuan?
Siapa pula Tuanmu?


Bercakap untuk massa tidak sama dan SANGAT BERBEZA dengan bersurah di dalam surau kepada mereka yang menadah kitab.  Apakah ulamak tidak perlu dan tidak lebih afdhal berhati-hati jika mahu berdakwah kepada seluruh Malaysia?  Malaysia belum tentu sebuah surau yang besar walaupun ada ulamak yang ingin sekali melihat Malaysia itu adalah surau besarnya.

Bercakap sebagai seorang ketua bahagian Parti tidak sama dan SANGAT BERBEZA pabila bercakap sebagai seorang menteri.  Apakah menteri tidak perlu dan tidak lebih afdhal berhati-hati jika berdepan dengan khalayak Malaysia?  Malaysia bukanlah sebuah Bahagian (Parti) yang ahlinya rata-rata adalah saudara mara, kawan rakan, sahabat handai dan para penyokong Parti.

Yang pasti,  orang-orang politik telah lama menyekolahkan dirinya dalam bab-bab yang paling asas seperti ini.  Kita fikir begitu bukankah begitu?


2.0 Ular tedung kenal pelatihnya, kerbau kembali kepada tuannya


Tentang mengenali khalayak ini,  ada satu dua perkara yang menarik untuk direnungi bersama.  Katanya ukar tedung yang sangat garang yang ‘dipelihara’ sebagai ternakan itu, dapat mengenali siapakah tuannya walaupun ia berada di tengah-tengah khalayak.  Katanya lagi,  adalah tidak benar ular tedung itu terpesona dengan alunan seruling tuannya lalu menari-nari.  Ia hanya nampak gerak seruling yang ditiup tuannya dan bertindak mengikut ‘gerak’ seruling tersebut.

Kepada orang awam, semua kerbau kelihatan sama saja, tak lebih dan tak kurang kerana ia adalah KERBAU.  Lain pula bagi yang menternak kerbau.  Walaupun kerbaunya mungkin berada di dalam dan di tengah-tengah kawanan kerbau yang mungkin bepuluh-puluh atau pun beratus-ratus ekor jumlahnya, mereka masih kenal yang mana satukah kerbaunya.  Dan sang kerbau juga dapat mengenali siapakah tuannya.  Katanya ada kaedah dan helah tertentu untuk berbuat demikian. 

Bayangkan dalam dunia binatang sekali pun, segala binatang baik yang liar maupun yang dijinakkan seperti ular dan kerbau kenal siapakah tuannya, apakah manusia berkaki dua dengan otak yang ampuh di dalam kepalanya harus keliru sehingga TIDAK mampu mengenali siapakah tuannya?  Kata kawanku, mereka yang ateis sudah lama terbahak-bahak sehingga terkencing-kencing di dalam kainnya melihat perangai kita berebut-rebut nama tuan masing-masing. Apakah orang-orang yang beragama itu telah berlaku adil kepada Tuannya?





No comments: