Saturday, October 19, 2013

JANGKITAN PENYAKIT UMNO



Kenyataan Media TERAS
19hb Oktober 2013

BUDAYA UMNO YANG MENJANGKITI PENTABIRAN NEGARA SANGAT BAHAYA.

"Korupsi berleluasa. Letih sebab duit banyak turun. Tak turun duit, tak dipilih," inilah  pernyataan Tun Mahathir yang dilaporkan oleh media  yang akhirnya menjelaskan inilah penyakit UMNO yang hampir mustahil dikikis.

Hari ini dikatakan suatu sejarah Umno dimulakan bila undian dari cawangan dan bahagian memilih ahli MT . Pada hakikatnya tidak ada yang baru dari segi politik Umno. Yang baru hanyalah kuantum politik wang yang beredar. Sekarang kos untuk meningkat kemungkinan calon menang menjadi lebih besar. Bilangan yang perlu di " bela " menjadi lebih berat.

Dari sistem mengundi MT melalui perwakilan dan bertukar kepada sistem mengundi langsung dari ahli diperingkat cawangan dan bahagian , politik wang sudah sebati dengan Umno. Politik wang adalah nyawa Umno.

Yang merunsingkan ialah  pemimpin-pemimpin Umno tetap mendabik dada memperjuangkan bangsa Melayu .

Persoalannya apakah yang dapat diharapkan dari sebuah wadah politik yang melahirkan sejumlah pemimpin yang bergelumang dengan politik wang memungkinkan nasib bangsa Melayu dan maruah negara boleh terbela.

Politik wang adalah serupa dengan pasaran bebas. Di mana keuntungan paling tinggi dapat diraih ke situlah sokongan akan menumpu. Pertimbangan menjaga maruah bangsa , memelihara kepentingan negara pada hakikatnya  adalah senarai terkebawah dalam keutamaan aktivis Umno .

Bukan sahaja calon terpaksa mengguna dana yang cukup tinggi malah pelbagai agen calon dan broker politik berkeliaran mencari peluang memanfaatkan keadaan terbaik untuk mendapat keuntungan lumayan.

Dalam Umno virus " percatutan politik " ( political profiteering ) tidak boleh dibunuh. Ia sudah menyatu dalam Umno bagaikan lagu dan irama , jiwa dan raga. Malah ia sangat menjadi-jadi sejak Mahathir mengambil alih. Ia barah terminal dan melumpuhkan seluruh daya tahan tubuh Umno persis Aids politik yang membawa maut.

Malangnya yang sangat dikesali , dengan virus yang menjangkiti tubuh Umno itu pula ,  ia mengheret bangsa Melayu dan negara sendiri ke ambang kebangkrapan nilai sosio-budaya dan politik sekaligus mengadai maruah negara dan meluncurkan negara menjunam ke gaung hina dan nista.

Politik Umno dibudayakan dalam pentadbiran negara dan tabiat bangsa Melayu. Penyakit Umno disuntik malah dalam dunia ilmu , media , intelektual dan ruang akademik itu sendiri. Malah dalam pentadbiran agama juga tidak selamat dari penyakit tabiat Umno yang merosakkan .

Inilah anihnya bila Mahathir melahirkan kekesalannya mengenai pilihan dalam Umno yang meletihkan.

Melabur dalam politik dan kemudiannya meraih " dividen politik " dalam bentuk projek dan peluang besar untuk mengkayakan diri adalah sebati dengan Umno. Perubahan untuk menyuntik darah baru dan angkatan muda yang lebih dinamik dan bermacam slogan yang muluk-muluk hanya retorik kosong.

Yang berleluasa ialah politik bodek , politik ampu dan politik kroni. Bukan politik ilmu , jauh sekali politik pengorbanan.

Jika adapun sedikit kesungguhan oleh mana-mana pihak untuk membawa perubahan sebenar, bakal pasti akan disingkirkan.

Sebab itu tidak ada yang mahu perubahan yang sesungguhnya boleh membenteras barah itu sampai ke akar. Kepentingan peribadi terlalu tinggi untuk dilepaskan jika perubahan benar-benar digerakkan.

Jauh sekali untuk menanam politik "takut Alalh" atau " politik takut Hisab di Akhirat " . Itu semua menyakitkan telinga dan dianggap hanya sesuai dileterkan di masjid dan surau semata-mata.

Politik sebenar dalam Umno adalah politik peluang . Peluang naik pangkat dan raih gelaran dan politik membolot kekayaan.

Kami merakamkan pernyataan bahawa keperluan yang mendesak jika bangsa Melayu mahu selamat ialah dengan merihatkan Umno . Rihatkan Umno dari kuasa yang sudah menguasai seluruh darah daging , urat nadi dan saraf Umno sehingga nyawanya perlu dipulih bukan setakat melalui " sistem sokongan " dengan rawatan ICU , malah perlu kepada pembedahan major dan penggantian organ dan darah yang sangat kritikal.

Alternatif perlu dicari dari wadah yang tidak dijangkiti oleh virus politik Umno . Suatu "over haul" total sekalipun , sukar dapat diharapkan dari pemilihan Umno diperingkat manapun. Wadah politik yang boleh mengganti Umno hanya boleh dihadhirkan melalui wadah yang dipimpin oleh insan soleh dan berketrampilan kelas negarawan Mukmin.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS


No comments: