Friday, October 18, 2013

Pemikiran sebagai teras budaya



MENTERJEMAHKAN PEMIKIRAN BUDAYA
(AKHIRNYA, yang meyakinkan adalah contoh tauladan)


Di kalangan kami persoalan 'budaya' kerap diangkat sebagai tajuk. Kawanku telah mengemel teks di bawah ini, katanya, "untuk kita fikirkan bersama".  


‘Pemikiran’ sebagai teras budaya 


Menggesa agar ‘pemikiran’ diterima sebagai komponen penting (terpenting?) dalam budaya.  Setelah memahami kepentingannya,  maka ia mestilah diperlakukan selayaknya. Ertinya tempat untuk ‘pemikiran’ itu sayugia paling atas dalam urutan keutamaan tindakan budaya.  

Oleh kerana ‘pemikiran’ itu sesuatu yang abstrak yang tidak boleh dicerap dengan mata kasar kecuali oleh mata batin dan hati nurani seperti ‘kebahagiaan’, ‘duka nestapa’ dan ‘ketaksuban’ maka konsep-konsep penting tentang ‘pemikiran’ itu sebaik-baiknya dijelaskan dan dipermudahkan supaya ia dapat difahami dan dihayati oleh khalayak.

Konsep-konsep penting tentang ‘pemikiran’ yang diperah misalnya ke dalam bentuk gagasan, wawasan, atau pernyataan misi itu mestilah mampu diterjemahkan dalam bentuk pelan tindakan.  Sebagai contoh, jika  kita katakan bahawa hiburan sedia ada itu perlu diperbaiki baik dari segi isi, mesej dan bentuk penyampaian dll, maka kita mestilah mampu menyenaraikan gesaan ini dalam pelan tindakan yang konkrit.  Untuk tujuan ini yang amat diperlukan ialah proses pemikiran dan ― bukanlah sekadar kata-kata ataupun ungkapan-ungkapan basi klise (seperti menegakkan syiar Islam yang syumul).
 
Kenapakah gagasan untuk mengutamakan ‘pemikiran’ itu mesti didahulukan?

Sekarang ini masalah yang masyarakat kita (baca: masyarakat Melayu) hadapi tersangatlah kronik.  Kita ambil satu contoh yang jelas di depan mata; Jika sebuah parti politik besar Melayu yang menjadi tulang belakang pemerintahan negara tergamak dan begitu buta perut untuk melantik semula seorang pemimpin yang nyata korup, maka pada hemat kita ada perkara yang tersangat serius yang sudah berlaku. Kita bukan lagi bercakap persoalan daerah yang kelabu, greya area ― TAPI kita sekarang berdepan dengan masalah kesongsangan nilai yang sangat serius!  Apakah strateginya?  Salah satu cara ialah membetulkan pemikiran tentang nilai tidak apa yang serius ini.  Sebagai satu bangsa (baca: bangsa Melayu), APAKAH kita sudah tidak ada sedikit pun perasaan malu lagi?


Contoh dan tauladan melalui tindakan   
(Syarah yang berlebihan adalah gincu, menyala tapi memudarkan bibir)


Keberkesanan sesuatu mesej itu ialah melalui contoh dan tauladan yang nyata.  Contoh-contoh perbuatan yang dapat dilihat dengan mata kepala.  Oleh itu dalam kehidupan seharian,  kita kerap membaca dan mendengar pandangan sinis bahawa sesuatu itu ‘hanyalah retorik’ atau sebuah gambar dapat mencitrakan seribu cerita.  Wajah PAS menjadi jauh lebih jernih melalui tindakan-tindakannya yang nyata.  Pas sebagai satu parti yang boleh diharapkan oleh seluruh rakyat (termasuk oleh yang bukan Islam dan juga yang bukan Melayu) semakin meyakinkan apabila ramai di kalangan mereka ini merasakan sendiri bukti perlindungan dan sifat ‘yang boleh diharapkan’ sepertimana dibuktikan oleh Unit Amal semasa tunjuk perasaan Bersih 2.0.  Orang-orang bukan Melayu yakin bahawa Pas bukanlah musuh.  Semasa banjir besar melanda Johor, orang-orang Melayu Umno melihat kesan tindakan Pas. Mereka yakin Pas bukanlah sebuah parti hodoh sepertimana yang sering digambarkan oleh media.  

Ini menunjukkan bahawa bentuk mesej dakwah yang terbaik ialah melalui tindakan dan penglibatan langsung ke dalam masyarakat lebih-lebih lagi semasa pertolongan itu amat diperlukan.  Maka kita sarankan agar Pas menunjukkan bukti yang kukuh bahawa pemikiran budaya itu ialah salah senjata yang paling ampuh. 

Akhir sekali dalam semua tindakan Pas (tentunya ia berlandas dan berpandukan budaya pemikiran yang tertentu pula), kita berpendapat terdapat aspek-aspek tertentu tindakan tersebut sebaik-baiknya dipertimbangkan semula dengan semasak-masaknya, lebih-lebih oleh saf kepimpinan tertinggi parti.  Misalnya kita yakin dan menyokong penuh dengan prinsip amal makruf nahi mungkar yang dibawa oleh Pas kerana itu adalah sesuatu yang tepat.  Namun dalam kesungguhannya mencegah segala yang mungkar itu,  kita yakin dan percaya bahawa Pas dapat mengimbangi kesungguhan tindakannya dengan ketakutan yang dirasakan oleh mereka yang belum faham dengan kerja buat Pas dalam usaha-usaha untuk mencegah kemungkaran itu.    Misalnya tunjuk-tunjuk perasaan yang bersungguh-sungguh menentang konsert kerap kalinya ditafsirkan sebagai tindakan yang tersasar keutamaannya, (misplaced priorities) kerana sekarang ini yang lebih mendesak ialah segala isu rasuah dan salah guna kuasa yang membuat rakyat begitu menderita sekali.  Oleh itu dalam konteks seperti ini, kita benar-benar mengharapkan kefahaman dan emphati Pas dalam melihat dan menghayati ketakutan massa dengan keghairahan tindakan mencegah kemungkaran ini yang dibawanya.  Sebabnya mudah.  Yang amat ditakuti oleh massa ialah ― akhirnya teokrasilah ― yang pasti akan mencengkam seluruh kehidupan kita di Malaysia.  Ketakutan seperti ini memerlukan pemikiran dan tindakan budaya kerja yang mantap ― bukannya sesuatu yang ditafsirkan sebagai gopoh, tersasar keutamaan dan populis yang tersalah tempat. 

(Apakah mesejnya?  Budaya berfikir yang betul diperlukan sebelum sesuatu itu dicakapkan kepada khalayak untuk dilaksanakan. Bercakap kepada massa tidak sama dan SANGAT BERBEZA dengan bercakap di dalam surau yang dihadiri oleh mereka yang menadah kitab.  Oleh itu ulamak mesti lebih berhati-hati jika mahu memerintah Malaysia.  Malaysia bukannya sebuah surau yang besar.)




No comments: